Monday, May 03, 2010

AKHIR CINTA ABADI 9

"KU RELAKAN KAU PERGI..."

Majlis pengebumian Putra Afandi berjalan lancar. Suasana sayu menyelubungi seisi rumah.Majlis tahlil juga akan diadakan di rumah keluarga arwah. Ramai saudara-mara dan teman-teman hadir bagi melakukan penghormatan terakhir.

Raisya pula beberapa kali tidak sedarkan diri lantaran terlalu hiba dengan kehilangan suaminya. Bagai terbayang-bayang renungan suaminya merenungnya. Semasa ibunya menyuruhnya untuk menghadiahkan satu ciuman terakhir buat arwah, Raisya tidak mampu mengawal perasaannya. Melihatkan wajah suaminya yang sudah dikafankan. Melihat wajah suaminya yang dirasakan sangat tenang. Hatinya tersayat. Sudahnya, dia jatuh pengsan dan hanya sedar bila jenazah selamat disemadikan.

“Abang, Raisya sayang abang. Kenapa abang pergi tak beritahu dulu?” Raisya menangis tersedu-sedan di hujung katilnya. Hancur hati mak dan mama melihat keadaan anak dan menantu. Ecah yang tidak tahan terus keluar dari bilik arwah abangnya dan Kak Raisya. Dia sendiri perit untuk mengakui yang abangnya telah pergi buat selama-lamanya.

“Sudahlah Raisya. Redhakan pemergian Putra, nak. Allah lebih sayangkan dia.” Mak memujuk anaknya yang masih dalam keadaan tidak stabil.

“Betul kata mak Raisya tu. Mama sendiri lagi sedih sebab kehilangan satu-satunya anak lelaki mama.” Raisya memandang wajah mama. Dia lupa ada lagi insan yang lebih merasai kehilangan Putra daripada dia. Raisya memeluk mama dengan erat. Raisya cuba untuk menerima hakikat yang suami, teman, sahabat dan kekasihnya telah pergi dahulu menyahut seruan Ilahi. Jika ini dugaan-Mu untukku, bantulah aku untuk mengharunginya Ya Allah.

Genap seminggu Putra pergi. Raisya masih lagi belum pulih sepenuhnya dari kesedihan. Dia meminta izin keluarga mertuanya untuk tinggal di rumah keluarganya buat sementara. Tidak sanggup rasanya untuk menetap di rumah yang banyak meninggalkan kenanganya bersama Putra. Seolah terlihat-lihat kelibatnya di dalam bilik, di ruang tamu. Bagai terdengar-dengar suaranya bergurau bersamanya. Tidak mampu dia menghindari bayang-bayang Putra yang saban hari mengekori langkahnya dan menemani tidurnya.

Hari ini dia menjejakkan kaki ke rumah bekas mertuanya. Bertanya khabar. Raisya tahu dia masih bertanggungjawab atas keluarga arwah suaminya biarpun Putra telah jauh meninggalkannya. Sesungguhnya dia kagum dengan mama dan papa yang cukup tabah menghadapi pemergian anak lelaki tunggal mereka. Cuma Ecah masih lagi berduka. Tak apa, dia akan menggantikan Putra sebagai kakak.

Raisya menekan suis lampu kamar. Masih lagi seperti kali terakhir dia meninggalkannya. Serta-merta air matanya bergenang. Dia mengatur langkah ke meja solek. Bingkai gambar yang memuatkan gambar mereka berdua diambil dan ditatap. Gambar dia mencium suaminya yang diambil Ecah selepas majlis pernikahan. Raisya ketawa kecil kerana teringatkan saat itu. Titis-titis air mata jatuh di atas gambar tersebut. Tidak mahu terus-terusan dihantui perasaan, Raisya bergerak ke kamar mandi. Dia mahu bersolat.

Usai solat Isyak, dengan penuh tertib Raisya memohon doa:

“Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Aku sangat berterima kasih kerana Engkau telah memberikan aku peluang bergelar isteri buat arwah suamiku yang dikasihi, Putra Afandi. Biar pun cuma seketika, aku sangat menghargainya Ya Allah. Cuma aku terkilan kerana tidak berkesempatan memohon ampun atas segala dosa-dosaku terhadap suamiku.

Ya Rahman, kau cucurilah rahmat ke atas roh suamiku. Ampunkanlah segala dosanya. Jadikanlah pusara suamiku salah satu taman dari taman-taman syurga. Bukannya salah satu lubang neraka. Terangilah alamnya, permudahkanlah segalanya. Sampaikan salam kasihku padanya Ya Allah. Amin.”

Sayang, abang redha engkau sebagai isteriku.”

Raisya tersentak. Suara itu…terasa dekat dengan cuping telinganya. Dia memerhati sekeliling. Tiada sesiapa cuma dirinya sahaja di dalam bilik. Sekali lagi empangan matanya pecah.

Semoga abang sentiasa dalam rahmat Allah,bisik Raisya sayu.

Bila aku sudah tiada

Simpan semua laguku jangan ditangis selalu

Mungkin ini sementara

Bila jumpa penggantiku jangan dilupakan aku

TAMAT



No comments: