Sunday, September 18, 2011

Sampai Syurga [6]

Minn membuang pandang ke langit biru. Kalau bukan kerana membawa hati laranya, seumur hidupnya tidak akan pernah merasa menaiki kapal terbang. Penumpang dalam koc yang dinaikinya tidak ramai. Min lebih suka begitu. Sebentar tadi dia diarahkan untuk mengisi borang bagi mengesahkan barang-barang yang akan dibawa masuk . Perjalanan difahamkan mengambil masa 5 jam. Kepada temannya Syima sudah dikhabarkan yang dia telah pun berada dalam perut kapal terbang dan tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke negara orang. Perjalanan pertama kali ke Perth, Australia begitu mengujakan sekalipun dirundung pilu.
Dalam pada itu sempat juga fikirannya terkenangkan Khai. Sedang buat apa agaknya sekarang?Menyulam bahagia dengan Lisa pastinya.Bergurau senda,berbual mesra seperti pasangan suami isteri lain. Apa yang nak dikenangkan lagi,bisik hati kecilnya. Minn menghela nafas dan menyeka air matanya yang mahu gugur. Matanya dipejamkan rapat-rapat. Enggan lagi melayan hiba hati.
Setibanya di Perth International Airport, Minn melalui prosedur yang biasa dijalankan di lapangan terbang antarabangsa. Pemeriksaan dijalankan dengan terperinci dan terdapat anjing pengesan juga yang akan ‘menjalankan tugas’sementara penumpang beratur di kaunter pemeriksaan bagasi. Minn tidak pasti sama ada prosedur ketat di lapangan terbang ini memang telah dilakukan sejak azali ataupun setelah insiden 11 September yang telah menimbulkan satu ketegangan besar antara umat Islam dan kaum lainnya terutama sekali di negara Barat. Polemik yang wujud menyukarkan umat Islam dalam menjalani rutin kerana sentiasa dalam suasana prasangka.Mujurlah Minn tidak membawa banyak barang bersamanya. Jika tidak jenuh juga dia mahu menunggu.
Minn menolak troli dengan penuh hati-hati. Diisytiharkan sebagai lapangan terbang keempat tersibuk di dunia,tidak hairanlah begitu ramai manusia masuk dan keluar. Berlanggar sesama sendiri mungkin sudah biasa di sini.  Tiba di balai ketibaan dia meliarkan pandangan mencari kelibat Syima. Kakinya sudah kebas kerana terlalu lama duduk.
“Minn!” satu suara menegur dari belakang. Minn menoleh. Terpacak di hadapannya sesusuk tubuh yang telah lama tidak berjumpa. Syima! Tanpa suara Minn memeluk erat sahabat di hadapannya. Syima mendakap tubuh kecil Minn sambil ketawa.
“Kau ni belum apa-apa dah touching tau,”Syima mengusik. Minn ketawa kecil.
“Mana tak touching. Aku dah lama tak tengok kau ‘live’. Asyik YM je. Kau masih cantik macam dulu. Cuma nampak kurus sikit la,” usik Minn. Syima pula membalas tawa. Mana tak kurus. Sudah beberapa tahun dia tidak menyentuh nasi, makanan ruji tanah airnya.
“Haha. Macam mana flight? Okay ke?” Syima membantu Minn meletakkan troli bagasi di tempat yang disediakan. Dia mengambil satu beg galas manakala Minn pula menarik beg pakaian.
“Bolehla. Aku tertidur lena. Lagi sejam nak sampai baru terjaga,”
“Tapi aku rasa mesti kau letih sebab lama dalam flight. Tak apa. Nanti kita sampai rumah aku,kau boleh tidur dengan lebih sempurna. Sebelum tu kau kena makan dulu. Cuma kau tau la rumah bujang. Aku pulak bukan pakar memasak. Tunggu kau je ni,”
“Sudahlah Syima. Mulalah tu. Jauh ke rumah kau dari ‘airport’ ni?”
“Tak jauh sangat. Kita naik ‘cab’ ya.”

No comments: