Minn
menatap kad undangan perkahwinan dengan rasa yang bercampur baur. Walaupun telah
lama kenyataan ini dia ketahui, rupanya kepedihan ini masih jelas seperti hari
pertama dia mengetahui yang Khai adalah tunangan orang. Minn menghela nafas
dalam-dalam. Mengharapkan setiap zarah udara yang disedut dapat menyembuhkan
kelukaan yang kian lama kian parah.
“Dia nak
kau datang, Minn.” Perlahan Is menuturkan permintaan Khai, sahabat baiknya. Dia
melabuhkan punggung di atas katil. Di mata Khai Minn adalah sahabat meskipun
dia tidak pernah tahu bahawa di mata Minn pula Khai lebih dari sekadar sahabat.
Dia tersenyum tawar. Menundukkan wajah. Butiran air mata mula jatuh berguguran
ke pipi.
“Cantik
tak kad ni? Inilah hadiah perkahwinan aku untuk dia, Is. Walaupun sepanjang
mengusahakannya hati aku seolah-olah dihiris belati. Buat kad kahwin untuk
insan yang kau sayang dalam diam. Tapi aku terpaksa menghampakan dia kali ini.
Aku rasa cukuplah aku dah menyeksa hati dan perasaan aku sepanjang beberapa
tahun ni.” Minn menatap mata Is yang juga telah bergenang . Mereka saling
berpelukan dalam deraian air mata. Is memang mengetahui kisah cinta rahsia
Minn. Is adalah teman yang Minn percaya untuk meluahkan rasa yang terbuku di
dada.
“Aku
faham perasaan kau, Minn. Tapi apa kau nak buat lepas ni? Kau boleh elak
daripada datang ke majlis dia. Untuk hari-hari seterusnya? Takkan kau nak jadi
pelarian sepanjang hidup kau?” soal Is. Minn melepaskan keluhan. Entahlah, Minn
sendiri tidak lagi memikirkan soal bagaimana dia harus berdepan dengan hakikat
yang mencalarkan naluri wanitanya. Yang dia tahu, dia mahu pergi jauh buat
seketika.
“Is,
jujurnya aku pun tak dapat nak bayangkan kehidupan aku lepas ni. Aku harus
biasakan diri hidup tanpa dia. Buang jauh-jauh semua kenangan. Aku ingat aku nak
bercuti panjang.” Minn melayangkan tiket penerbangan ke Australia di hadapan
Is. Is mencapai tiket tersebut daripada pegangan Minn. Kau betul-betul kecewa ,
Minn. Sayang benar kau pada Khai tapi malang Khai buta dalam menilai perasaan
kau selama ni. Aku harap kau akan dapat seseorang yang mencintai kau sepenuh
hati , Is berdoa dalam diam.
“Is? Kau
mengelamun ya?” Minn menepuk bahu Is. Terkejut Is dengan tindakan spontan Minn.
Dia ketawa dan membalas, “Aku doakan kau jumpa mamat hensem kat sana dan jatuh
cinta, kahwin dan bahagia hingga ke akhir hayat.”
“Takkan
semudah itulah, Is. Kau kan tahu aku setia. Sampai syurga ku cintamu, sampai
syurga ku menunggu…hanya satu…hanya kamu.” Minn ketawa kecil sambil menyanyikan
bait-bait lirik lagu Sampai Syurga dendangan penyanyi nombor satu pujaannya
Faizal Tahir. Botol bedak sejuk dijadikannya mikrofon. Is pun tidak ketinggalan menjadikan bekas
bedak talcum pula sebagai mikrofon. Kedua-duanya melepaskan rasa di dalam bilik
sederhana luas ini. Tiba-tiba telefon bimbit Minn berbunyi. Minn merenung mesej
yang tertera. Kemudian dia menekan butang untuk mematikan telefon.
“Siapa?”
Is pelik kerana Minn mematikan telefon. Pasti ada sesuatu yang membuatkan Minn
bertindak sedemikian.
“Khai.
Dia ingatkan aku supaya datang ke majlis akad nikah dia.Which I won’t” Minn
bersuara lesu. Is mengangkat bahu tanda no komen.
No comments:
Post a Comment