
Tok! Tok! Gema ketukan pintu mengejutkan Putra yang sedang tidur. Putra merungut. Keletihan yang menyelubungi membuat dia rasa terganggu. Mungkin kerana semalam dia pulang lewat dari pejabatnya. Sudahnya dia berasa tidak sedap badan hari ini. Sebab itu dia melelapkan mata sebaik sahaja selesai menunaikan solat Zohor.
“Ha, Ecah. Kenapa ni?” Putra menyoal sebaik wajah adiknya tersembul di muka pintu.
“Abang, Kak Raisya datang dengan mak abah dia la. Diorang nak melawat abang.” Putra terkejut Ha?Raisya datang? Dengan mak abah dia pula tu. Sejak bila pula mak dan abah Raisya buat lawatan sosial kat rumah aku ni?
“Cepatlah siap bang. Diorang tunggu kat ruang tamu. Cepat tau!” gesa adiknya lagak memberi amaran.
“Ya,abang siap.”
“Ecah dah panggil abang?” mama bertanya tatkala Ecah memasuki ruang dapur.
“Dah mama. Dia tengah siap. Kenapa Kak Raisya datang dengan mak abah dia mak? Nak masuk meminang abang ke?” Ecah cuba serkap jarang akan kehadiran tetamu istimewa itu.
“Ish,kamu ni mengarut je. Biarlah mereka menziarah. Tetamu yang datang boleh bawa keberkatan dalam rumah ni.” Mama menjawab sambil tangannya ligat membancuh air. Ecah tersengih. Dia memerhatikan gerak-geri ibunya.
“Apa salahnya mama. Saidatina Khadijah pun melamar Rasulullah. Cuma tak sesuai dengan adat kita yang menitik beratkan soal maruah wanita. Seolah perigi mencari timba. Tapi kalau kena gayanya,hemahnya bagi Ecah tak salah.”Ecah masih lagi menyambung pendapatnya yang terhenti tadi.
“Sudah, mama tahulah kamu tu bakal peguam. Asyik nak berhujah saja. Nah, pergi hantar dulang air ini ke depan. Nanti jangan bila dah kahwin, laki kamu pening asyik dengar kamu bercakap.” Ecah ketawa lepas mendengar ayat mama. Kahwin? Anak mama sorang ni belum terfikir lagi soal itu. Cita-citaku masih belum tercapai. Ecah menatang dulang berisi minuman untuk dihidangkan kepada tetamu yang sedang menanti.
Setelah puas dengan penampilannya, Putra keluar mendapatkan keluarganya di ruang tamu. Mereka leka berbual. Sesekali meletus ketawa mereka bila papa Putra bercerita.Raisya pula sedang menuang minuman untuk semua yang ada. Dia mengambil peluang ini untuk menatap wajah gadis impiannya. Lemah lembut dan mempesonakan.
“Ha, tu pun hero dah keluar!” Suara Ecah mematikan terus pandangannya. Aku baru nak menghayati keindahan ciptaan Ilahi. Adik aku seorang ni memang dengki,rungutnya sendiri. Ecah menahan tawa melihatkan muka abang yang kelat kerana terkejut disergah. Raisya turut tertahan tawanya.
“Putra, apa khabar? Sihat ke ?” soal abah Raisya sewaktu Putra menyalami tangannya.
“Alhamdulillah pakcik. Pakcik?”soalnya berbasa basi.
“Alhamdulillah,sihat dan masih bertenaga,”jawab abah Raisya ceria dan disambut gelak ketawa semua yang ada di situ.
“Begini. Sebenarnya kami datang ni ada hajat. Hajat yang besar ertinya seandainya diterima oleh keluarga Pak Hassan.” Abah Raisya memulakan bicara. Raisya mengambil tempat di sisi mak. Hanya Allah saja yang tahu perasaannya ketika itu. Papa dan mama Putra saling berpandangan. Putra tidak memberikan sebarang reaksi. Manakala Ecah berkerut dahi menunggu hajat yang ingin disampaikan abah Raisya.
“Seperti mana yang kita semua tahu, anak saya Raisya dan anak kalian,Putra sudah lama menjalinkan hubungan. Jadi saya sebagai orang tua Raisya berhasrat agar mereka berdua disatukan.” Putra terkejut lantas mengalihkan pandangannya pada Raisya yang menundukkan wajahnya. Ecah tersenyum sambil melirik ke arah mama seolah-olah memberitahu ‘betul tak apa yang Ecah cakap tadi?’
Papa dan mama Putra juga agak terkejut namun tidak lama. Pandangan mereka beralih kepada anak lelaki mereka. Putra kelihatan tidak tentu arah. Melihatkan situasi itu, papa Putra bersuara, “Ikutkan saya kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Tapi ada baiknya kita tanya tuan empunya diri dulu.”
“Menurut Raisya, Putra menolak atas alasan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan. Sebab itu saya datang ke sini mewakili anak saya ingin memberitahu kepada Putra yang anak pakcik ikhlas ingin mengahwini Putra walau apa pun keadaannya. Putra, kami juga boleh menerima Putra dalam keluarga kami. “ sebak dada Putra mendengar kata-kata yang cukup meyakinkan daripada abah Raisya. Begitu juga Raisya. Awak, saya sudah merendahkan ego saya demi cinta saya. Adakah awak masih menolak, Putra? Raisya merintih dalam diam. Mak menggenggam erat jari-jemari anak gadisnya. Terdetik rasa kagum mempunyai anak yang sanggup berkorban untuk insan kesayangannya.
“Putra? Macam mana? Papa serahkan semua kepada Putra.”
“Mama pun begitu juga.” Putra memandang satu-persatu wajah di ruang tamu itu. Kini semua menanti kata putus darinya. Raisya lebih-lebih lagi. Andai Putra masih dengan keputusan ingin melepaskannya pergi, dia pasrah.
“Pakcik,makcik. Saya memang sayangkan Raisya. Sebab itu saya tak nak dia menderita kalau dia hidup dengan saya. Ikhlas saya sendiri tak tahu sama ada saya mampu memikul tanggungjawab saya dengan baik. Dengan keadaan saya begini.” Perlahan Putra menjelaskan. Pilu menyiat hati mama. Namun mama juga terharu dengan keikhlasan Raisya. Mama juga telah lama jatuh kasih dengan Raisya. Dia tidak mahu Putra mengecewakan hasrat keluarga Raisya. Mama mendekati Putra sambil memegang kedua belah pipinya.
“Putra anak mama,kamu cintakan Raisya?”Putra berlawan pandang dengan anak mata mama yang berkaca. Putra mengangguk perlahan. Kedua belah tangan mama dipegang. Kemudian mama menoleh pada Raisya. Gadis itu masih belum mengangkat wajahnya.
“Raisya?” mama Putra memanggil. Raisya mendongak.
“Ya, makcik.” Jawab Raisya.
“Sanggupkah Raisya berkongsi susah,senang,menjaga Putra dan bersabar dengan kerenah Putra sama ada dia sakit atau tidak?” air mata yang dari tadi bertakung di birai mata Raisya tumpah juga. Raisya mengangguk dalam sendu. Mama Putra beralih semula kepada anak terunanya yang juga telah tumpah air matanya.
“Putra, mama nak Putra dengan Raisya bernikah. Mama tak mahu menantu lain. Janji dengan mama, jangan sia-siakan Raisya. Jangan jadikan keadaan Putra yang sakit ni untuk tidak bertanggungjawab. Buat semampu yang Putra boleh. Ajal maut di tangan Tuhan. Mama faham kebimbangan Putra tapi selagi kita masih bernafas,janganlah difikirkan hal-hal yang di luar kawalan kita.Lawan kesakitan ini. Peluang cuma datang sekali. Hargailah orang yang menyayangi kita. Mama merestui hubungan kalian.” Habis saja ayat terakhir, mama mencium dahi Putra. Putra memeluk mama erat sambil menangis. Mak juga memeluk Raisya dengan tangisan yang tertahan-tahan. Papa Putra dan abah Raisya juga menahan rasa terharu. Ecah menyertai abang dan mamanya. Dia juga turut menangis.
Majlis pernikahan akan berlangsung tidak lama sahaja lagi. Kenalan rapat dan saudara mara terdekat dijemput hadir memeriahkan suasana. Raisya dan Putra ingin majlis pernikahan diadakan di masjid. Sedondon berbusana putih, mereka berdua tampak cocok sekali.
“Wahai Putra bin Hassan, “ pak imam bersuara sambil menghulurkan tangan. Putra menyambut dengan kemas sambil menyahut. Pak imam meneruskan tanggungjawabnya.
“Aku nikahkan dikau dengan Qistina Raisya binti Amran dengan mas kahwinnya RM80 tunai.”
“Aku terima nikahnya,Qistina Raisya binti Amran dengan mas kahwinnya RM80 tunai.” Balas Putra dengan sekali nafas. Raisya berasa sebak. Mak memeluk Raisya sambil bertahmid berulang kali.
“Sah?”
“Sah!Sah!” jawab saksi.
“Alhamdulillah.” Putra mengusap dada tanda lega. Gelagatnya mengundang tawa di kalangan para hadirin. Apa tidaknya, wajah Putra pucat kerana gementar. Selesai mendirikan solat sunat tanda kesyukuran, Putra menghampiri Raisya yang begitu indah sekali berpantis. Laksana bidadari syurga. Debaran di dadanya kian mengasak.
“Assalammualaikum, sayang.” ucap Putra dengan sopan.
“Waalaikumussalam.” Merah muka Raisya kerana malu. Kawan-kawannya yang hadir mula menggiatnya dengan Putra. Keadaan keco h seketika namun beransur reda bila teringat yang mereka berada di dalam rumah Allah. Putra menyarungkan cincin bermata satu itu di jari manis isterinya. Raisya bersalaman lalu mencium tangan suaminya. Spontan Putra mengucup dahi Raisya sambil memejamkan mata. Tidak diduga mutiara jernih menitis mengena dahi Raisya.
“Kenapa sayang menangis? Menyesal ya sebab kena kahwin paksa?” ucap Raisya dalam nada bergurau sambil menyapu pipi suaminya yang basah.
“Adalah sikit tapi rasa bertuah melebihi rasa kesal.” Sambut Putra lantas ketawa.
“Saya akan cuba membahagiakan awak hingga akhir hayat.” Raisya mencium pipi suaminya. Tiba-tiba sejalur cahaya menyambar mengejutkan pasangan ini. Ah , rupanya si Ecah yang mengambil gambar.
“Got you! Taulah abang dengan kakak tengah dalam mood bercinta tapi bawa-bawalah bersabar. Malu je orang nampak .” Ecah membebel sambil bercekak pinggang. Raisya tersenyum malu manakala Putra buat tak endah dengan sindiran adiknya yang satu itu. Tahu sangat dia dengan telatah Ecah yang suka menyakat macam dirinya juga.
“Tak apalah Ecah. Mereka berdua tu dah halal. Apa salahnya.” Sampuk papa Putra. Mama Putra memukul manja papa. Abah Raisya pula mengiyakan. Mak pula hanya tersenyum bahagia.
Keletihan melayan tetamu masih menjalar dalam tubuh pengantin baru ini. Abah dan mak sudah lama masuk tidur. Barangkali penat agaknya. Raisya memicit-micit lehernya. Matanya dipejamkan. Putra yang baru keluar dari bilik mandi terkesima melihat Raisya tanpa tudung buat pertama kalinya. Rambutnya ikal melepasi bahu terbuai-buai bila Raisya menoleh ke kiri dan ke kanan. Indahnya dirimu wahai isteriku.
“Penat ya sayang?” jari jemari Putra mengambil alih tugas mengurut leher Raisya. Terkejut, namun membiarkan sahaja dirinya diperlakukan begitu. Terasa lega sedikit. Pertama kali sepanjang 2 tahun perkenalan Putra menyentuhnya.
“Penat, tapi bahagia.” Raisya berpaling mengadap suaminya. Senyuman terukir pada wajah masing-masing. Teringat Putra akan firman Allah yang membawa maksud seandainya suami memandang isteri dengan penuh kasih sayang dan sebaliknya, Allah jua akan melemparkan pandangan rahmat buat pasangan tersebut. Moga mereka berdua mendapat rahmat itu, desis hati kecilnya.Mereka berjalan beriringan menuju ke katil. Putra menepuk tilam mengarahkan Raisya agar duduk di hadapannya. Raisya menurut.
“Pertama sekali abang ucapkan terima kasih sangat-sangat sebab sudi ‘melamar’ abang.” Raisya ketawa mendengar ayat yang keluar dari mulut Putra. Putra menggenggam erat jari jemari Raisya. Mereka bertatapan.
“Terima kasih juga sebab sayang tak reject lamaran ni.” Raisya membalas.
“Abang sekeluarga betul-betul terharu dengan pengorbanan yang sayang dah lakukan. Terima kasih juga sebab sayang rela hidup sebumbung dengan keluarga abang.” Itulah permintaan mama dan abah Putra pada Raisya. Tiada masalah bagi Raisya kerana dia sendiri sudah biasa dengan keluarga Putra. Malah dia faham, pasti mereka tidak mahu ketinggalan meraikan saat-saat yang masih bersisa dengan Putra. Sebagaimana dia juga.
“Abang,sudahlah tu. Yang penting, saya bahagia jadi isteri abang.” Raisya mendaratkan kepalanya di ribaan Putra. Putra mengelus rambut Raisya dengan rasa kasih. Namun tiba-tiba sahaja dia merasa sakit di bahagian kiri dadanya. Dia cuba bertahan kerana tidak mahu merosakkan malam indah ini. Tapi dia tidak berdaya.
“Maaf, sayang..abang…” Raisya mendongak. Dilihat Putra memejamkan mata sambil mengurut dada. Raisya panik.
“Abang, abang tak apa-apa ke?” hampir menangis Raisya kerana bimbang yang teramat. Ini pertama kali dia melihat Putra dalam keadaan begini.
“Tolong bukakan beg abang. Ambilkan ubat dalam kotak biru dengan air mineral sekali.” Arah Putra. Raisya menyelongkar beg yang dimaksudkan. Sebaik terjumpa, dia menghulurkan kepada Putra. Sebiji pil dikeluarkan dari kotak. Putra menelannya disulami dengan air.
“Abang nak ke hospital ke? Saya hantarkan?” soal Raisya. Putra menggeleng. Kotak ubat tadi diletakkan di kepala katil. Begitu juga dengan botol air mineral.
“Tak perlu. Makan ubat saja dah cukup. Mungkin sebab letih sangat. Sayang kena biasakan diri dengan situasi macam ni. Mungkin akan berlaku selalu. Jangan takut, ya?”ujar Putra .
“Baringlah abang. Biar saya sapu minyak angin ke dada abang,okay?” Raisya membuka satu persatu butang kemeja tidur suaminya. Jarinya menggeletar. Kemudian perlahan dia melumurkan minyak angin tersebut ke dada suaminya dengan lembut. Putra hanya membiarkan. Dia rasa tenang.
“Terima kasih sayang.” Raisya tersenyum lagi. Mata Putra beransur-ansur tertutup. Melihatkan suaminya telah terlena, Raisya menarik selimut hingga ke bahagian dada suaminya. Raisya mengucup dahi suaminya dan berbisik ‘selamat malam sayang’.
Selamat malam , tidurlah sayangku, siang kan tiba bercahaya , bermula baru semua mimpimu
No comments:
Post a Comment