Sunday, September 18, 2011

Sampai Syurga [10]

Jasad tanpa roh. Itulah yang Minn rasakan sekarang. Beribu batu meninggalkan tanahair, namun keadaannya masih sama. Mujur juga ada Syima. Lencun  bahu temannya dengan simbahan air matanya. Kalau diperah agaknya penuh satu gayung. Hampir tuli agaknya telinga Syima mendengarkan esak tangisnya. Rintihan hatinya. Sekeping hati yang hancur kerana cinta tak berbalas.
Mereka kini dalam perjalanan ke Kong’s Oriental. Syima mahu membeli stok barangan dapur yang semakin susut. Lebih-lebih lagi apabila Minn menawarkan diri untuk menjadi ‘tukang masak tidak bergaji + tak bertauliah’ sepanjang dia menghuni di rumah Syima. Berderet-deret menu yang diaturkan Syima sepanjang 10 hari Minn bersamanya. Siap tercatat atas papan putih yang menjadi tempatnya menulis agenda hariannya. Minn hanya ketawa melihat keterujaan Syima. Nak masak tak pandai,katanya.  Rutin sebagai pelajar memaksanya makan apa yang ada. Balik-balik mengejar dateline untuk hantar tugasan.Macamlah aku ni hebat sangat memasak. Setakat lepas untuk tekak sendiri bolehlah, bisik Minn sendiri.
Lebih kurang 5 minit berjalan kaki Minn dan Syima tiba di Oat Street Station. Menurut Syima, setiap 15 minit bas akan datang mengambil penumpang. Jadual perjalanan yang konsisten memudahkan penumpang merancang perjalanan mereka. Sebab itu ramai yang memilih untuk menggunakan pengangkutan awam. Mereka menaiki bas bernombor 98 dan bergerak ke Albany Highway. Lima minit kemudian, mereka berdua tiba di Albany Highway dan menuju ke Kong’s Oriental. Melihatkan harga barangan di sini, Minn menelan air liur. Mujurlah dia tidak menetap di sini kalau tidak pasti bergelandangan entah di mana. Mana tidaknya, harga barangan saja mencecah 3 kali ganda berbanding Malaysia. Ada juga barang makanan import dari Malaysia dijual di sini. Jadi tidak sukarlah untuk mereka mencari bahan-bahan yang bersesuaian untuk dimasak nanti.Selesai membeli bahan-bahan kering, mereka berdua mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. Sudah tidak larat membawa beban barang-barang yang dibeli. Esok sahaja membei bahan basah di Carousel Village. Minn setuju saja dengan cadangan Syima kerana hari sudah beransur senja.
Malam itu mereka bersantai di ruang tamu. Sudah lama sejak mereka di asrama semasa tingkatan satu hinggalah tingkatan lima. Zaman itu sangat menyeronokkan. Berkumpul bersama, makan bersama hinggalah tidur pun berkongsi tilam. Erat sekali hubungan mereka di kala itu hinggalah semuanya terpisah mengikut haluan masing-masing setelah mendapat keputusan SPM. Syima dan Minn meratah 2 keping pizza segera. Cukuplah untuk menu malam ini.
”Layan DVD nak tak?” usul Syima.
”Cerita apa?”Minn menghampiri Syima yang sedang mengeluarkan kotak dari rak.
”Hurm....layan cerita Korea nak?My Little Bride?Cerita ni kelakar.”
”Bolehlah. Dah lama juga tak layan cerita Korea ni. Kisah apa ni?” soal Minn. Tangannya mencapai bekas DVD. Hendak dibaca sinopsis tidak faham pula. Semuanya dalam bahasa Korea.
”Oh, ni pasal budak perempuan ni kena kahwin paksa dengan seorang lelaki ni. Budak perempuan ni sekolah lagi tapi bakal laki dia dah jadi cikgu. Kau tengok dulu,kang tak best la kalau kau dah tau cerita.”
Jelas Syima lantas memasukkan DVD ke dalam pemain DVD. Lucu jalan ceritanya membuatkan mereka saling berbalas tawa. Macam-macam kerenah bila isteri lebih muda daripada suami. Jiwa masih remaja tetapi sudah bergelar isteri. Keadaan bertambah kalut bila si suami bergelar guru kelasnya. Status terpaksa dirahsiakan dan di situlah berputiknya rasa cemburu dan sayang yang terpendam.
Habis sahaja menonton, Syima dan Minn beredar ke bilik masing-masing. Syima memberitahu Minn sekali lagi yang dia boleh menggunakan komputer miliknya di dalam bilik yang didiami Minn. Tahu sangat dengan sikap Minn. Suka meluahkan rasa melalui tulisan.
Minn menghempaskan diri ke atas katil. Matanya mengantuk tapi fikirannya menerawang. Niat ingin memaklumkan pada Is tapi...ah,esok sahaja. Is mesti dah tidur.
Dan...insan yang seorang itu....
Adakah kamu akan ’menyambut’ aku lagi malam ini?

No comments: