Saturday, February 27, 2010

Perginya kerana kebuasan manusia

Siapa yang tidak terkejut dengan berita mengenai seorang anak kecil yang meninggal dunia akibat penderaan berterusan yang dialaminya. Lebih malang lagi apabila ia dilakukan oleh seseorang yang sepatutnya menjaga dan mendidik, bukan melampiaskan rasa marah dan baran. Makhluk Allah, lelaki dan punya kekuatan dan akal fikiran yang lebih daripada wanita kini berubah menjadi binatang buas yang laparkan mangsa. Hunting for prey. Kemudian dilaporkan bahawa ibunya pula bersekedudukan dengan si pendera tadi. Apa yang sedang berlaku dalam institusi kekeluargaan sekarang?

Syafia Humairah, 3 tahun bukanlah mangsa pertama penderaan. Sebelum ni pun ada kes yang sama juga. Cuma akhir-akhir ini banyak sungguh cerita berkenaan nasib anak-anak yang mati di tangan ibu bapa sendiri. Anak luar nikah atau bahasa kasarnya ‘anak haram’apatah lagi, bersepah-sepah di tempat pembuangan sampah dan mangkuk tandas. Nyawa anak-anak ini tiada nilainya di mata mereka.

Biarpun tidak punya cahaya mata sendiri, tapi melihat anak-anak kecil yang comel dan keletah,hati mana yang tidak jatuh sayang. Itu baru anak orang kan? Bila ada anak sendiri pastilah kasih sayangnya melimpah ruah. Memang diakui mendidik anak dalam peringkat membesar ini sangat menduga kesabaran namun janganlah sampai menyesal di kemudian hari dek kerana terlalu mengikut perasaan. Mereka masih belum mengerti apa-apa. Kita sebagai orang dewasalah yang sepatutnya menunjukkan jalan yang betul dan contoh tauladan yang baik.

Ambillah iktibar, jadikanlah pengajaran. Dunia semakin tua. Manusia seperti di zaman jahiliah makin bertambah dari hari ke hari. Tidak gerunkah kita dengan tanda-tanda ini?

Subhanallah…

Thursday, February 25, 2010

Sukarnya untuk Ikhlas!

Sukarnya mengikhlaskan diri dalam membuat sesuatu pekerjaan. Tidak dapat tidak pasti akan terbit keluhan demi keluhan. Lebih-lebih lagi dalam urusan kerja. Pasti ada saja perkara yang mengundang rasa tidak puas hati.

Itulah yang sedang aku alami sekarang hingga aku disarankan mencari kerja lain oleh teman baikku. Bila difikirkan apa lagi yang aku nak buat? Aku sayangkan pekerjaan aku walaupun adakalanya dipandang remeh oleh sesetengah pihak. Aku bukan patung yang tak punya perasaan. Aku masih lagi mengawal dan cuba mengawal perasaan sakit ini. Bukan sekali dua aku ingatkan diri aku sendiri untuk bersabar. Namun sukarnya apabila aku ini memang dipakejkan dengan personaliti panas baran. Hahahah…aku juga tidak suka personaliti ini tapi itulah yang selalu berlaku tanpa disedari.

Bukan tidak cuba berubah. Tetapi terlalu payah untuk mengubahnya dalam masa yang singkat. Bila mengubah diri sendiri terasa payah, apa lagi untu mengubah orang lain. Fikirkan.

Dan aku memang bijak memujuk hatiku sendiri melalui tulisanku. Hahahahah!

Sunday, February 21, 2010

Layan Karok

Wah! Dah lama aku tak layan karaoke. Akhirnya impian jadi kenyataan. Dengan selamba aku dengan 2 orang kawan atau boleh dikatakan geng tetap karok menuju ke tempat yang selalu kami datangi untuk melakukan senaman suara. Bila sampai je ke destinasi…mak aih ramainya beratur! Budak-budak pun ada. Kemain lagi ye budak-budak sekarang. Aku dulu tak reti langsung bab-bab ni. Sekali bantailah 2 jam setengah. Mula-mula ingat lama. Rupanya sekejap je 2 jam lebih tu. Apapun memang puas hati dan layan. Perasan jap jadi penyanyi di dalam bilik tu. Ahaks!

Friday, February 05, 2010

Kembali ke RC

Setelah sekian lama aku tak duty jaga RC, hari ini ialah hari pertama aku memulakan job yang aku rasa tak berapa best ni. Hahahaha! Selalu duduk dalam je kan. Bila kena duduk kaunter balik, mulalah muka yang garang ni jadi bertambah serius tahap dewa. Huish. Sapa yang pernah jaga kaunter tu fahamlah dengan dugaan-dugaan dan cubaan-cubaan yang adakalanya sampai kita pun tak tertahan. Hanya mereka yang berjiwa kental je boleh menahan semua tu. Tapi dalam kental tak kental tu berjaya jugalah aku bertahan sampai 3 tahun.

Bila dah masuk bahagian akademik, rupanya bertambah sasau aku dibuatnya. Beban bertambah dengan pertambahan pelajar. Sampai ada masa nak je aku blah tinggalkan pejabat. Namun jauh di sudut hati aku suka tempat ni. Sayang. Aku kan jenis setia nak mampos. Even adakalanya tak bertempat pun. Sadis kan? Kadang-kadang tu nak jugak jadi hati batu. Tapi apakan daya dah ditakdirkan menjadi hati tisu.

Ya Allah, berilah aku jalan dalam menyelesaikan permasalahan yang membelenggu hati ini.

Tuesday, February 02, 2010

Fitnah!

"Wahai orang-orang yang beriman sekiranya datang kepada kamu orang fasik dengan berita-berita maka siasatlah (terlebih dahulu) kebenarannya (kerana bimbang) kalau-kalau kamu mengenai sesuatu kaum tanpa pengetahuan, lalu kamu menyesal atas perbuatanmu (al-hujurat:6) “

Menerima berita dari seorang teman baik mengatakan namanya telah dicemari amat menyakitkan hatiku. Mengapa mesti ada golongan yang hanya mementingkan kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan bagaimana rasanya seandainya perkara yang dilakukan itu menimpa diri ? Mengapa masih ada golongan yang hanya memikirkan note bernilai puluhan, ratusan atau ribuan daripada memikirkan keberkatan dalam menunaikan tanggungjawab? Mengapa masih ada golongan yang lebih tega menindas daripada ikhlas?

Aku tidak punya jawapan yang rigid untuk persoalan-persoalan di atas. Semuanya bersifat subjektif berpandukan dari sudut apa ia dilihat. Ya mungkin sipolan pernah melalui satu insiden yang memaksanya untuk bertindak sedemikian. Namun matlamat tidak menghalalkan cara. Jangan sewenang-wenangnya menuduh orang lain sebagai penipu selagi tiada bukti. People are innocent until proven guilty.

Aku pastinya insan paling hampa jika perkara ini membawa impak yang tidak baik pada perjalanan kariernya yang baru hendak bermula. Aku memohon pada Allah agar temanku diselamatkan daripada kata-kata dusta yang cuba merosakkan kredibilitinya. Aku juga memohon agar penyebar dusta bertaubat dari perbuatannya. Dan aku juga mohon agar pihak berkenaan mampu menilai siapa kaca, siapa permata...

Buat temanku, bulatkan tekad dan kuatkan semangat. Jangan putus berdoa pada Allah. Aku juga akan mendoakan agar hidupmu diberkati Allah.Amin...