Friday, September 16, 2011

Sampai Syurga [4]

“Lisa.”
 Khai menyapa isterinya yang sedang termenung di jendela kamar. Lisa tidak menoleh. Masih lagi berdiri sambil merenung halaman. Khemah kenduri siang tadi masih terpacak.Ada segelintir lagi orang kampong dan sanak saudara yang masih bertukar cerita biarpun hari menginjak senja.
“Kenapa termenung ni?” Khai berdiri di sisi Lisa yang kini telah sah menjadi isterinya. Wajah Lisa keruh.
“Lisa tak selesalah duduk rumah kampung you ni. Panas.” Khai tersentak mendengar kata-kata yang tidak disangka akan terpacul dari bibir wanita yang dicintainya. Namun dia cuba bersabar. Dia faham Lisa membesar di kota. Pasti dia sukar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan desa yang serba kekurangan.
“Rumah kampung, Lisa. Nanti bila dah malam sikit sejuknya sampai ke tulang. Lebih sejuk dari ‘aircond’ rumah Lisa tu.” Pujuk Khai. Bahu isterinya dipaut lembut. Lisa memang cantik. Rambutnya lurus melepasi bahu. Berkulit halus dan cerah. Memang menggetarkan imannya sebagai lelaki. Cuma ada masa Lisa berkelakuan agak keanak-anakan terutama sekali bila tidak gemar akan sesuatu perkara atau pun kehendaknya tidak dituruti.
“Sudahlah. Tak baik masam-masam muka. Hilang manis wajah isteri abang. Tutuplah tingkap ni nanti nyamuk masuk.” Lisa membantu suaminya menutup jendela. Azan maghrib berkumandang dari surau berhampiran.
Hari ini hari pertama dia mengimamkan solat sebagai suami. Ada rasa sendu di hatinya. Pertama kali menatap wajah Lisa bertelekung, fikirannya terimbas pada satu wajah yang selama ini selalu mengiringi hatinya dalam diam. Bila dia mengucup dahi isterinya usai solat, air matanya bergenang tanpa diketahui apa puncanya. Dia seperti kehilangan sesuatu. Khai makin tidak mengerti gelodak perasaannya. Cuba diusirnya rasa itu dengan mengucapkan istighfar.
Pintu biliknya diketuk. Khai membuka pintu perlahan-lahan. Ibunya berdiri sambil memegang sehelai kain batik.
“Ya mak?” Khai bertanya.
“Bagi kain ni pada Lisa. Baru lagi ni. Kalau dia nak pakai.” Khai menyambut pemberian ibunya. Sebelum beredar, ibunya berpesan supaya mengajak Lisa makan malam memandangkan hidangan sudah tersedia.
“Kenapa you?” Khai menghulurkan pemberian ibunya pada Lisa. Lisa menyambut huluran dengan wajah tanda tanya.
“Mak bagi. If you need it, okay? Jom, mak dah panggil makan.” Lisa meletakkan kain pemberian ibu Khai di atas katil. Memaut lengan suaminya dan mereka seiring ke dapur. Keluarga telah pun menunggu di meja makan.  Kehadiran Lisa disambut dengan mesra oleh ahli keluarga Khai. Seboleh-bolehnya mereka tidak mahu Lisa rasa kekok.
Kerana keletihan, Lisa tidur lebih awal malam itu. Khai pula masih membantu keluarganya mengemas segala peralatan yang digunakan semasa kenduri yang berlangsung petang tadi. Selesai, Khai menyusul isterinya. Nyenyak Lisa tidur. Khai tersenyum. Selimut yang melurut ke kaki ditarik ke atas.
Telefon bimbitnya seharian tidak berusik. Bersusun mesej menyampaikan salam tahniah atas perkahwinannya. Dia tersengih sendirian bila ada mesej lucu yang mencuit perasaannya.
“Assalammualaikum awak. Tahniah sebab dah bergelar suami sekarang. Semoga kehidupan awak dirahmati Allah. Saya minta maaf tak dapat hadir semalam…”
Khai meraup wajah menatap mesej yang diterima daripada Minn.  Khai terbayang saat-saat mereka berdua. Minn yang selalu menyokong, Minn yang sentiasa memberi semangat, Minn yang nakal. Khai menggeleng kepala sambil tersenyum mengenangkan semuanya.
Minn….

No comments: