Friday, November 27, 2009

Kurelakan kau pergi

Deringan telefon berlagu ‘Nur Kasih’ dibiar sepi tidak berjawab. Maisara arif benar siapa pemanggilnya. Dia merenung lesu telefon bimbit yang terletak di atas katil. Maisara masih lagi berteleku di sejadah. Dia mahu mengadu pada Allah akan kepedihan hatinya. Dia mahu memohon kepada Allah agar dikurniakan ketabahan dalam meniti liku-liku hidup selagi dia bernafas di muka bumi. Bukan mudah untuknya bangun sekitar jam 2 pagi ini namun sedaya-upaya dia mentarbiyahkan diri. Kesepian ini menghadiahkan ketenangan buat jiwanya yang gersang. Dia masih ingat nasihat sahabatnya, carilah cinta Allah,nescaya setelah itu cinta manusia akan hadir.

Dengan telekung yang masih membaluti dirinya, dia menggapai telefon bimbitnya yang telah berhenti berdering. Ada pesanan ringkas untuknya daripada Sufian.

“Assalammualaikum Mai. Kenapa awak menyepi? Awak dah tak anggap saya sahabat awak lagi?”

Maisara mengetap bibir lalu membawa telefon tepat ke dadanya. Apalah yang mampu kulakukan Ya Allah. Aku mencintainya tapi aku juga tidak mahu kemurkaan-Mu. Dia milik orang Ya Allah. Aku tak mampu menipu hatiku kerana setiap kali berdepan dengannya aku semakin takut kehilangannya. Aku harap dia mengerti.

“Mai, bangun Mai. Panas badan kau ni. Kita ke klinik?” Isma meletakkan tangannya ke dahi Maisara. Maisara membuka matanya perlahan-lahan.

“Tak apalah Isma. Kejap lagi baiklah,” tutur Maisara lemah. Ismaliza menggeleng kepala melihat kedegilan Maisara. Cukup pantang bila hendak dibawa berjumpa doktor.

“Jangan macam ni Mai. Aku risaukan kau. Panas sangat ni. Nanti jadi apa-apa kita berdua juga yang susah. Aku hantarkan kau.” Ismaliza cuba memujuk.

“Isma, aku nak minta tolong kau boleh?” Maisara cuba bangkit sambil dibantu Isma. Maisara menarik laci mejanya. Sebuah kotak berbalut rapi diambil dan diletakkan di telapak tangan Isma. Isma terpinga-pinga tidak mengerti.

“Isma, hari ni Sufian akan kahwin. Tapi dengan keadaan aku macam ni aku tak mampu nak pergi. Boleh tak kau wakilkan aku dan berikan dia hadiah ni Isma?” Isma menatap wajah Maisara yang sudah dibasahi air mata. Ada sendu yang terbit dari bibir. Isma memeluk sahabatnya erat.

“Insya Allah Mai. Tapi janji dengan aku, kau ikut aku ke klinik,boleh?” Isma mengenakan syarat.

“Baiklah bos. Nanti lepas kau kahwin, dah tak ada lagi orang nak tengokkan sakit pening aku,” ujar Maisara. Isma juga bakal menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi. Tinggallah dia sendirian di rumah ini. Rumah milik ibu saudaranya yang disewakan kepada mereka berdua.

“Mai, aku akan selalu jenguk kau. Kita kan dah lama berkawan dari sekolah sampai sekarang. Kau sahabat aku dunia akhirat,Mai,” ayat terakhir Isma mengimbau pertemuan terakhirnya dengan Sufian. Ayat yang sama pernah dituturkan Sufian buatnya.


Isma memegang kemas hadiah kiriman Maisara. Dia memanjangkan lehernya mencari kelibat Sufian. Para tetamu semakin berkurangan memandangkan waktu juga hampir menunjukkan jam 4 petang. Jika dirujuk pada kad jemputan, majlis berakhir pada pukul 3.00 petang.

Akhirnya kelibat Sufian yang dinanti muncul juga. Sufian kelihatan segak tapi Isma perasan wajahnya agak sugul sedikit. Agaknya Sufian sedih sahabat baiknya tidak hadir pada hari bahagianya? Terkenangkan Maisara, Isma jadi sayu. Betapa dalamnya cinta sahabatnya kepada Sufian.Kenapa Sufian tak nampak semua tu? Seperti ada kuasa psikik, Sufian menoleh pada Isma yang berdiri tegak di bawah khemah yang masih belum ditanggalkan. Isma melempar senyum sambil melangkah ke arah Sufian.

"Maisara tak dapat datang. Aku mewakilkan dia," Isma menjelaskan kehadirannya.

"Kenapa? Aku harap sangat dia dapat datang," ujar Sufian. Saya rindukan awak,Maisara,keluhnya.

"Pian, kau terimalah hadiah daripada insan yang telah kau hancurkan hatinya. Kau takkan faham apa yang dia rasa tapi aku faham. Jangan cari dia lagi, Pian. Kau teruskanlah hidup kau dengan isteri tercinta." Ketegasan suara Isma membuat Sufian terkedu. Maisara mencintai aku?

"Tapi Isma-"

"Tolong Pian. Dia dah cukup menderita. Dia jatuh sakit sebab tu dia tak dapat datang. Aku tahu Maisara mesti marahkan aku kalau dia tahu aku beritahu kau semua ni. Tapi aku tak sanggup nak menahan rasa sakit hati aku pada kau,Pian.Maafkan aku. Aku minta diri."

Sufian membawa hadiah kiriman Isma daripada Maisara ke dalam kamar. Isterinya pasti masih sibuk di dapur. Perlahan dia membuka balutan. Satu lakaran yang dilukis sendiri oleh Maisara. Dibingkaikan cantik.Gambar dia dan isterinya. Maisara memang berbakat dalam lukisan. Sufian membaca ayat yang ditulis sendiri di hujung kertas: Semoga kalian tabah menongkah arus dalam rumahtangga.Ikhlas dari sahabatmu.Serta-merta segala kenangan manis bersama Maisara tergambar di ruang mata. Hatinya sebak seolah-olah dia kehilangan sesuatu yang amat dekat di hatinya.

Ya Allah, kau berikanlah kebahagiaan buat sahabatku, Maisara. Maafkan aku kerana melukainya.Sungguh aku menyayanginya Ya Allah.Lindungilah dia.

Luka di hati tak siapa tahu

"Saya tak tahu sama ada nak beritahu awak atau tidak."
"Kenapa?"
"Rasa berat hati nak beritahu"
"Apa benda yang berat sangat tu. Jomlah kita pergi timbang. Nak juga saya tahu berapa berat 'beban' yang awak pikul sekarang," Maisara ketawa. Cuba merubah wajah mendung yang menyelimuti wajah sahabatnya, Sufian. Sufian ikut ketawa. Adakah kau akan ketawa gembira seperti ini setelah mendengar pengakuanku ini, Mai? Hatinya berbisik resah.

"Mai, sebenarnya saya dah bertunang. Dah 2 minggu dah." Ketawa Maisara sirna tiba-tiba. Jantungnya seolah-olah berhenti berdegup. Darah menyerbu naik ke muka. Betulkah apa yang aku dengar ni? Aku tak salah dengar kan? Dalam kekalutan Maisara cuba mengumpul kekuatan menatap wajah pemuda yang disayanginya dalam diam.

“Tahniah, Pian. Lepas ni tak bolehlah kita selalu jumpa macam ni. Tak baik nanti tunang awak salah sangka. Bertuah perempuan tu kan. Saya doakan awak bahagia,” Maisara mengukir senyum tetapi begitu kelat dirasakan. Air matanya sudah bergenang di pelupuk mata. Berguguran jatuh di pipinya. Cepat-cepat dia menyeka.

“Awak menangis Mai?” Sufian mula panik. Dia tidak tahu harus berbuat apa. Hatinya luka melihat sahabat baiknya mengalirkan air mata. Sufian tidak faham apa yang dirasakan. Melihat Maisara bersedih, hatinya turut merasa pedih.

“Saya bukan menangis sedihlah Pian. Saya gembira untuk awak. Perempuan biasalah, hati tisu. Gembira menangis, sedih pun ya.” Maisara cuba mengaburi Sufian dengan penjelasannya. Sedangkan ayat itu sebenarnya adalah untuk memujuk dirinya sendiri.

“Saya harap pertunangan saya tidak mengubah apa-apa antara kita Mai. Maisara, awak sahabat baik saya sampai akhir hayat,” penuh perasaan Sufian menuturkan kata-kata. Maisara merenung mata Sufian. Maisara nampak keikhlasan dalam anak matanya. Kau bukan sekadar sahabat baikku, Pian. Kau sebenarnya nadi hidupku. Tapi Allah tidak mentakdirkan kita untuk bersama. Aku terluka sungguh. Ya Allah berilah aku kekuatan untuk meredhai takdir yang Kau tuliskan untukku. Dalam kesayuan Maisara merintih.

“Sempena meraikan pertunangan awak, saya belanja awak makan hari ni. Boleh?” Sufian tersenyum setuju. Hari ini hari terakhir kita, Pian. Selepas ini, aku akan merawat luka yang kau tinggalkan. Entah sembuh entah tidak....


Menulis tanpa dirancang.Ada sesiapa kat luar sana yang boleh bantu aku sambung next episode?:p

Monday, November 23, 2009

Wajah Tensen

Argh!

Adoi, badan aku ni dah 'sezen' la. Sakit sana sini. Agaknya sebab terlalu lama duduk depan komputer. Habis kerja aku memanglah kena pakai pc, bukan pakai kaki. Eh, apa aku cakap ni?Merepek pulak.Hahah.

ISO dah habis. Lega sikitlah otak aku. Tapi tak bermakna kerja-kerja lain tu dah selesai. Argh,letihlah bila mengenangkan kerja yang tak pernah surut ni. Nak ajak member-member keluar happy hour pun tak tau bila. Adik aku dah ajak shopping dah. Bagus, memang aku pun teringin cuma tunggu masa je.Sesekali memanjakan diri. Asyik terperuk kat opis je, tak gitu?

Ya Allah, jauhkan aku dari kesedihan yang menggugurkan rasa keredhaan aku pada-Mu. Amin...

Wednesday, November 11, 2009

Hoo ISO

Adoi, penat betullah sejak 2-3minggu ni.Disebabkan ISO semua 'opismate' dikerah bekerja keras demi mencapai matlamat universiti. Bertindih pula dengan minggu pendaftaran pelajar membuatkan aku kadang-kadang tak tahu nak dulukan yang mana. Dua-dua sama penting. Keadaan ini membuatkan aku hilang sabar lebih-lebih lagi mengenangkan kerenah pelajar dan tak kurang juga kerenah....faham-faham sajalah.

Sekarang ni masa pun kurang di rumah. Lebih banyak dihabiskan di pejabat. Memang patutlah aku tak kahwin lagi. Kalau tak laki ke mana, anak ke mana agaknya.Hahahah.Mujur jugak ada sahabat membantu ambil alih tugas aku sekejap. Apa pun thanks Shikin. Jasamu dikenang.

Balik semalam ada kucing tompok singgah di rumah. Serta-merta aku teringat kucing aku yang dah mati. Tak pasal-pasal air mata aku bergenang sebab teringatkan kucing yang aku sayang. Dia je yang tahan walaupun aku marah dia. Tapi bila aku belai,dia tak takut pun. Tak pernah aku sayang kucing macam aku syg kucing tu...tak tahu juga kenapa aku menangis bila ingatkan dia.Mungkin sebab aku tengok dia membesar depan aku. Kalau aku marah pun,agaknya dia jenis tak ambil hati macam kucing lain yang terus takut dengan aku. Siapalah yang langgar dia.Aku sedih sebab x berani nak tanam dia.Tak ada tempat pun.Apa pun aku tahu kucing aku tu dah bahagia sekarang kan. Sejak tu aku dah tak suka dengan kucing lain yang bagi aku mengada-ngada.Hahaha.