Saturday, May 15, 2010

Intro new series-Kau Cintaku

“OH-MY-GOD!”

Azura merapatkan jam loceng ke wajah. Kurang 5 minit pukul 8 pagi. Kelas Dr. Zack aka Mr. Punctual akan bermula setengah jam dari sekarang. Baju pun belum iron, macam mana ni? Dia turun meniti anak tangga satu persatu. Ikutkan hati nak terjun saja dari atas ke bawah,namun mengenangkan kebarangkalian untuk patah kaki atau patah tulang rusuk adalah tinggi dan silap-silap boleh menyebabkan nyawa melayang, ada baiknya dia meniti anak tangga. Walaupun dia merasakan pepatah biar lambat asal selamat itu tidak kena dengan situasinya kini.

Aina , teman sebiliknya masih enak menyulam bahagia di dalam selimut. Gosh, I envy her! Azura membongkok sedikit untuk mencapai toiletries di bawah katil mereka. Bersarungkan selipar berat ‘Tat Sing’ putih miliknya, Azura bergegas ke bilik air yang terletak di hujung blok. Saat-saat begini memang terasa nak pakai roller blade. Wajah Mr. Punctual tiba-tiba muncul dalam bayangan. I’m dead!


Selipar paling glamer zaman aku dok hostel.


Sunday, May 09, 2010

Apabila Engkau Terasa Sepi

Apabila Engkau Terasa Sepi

HAPPY MOTHERS DAY


Selamat Hari Ibu

Aku tau hari ni mesti ramai yang buat benda special kat mama masing-masing. Aku? Aku tak buat apa yang surprising pun but deep down inside I always love my mum even I couldn’t say it with words. Pagi ni just bawa pergi pasar, tolong sorong troli lepas tu caught dalam traffic jam kat pasar borong sampai aku dah lost track mak aku. Hahahahhaha!! Bila balik singgah kedai kejap,sampai rumah aku pun kemasla ruang tamu tu apa yang patut. Kalau aku kemas pun mesti selerak baliklah buku-buku my dad tu yang katanya ‘biar bersepah,senang cari’. Tapi mata aku yang bersepah tengok keadaan macam tu. So, ignore je la sebab aku tau mak aku x suka semak macam aku. Hahahaha!!

Kemudian on TV9, tup-tup keluar cerita Potret Keinsafan. Well, apa lagi mesti pasal kisah ibu. Selalu pasal anak derhaka kat ibu,tapi kali ni ibu dia pulak ‘derhaka’ kat anak dia. Ops, jangan salah anggap ok. Aku kata macam tu sebab dalam cerita tu, mak dia asyik tuduh dia jadi mat pit la,mat gian la padahal mamat tu identity dia je serabai tapi hati baik. Bila dia kena tuduh mencuri padahal dia yg kejar pencuri. Hanya sebab ‘figure’ dia yang tak kemas, berjambang,so org blame dia. Mak dia pulak tak habis-habis salahkan dia jugak sebab dia ni tak kerja. Dia cari rezeki dengan melukis sebab tu minat dia. Ikutkan mamat ni sabar dia dah sampai tahap nak ‘wachaaa’ je kayu-kayan kat rumah dia tu bila mak dia sanggup bakar alat lukisan dia. Tapi dia hanya diam. Diam. Walaupun telinga dah tahap nak tertanggal dengar mak dia berleter dan tuduh dia macam-macam.

Malam tu, mamat tu berdoa supaya mak dia berhenti cakap bukan-bukan pasal dia. Dia minta mak dia cakapla yang baik-baik sebab kata-kata mak tu doa. Mak dia terdengar dan sedar dari kesilapan dia selama ini. Happy ending!

Jadi buat mereka yang bergelar ibu, hati-hati dengan percakapan anda terhadap anak anda kerana kata-kata ibu tu bagaikan doa yang sangat mustajab tak kira baik atau buruk. Kata penceramah tu, mulut ibu memang sangat masin. Gunakanlah ‘kemasinan’ itu untuk mendoakan yang baik-baik utk anak walaupun anak kita tu nakal.

Kejap, macamlah aku ni dah jadi mak bila cakap macam ni. Heheh. Tapi berkongsi maklumat tak salah kan?

SELAMAT HARI IBU BUAT SEMUA IBU-IBU DI DUNIA.

Friday, May 07, 2010

KAU CINTAKU…DULU, KINI DAN SELAMANYA


Sedihnya bila hanya kita sahaja yang terpaksa faham apa yang orang lain rasakan.

Sedihnya bila kita membuat orang lain gembira tapi diri sendiri merana dan terseksa.

Aku cuba memahami, namun satu pun gagal membuat aku mengerti.

Aku cuba menafikan, namun makin kuat hati ini mengiyakan.

Bila pasak hati yang menahan ini nampaknya hampir rebah menyembah bumi. Bila benteng ketabahan dan kesabaran semakin terhakis dek rasa kecewa. Lalu aku melangkah dalam keadaan terpaksa atas nama persahabatan, pengorbanan dan cinta….

Jika benar cinta, lepaskanlah

Sekiranya dia muncul kembali, itulah jawapan kepada persoalan

Namun andainya dia tidak kembali, anggaplah perasaan itu tidak pernah wujud sejak mula lagi.

Tapi, aku melepaskan dengan satu harapan…


*Dapat idea masa tengah lara menyimpul kecewa.Frens, aku akan cuba realisasikan kisah ini hingga hujung nyawa.Berkati aku Tuhan...

Wednesday, May 05, 2010

SHOWDOWN 2010: MY BRO TEAM MADE IT!

Syabas!
Walaupun aku bukan dalam dunia ni, but I will always support my bro.I know we can't change people , force people to follow our path.But in the end I pray that he will realized that life is more than that.

Motto: "Walau Aku Kalah Aku Kisah Apa"


Tuesday, May 04, 2010

BLOG BEST CUCURATAP

Aku terjumpa satu blog yang memang sangat interesting.Hasil tulisan yang aku baca memang memuaskan aku. Ada macam-macam perasaan yang aku rasa.Mungkin juga cerita-cerita yang dia buat tu sangat kena dengan aku.Buatkan aku boleh menghayatinya dengan penuh perasaan.Heheh. Walaupun ending cerita hidup aku ni tidaklah sebaik dan tak se 'best' macam cerita tu. Aku boleh bayangkan setiap ayat yang dia create tu dengan visual aku.

Ermm...

Singa comel... (ada orang panggil aku rimau)
Kalut dan garang....(pun ramai.hahahah)
Kecik...(memang sangat tidak boleh dinafikan BETUL)
Jiwang...(mostly lebih pada ayat aku sebab aku ni bukan seorang yang outspoken.banyak rasa yang aku simpan dan pendam sbb tak mau org lain kecewa...wlp selalu aku yang parah.tak tau bila akan ada hepi ending.Be positive,tak hepi ending kat SINI, aku harap hepi ending kat SANA)

So,macam mana aku rasa tak termasuk dalam karekter yang digambarkan blogger CUCURATAP? Harapnya CUCURATAP boleh publish cerita yang dia buat ni yang ala2 gaya HLOVATE yang aku pun sangat suka!

Keep up CUCURATAP!

(Aku boleh tak menghasilkan sesuatu yang memberi kesan?Boleh ke?)

Monday, May 03, 2010

AKHIR CINTA ABADI 9

"KU RELAKAN KAU PERGI..."

Majlis pengebumian Putra Afandi berjalan lancar. Suasana sayu menyelubungi seisi rumah.Majlis tahlil juga akan diadakan di rumah keluarga arwah. Ramai saudara-mara dan teman-teman hadir bagi melakukan penghormatan terakhir.

Raisya pula beberapa kali tidak sedarkan diri lantaran terlalu hiba dengan kehilangan suaminya. Bagai terbayang-bayang renungan suaminya merenungnya. Semasa ibunya menyuruhnya untuk menghadiahkan satu ciuman terakhir buat arwah, Raisya tidak mampu mengawal perasaannya. Melihatkan wajah suaminya yang sudah dikafankan. Melihat wajah suaminya yang dirasakan sangat tenang. Hatinya tersayat. Sudahnya, dia jatuh pengsan dan hanya sedar bila jenazah selamat disemadikan.

“Abang, Raisya sayang abang. Kenapa abang pergi tak beritahu dulu?” Raisya menangis tersedu-sedan di hujung katilnya. Hancur hati mak dan mama melihat keadaan anak dan menantu. Ecah yang tidak tahan terus keluar dari bilik arwah abangnya dan Kak Raisya. Dia sendiri perit untuk mengakui yang abangnya telah pergi buat selama-lamanya.

“Sudahlah Raisya. Redhakan pemergian Putra, nak. Allah lebih sayangkan dia.” Mak memujuk anaknya yang masih dalam keadaan tidak stabil.

“Betul kata mak Raisya tu. Mama sendiri lagi sedih sebab kehilangan satu-satunya anak lelaki mama.” Raisya memandang wajah mama. Dia lupa ada lagi insan yang lebih merasai kehilangan Putra daripada dia. Raisya memeluk mama dengan erat. Raisya cuba untuk menerima hakikat yang suami, teman, sahabat dan kekasihnya telah pergi dahulu menyahut seruan Ilahi. Jika ini dugaan-Mu untukku, bantulah aku untuk mengharunginya Ya Allah.

Genap seminggu Putra pergi. Raisya masih lagi belum pulih sepenuhnya dari kesedihan. Dia meminta izin keluarga mertuanya untuk tinggal di rumah keluarganya buat sementara. Tidak sanggup rasanya untuk menetap di rumah yang banyak meninggalkan kenanganya bersama Putra. Seolah terlihat-lihat kelibatnya di dalam bilik, di ruang tamu. Bagai terdengar-dengar suaranya bergurau bersamanya. Tidak mampu dia menghindari bayang-bayang Putra yang saban hari mengekori langkahnya dan menemani tidurnya.

Hari ini dia menjejakkan kaki ke rumah bekas mertuanya. Bertanya khabar. Raisya tahu dia masih bertanggungjawab atas keluarga arwah suaminya biarpun Putra telah jauh meninggalkannya. Sesungguhnya dia kagum dengan mama dan papa yang cukup tabah menghadapi pemergian anak lelaki tunggal mereka. Cuma Ecah masih lagi berduka. Tak apa, dia akan menggantikan Putra sebagai kakak.

Raisya menekan suis lampu kamar. Masih lagi seperti kali terakhir dia meninggalkannya. Serta-merta air matanya bergenang. Dia mengatur langkah ke meja solek. Bingkai gambar yang memuatkan gambar mereka berdua diambil dan ditatap. Gambar dia mencium suaminya yang diambil Ecah selepas majlis pernikahan. Raisya ketawa kecil kerana teringatkan saat itu. Titis-titis air mata jatuh di atas gambar tersebut. Tidak mahu terus-terusan dihantui perasaan, Raisya bergerak ke kamar mandi. Dia mahu bersolat.

Usai solat Isyak, dengan penuh tertib Raisya memohon doa:

“Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Aku sangat berterima kasih kerana Engkau telah memberikan aku peluang bergelar isteri buat arwah suamiku yang dikasihi, Putra Afandi. Biar pun cuma seketika, aku sangat menghargainya Ya Allah. Cuma aku terkilan kerana tidak berkesempatan memohon ampun atas segala dosa-dosaku terhadap suamiku.

Ya Rahman, kau cucurilah rahmat ke atas roh suamiku. Ampunkanlah segala dosanya. Jadikanlah pusara suamiku salah satu taman dari taman-taman syurga. Bukannya salah satu lubang neraka. Terangilah alamnya, permudahkanlah segalanya. Sampaikan salam kasihku padanya Ya Allah. Amin.”

Sayang, abang redha engkau sebagai isteriku.”

Raisya tersentak. Suara itu…terasa dekat dengan cuping telinganya. Dia memerhati sekeliling. Tiada sesiapa cuma dirinya sahaja di dalam bilik. Sekali lagi empangan matanya pecah.

Semoga abang sentiasa dalam rahmat Allah,bisik Raisya sayu.

Bila aku sudah tiada

Simpan semua laguku jangan ditangis selalu

Mungkin ini sementara

Bila jumpa penggantiku jangan dilupakan aku

TAMAT



AKHIR CINTA ABADI 8


"JANGAN TINGGALKANKU, SAYANG"

“Penyakit suami puan bertambah serius. Seeloknya dia dirawat di hospital sahaja.”

“Apa peluang suami saya, doktor?”

“Secara jujurnya puan…sangat tipis.”

Serasa mahu melayang apabila dikhabarkan insan kesayangannya tidak punya banyak waktu lagi. Biarpun dia sudah maklum akan keadaan Putra, namun hatinya masih tidak mampu menerima berita buruk ini. Ubat yang ada hanya mampu mengurangkan kesakitan yang dialami, bukan menyembuhkan.

Sebaik keluar daripada bilik doktor yang bertanggungjawab merawat suaminya, Raisya menyusun langkah ke wad kecemasan. Dia menguak daun pintu. Terlihat olehnya wajah mama,papa dan Ecah yang dirundung duka. Raisya membatalkan hasratnya untuk menjenguk suaminya. Biarlah keluarga terdekatnya menunggu di sisi. Dia juga perlu mengumpul kekuatan untuk menghadapi semua ini.

Raisya bersandar di dinding. Dia mengetap bibir menahan tangis. Lututnya dirasakan lemah. Badannya melurut ke bawah dan akhirnya dia terduduk di lantai. Raisya cuba mengawal perasaannya dengan menyebut nama-nama Allah.

“Raisya, anak mak.” Suara itu sudah lama dia rindukan. Suara mak yang telah hampir dia lupakan lantaran kesibukan urusan rumahtangganya. Demi terpandang saja wajah mak, Raisya menangis hiba. Mak merangkul Raisya yang jelas kelihatan tidak berdaya. Raisya melepaskan tangisannya di bahu mak. Abah juga turut sayu mengenangkan kedukaan satu-satu permata hatinya.

“Sabar banyak-banyak, Raisya. Kita sama-sama berdoa agar Putra selamat.” Nasihat abah menusuk ke jiwanya. Pelukan dileraikan. Mak menyapu wajah puterinya yang sudah dibasahi airmata.

“Raisya ingat Raisya mampu laluinya tapi….Raisya tak cukup tabah, mak,abah.”

“Raisya mesti kuatkan semangat. Putra kini bertarung nyawa. Dia perlukan Raisya. Ketabahan Raisya. Putra pasti tak mahu lihat isterinya dalam keadaan lemah macam ni.”

“Maaf pakcik,makcik. Kak, abang dah sedar. Dia cari kakak,” perbualan mereka anak beranak terhenti. Abah dan mak memberi izin. Mereka berdua mengiringi Raisya masuk ke bilik kecemasan. Mak memeluk mama sambil menenangkan perasaan besannya. Begitu juga abah. Masing-masing cuba untuk menyembunyikan resah yang bersarang di lubuk hati.

“Abang.”Raisya menggenggam erat jari-jemari Putra. Putra membuka kelopak matanya perlahan-lahan. Raisya menghadiahkan senyuman buat tatapan suaminya meskipun jiwanya merintih sayu.

“Sayang,sayang menangis ya? Ingat abang dah mati ya?” dalam keadaan genting begini dia masih boleh bercanda, getus Raisya dalam hati.

“Abang jangan cakap bukan-bukan boleh tak? Rehatlah. Abang tak boleh banyak cakap.” Raisya bersuara sedikit marah. Putra tersenyum lemah.

“Mama, papa…Putra nak balik rumah.”

“Tak boleh sayang. Putra kena duduk hospital. Terima rawatan. Biar cepat sembuh.” Mama melarang. Raisya mengangguk tanda mengiyakan.

“Mama, Putra tahu Putra dah tak ada harapan lagi. Kalau boleh Putra nak habiskan masa Putra dengan keluarga Putra. Putra tak nak mati kat hospital, mama,papa.” Mama mencium dahi Putra. Air mata mama jatuh menitis ke dahi anak lelakinya. Wajah Putra dielus dengan rasa kasih seorang ibu. Mak memaut bahu Raisya seolah menyalurkan semangat buat anak gadisnya.

“Abang, Ecah sayang abang.” Ecah mengongoi lalu melentokkan kepalanya ke dada Putra. Semua yang ada di situ tidak dapat menahan sebak. Air mata Putra mengalir laju. Adik kesayangannya dipeluk erat. Ngilu hati memikirkan yang dia akan pergi meninggalkan insan-insan yang begitu berharga dalam hidupnya. Namun dia akur dengan takdir yang telah disuratkan oleh Ya Rabb.

Akhirnya permintaan Putra ditunaikan setelah 2 hari ditahan di wad kecemasan. Kesihatannya yang semakin merosot membuatkan Putra meletak jawatan. Hari-hari yang dilalui di rumah cukup suram dan menghibakan. Namun seboleh-bolehnya semua penghuni rumah itu cuba untuk tidak mempamerkan kesedihan di hadapan Putra. Putra dilayan seperti biasa meskipun dia tidak lagi cergas seperti dahulu. Mak dan abah juga kerap berulang-alik bertanyakan khabar menantu mereka.

Raisya juga gagal menumpukan perhatian dalam kerjanya. Saban hari dia teringatkan suaminya.Mujurlah ketuanya membenarkan dia bercuti sehingga keadaan benar-benar stabil. Hanya Allah saja yang tahu betapa dia menghargai jasa baik ketua yang memahami keadaannya.

Selesai membantu mama dengan rutin harian di dapur, Raisya melangkah masuk ke bilik. Di sebalik pintu dia terdengar suara suaminya berdoa,

“Ya Allah Tuhanku Yang Maha Pengasih dan Maha Pengampun, ampunkanlah dosa-dosaku,dosa kedua ibu bapaku,adikku, mertuaku dan juga bidadariku yang juga isteriku. Aku mohon, kau ambillah nyawaku dalam keadaan yang paling berhikmah kerana aku sangat gentar dengan seksanya sakaratulmaut. Ya Allah, sepermergianku, rahmatilah keluargaku , rahmatilah isteriku. Aku sangat mencintainya kerana-Mu. Andai aku sudah tiada lagi di muka bumi ini, aku mohon padamu…peliharalah isteriku dan pertemukanlah kami kembali dalam rahmat-Mu di akhirat kelak. Amin.” Raisya menekup mulut menahan tangis. Abang…terima kasih atas doamu,getaran dalam dadanya berkocak hebat. Dia menghampiri suaminya yang masih di atas sejadah. Dari belakang, Raisya memeluk pinggang suaminya dari belakang dan kepalanya diletakkan di atas bahu kiri . Putra terkejut. Namun bila disedari itu adalah isterinya, dia membiarkan saja.

“Sayang?” Putra bersuara bila dirasakan bahunya basah. Esakan Raisya mengambil alih kesunyian yang menghuni bilik mereka. Putra memusingkan badannya. Raisya menyeka air mata yang mengalir dengan hujung lengan bajunya. Raisya merenung wajah Putra. Senyuman hambar terukir di wajah.

“Abang, sudi tak abang keluar dengan saya petang ni? Kita jalan-jalan kat taman boleh tak? Itupun kalau abang laratlah. Saya tak paksa.” Putra ketawa lepas. Raisya hairan. Lucu sangat ke permintaan aku tadi?

“Of course I will, my dear. Lepas Asar kita pergi.deal?” Putra menghulurkan jari kelingkingnya.

“Deal!” jari kelingking mereka berdua berkait rapat tanda perjanjian telah dibuat. Raisya memaut leher suaminya. Mata mereka bertatapan. Tanpa sedar, masing-masing menitiskan air mata. Putra dan Raisya berpelukan dalam syahdu tangisan yang tidak tertahan.

Petang itu cuaca baik. Raisya dan Putra berpimpin tangan mengambil angin di taman berhampian kawasan kejiranan mereka. Sesekali tawa mereka bergabung apabila masing-masing saling kena mengena antara satu sama lain. Sekali lihat, pasti orang menyangka mereka berdua pasangan yang baru dilamun cinta. Penat berjalan, Putra dan Raisya mengambil keputusan untuk berehat di bangku yang disediakan. Kini pandangan mereka beralih ke taman permainan di hadapan mereka. Ramai kanak-kanak menghabiskan masa bersama keluarga di sini bila tiba hujung minggu. Raisya tersenyum sendiri melihat keletah mereka yang pelbagai ragam. Ada yang bergaduh, ada yang seronok sekali, ada yang ketawa dan ada juga yang menangis. Tiba-tiba seorang kanak-kanak lelaki dalam lingkungan usia 4 tahun terjatuh di atas rumput. Mungkin tersadung kaki semasa berlari. Spontan Raisya bangun dari bangku tersebut tapi belum sempat bantuan dihulurkan, seorang wanita cepat-cepat memangku kanak-kanak itu. Pasti ibunya, desis Raisya. Tanpa Raisya sedar, Putra memerhatikan gelagatnya. Dia menarik tangan isterinya agar duduk semula. Putra tahu Raisya memang sayangkan kanak-kanak. Serta – merta hatinya sebak.

“Seronok kan kalau ada anak?”soalan Putra menghadirkan rasa keliru di hati Raisya. Raisya menoleh ke arah suaminya .

“Bila abang dah tak ada nanti, Raisya carilah pengganti. Lepas tu bila dapat anak, letaklah nama abang sikit.”

“Apa yang abang merepek ni? Saya tak nak kahwin lain. Abang je suami saya dunia akhirat.”

“Abang tak mahu Raisya sunyi bila abang dah tak ada nanti. “ Perlahan Putra menyuarakan hasrat hati. Raisya cuma membisu. Putra tersenyum bila melihat isterinya mula buat muka. Pantas dia menarik hidung Raisya. Raisya terkejut dan menjerit kerana diperlakukan begitu. Bahu suaminya dipukul. Putra memaut dagu Raisya dan mengucup dahinya. Lama. Raisya terdiam. Hatinya tersentuh namun lidahnya seakan terkunci untuk bertutur.

“Sayang, bangun sayang.” Raisya terpisat-pisat tatkala tidurnya diganggu.

“Kenapa abang? Abang tak sihat? Nak ke hospital?” soalnya bertubi-tubi. Suaminya menggeleng.

“Apalah Raisya ni. Abang sihatlah. Nak ajak sayang solat tahajud dengan abang. Bangun ya. Abang tunggu.” Baru dia perasan. Suaminya sudah lengkap berpakaian untuk bersolat. Bersih sungguh wajah suaminya di kala itu. Harum. Tanpa banyak soal, Raisya menurut.

Selesai bertahajud, mereka bertadarus bersama. Malam itu terasa dingin dan cukup mendamaikan. Namun begitu, kesayuan menyelubungi diri Raisya. Dia sendiri tidak tahu apa puncanya.

“Kenapa tenung-tenung orang ini?” Raisya mencuit paha suaminya. Putra mengamati wajah isterinya seolah-olah tak mahu berganjak walau seinci pun.

“Tengok ‘wife’ sendiri pun salah? Manalah tahu ini peluang terakhir abang untuk tatap wajah bidadari abang yang cantik, baik tapi sedikit garang. “ Putra melepaskan ketawa kecil.

“Abang janganlah cakap macam tu. Jangan takutkan saya.” Hatinya digigit pilu mendengar ayat yang keluar dari bibir suaminya. Putra mendaratkan kepalanya di pangkuan Raisya. Mahu bermanja pula suamiku ini.

“Sayang, nanti bila dah Subuh kejutkan abang. Ada lagi setengah jam kan?”

“Ya. Abang tidurlah dulu.” Dia membetulkan ribaannya agar suaminya selesa.

“Raisya.”

“Ya,abang?”

“Terima kasih.”

“Terima kasih? Untuk apa?”

“Untuk segala-galanya.” Putra memejamkan matanya. Sekejap sahaja dia sudah terlena. Raisya memerhati wajah suami yang dicintai setulus hati. Raisya juga nak ucapkan terima kasih pada abang sebab beri Raisya kasih dan sayang. kata-kata itu Cuma bergema dalam hati.

Azan Subuh berkumandang. Allah, aku pun tertidur. Lena juga dia walaupun tidur dalam keadaan duduk. Dia menggoncang tubuh suaminya perlahan-lahan bila kakinya mula terasa kebas.

“Abang, bangun. Dah Subuh ni.” Senyap. Tiada respon. Penat sangat agaknya dia.

“Abang, bangunlah. Jom kita solat berjemaah.” Sekali lagu dia menggerakkan tubuh suaminya. Raisya memegang tangan suaminya. Sejuk. Macam air batu. Dadanya dipalu kencang. Dia memalingkan tubuh suaminya. Terlukis senyuman di bibir suaminya. Matanya terpejam rapat. Raisya menngunjukkan jari telunjuknya di hidung suaminya. Tiada hembusan nafas. Dada suaminya juga tidak bergerak. Allahu akbar! Air matanya berguguran. Seboleh mungkin dia cuba menerima hakikat. Perlahan dia meletakkan suaminya ke bawah.

“Mama,Raisya ni.” Pintu bilik mama dan papa diketuk.

“Kenapa Raisya?” Mama tersembul di muka pintu.

“Putra….Putra dah tak ada.” Raisya rasakan tubuhnya melayang dibawa angin. Dia tidak ingat apa-apa lagi. Semangatnya telah hilang jauh dibawa pergi bersama perginya kekasih tercinta…