Monday, May 03, 2010

AKHIR CINTA ABADI 8


"JANGAN TINGGALKANKU, SAYANG"

“Penyakit suami puan bertambah serius. Seeloknya dia dirawat di hospital sahaja.”

“Apa peluang suami saya, doktor?”

“Secara jujurnya puan…sangat tipis.”

Serasa mahu melayang apabila dikhabarkan insan kesayangannya tidak punya banyak waktu lagi. Biarpun dia sudah maklum akan keadaan Putra, namun hatinya masih tidak mampu menerima berita buruk ini. Ubat yang ada hanya mampu mengurangkan kesakitan yang dialami, bukan menyembuhkan.

Sebaik keluar daripada bilik doktor yang bertanggungjawab merawat suaminya, Raisya menyusun langkah ke wad kecemasan. Dia menguak daun pintu. Terlihat olehnya wajah mama,papa dan Ecah yang dirundung duka. Raisya membatalkan hasratnya untuk menjenguk suaminya. Biarlah keluarga terdekatnya menunggu di sisi. Dia juga perlu mengumpul kekuatan untuk menghadapi semua ini.

Raisya bersandar di dinding. Dia mengetap bibir menahan tangis. Lututnya dirasakan lemah. Badannya melurut ke bawah dan akhirnya dia terduduk di lantai. Raisya cuba mengawal perasaannya dengan menyebut nama-nama Allah.

“Raisya, anak mak.” Suara itu sudah lama dia rindukan. Suara mak yang telah hampir dia lupakan lantaran kesibukan urusan rumahtangganya. Demi terpandang saja wajah mak, Raisya menangis hiba. Mak merangkul Raisya yang jelas kelihatan tidak berdaya. Raisya melepaskan tangisannya di bahu mak. Abah juga turut sayu mengenangkan kedukaan satu-satu permata hatinya.

“Sabar banyak-banyak, Raisya. Kita sama-sama berdoa agar Putra selamat.” Nasihat abah menusuk ke jiwanya. Pelukan dileraikan. Mak menyapu wajah puterinya yang sudah dibasahi airmata.

“Raisya ingat Raisya mampu laluinya tapi….Raisya tak cukup tabah, mak,abah.”

“Raisya mesti kuatkan semangat. Putra kini bertarung nyawa. Dia perlukan Raisya. Ketabahan Raisya. Putra pasti tak mahu lihat isterinya dalam keadaan lemah macam ni.”

“Maaf pakcik,makcik. Kak, abang dah sedar. Dia cari kakak,” perbualan mereka anak beranak terhenti. Abah dan mak memberi izin. Mereka berdua mengiringi Raisya masuk ke bilik kecemasan. Mak memeluk mama sambil menenangkan perasaan besannya. Begitu juga abah. Masing-masing cuba untuk menyembunyikan resah yang bersarang di lubuk hati.

“Abang.”Raisya menggenggam erat jari-jemari Putra. Putra membuka kelopak matanya perlahan-lahan. Raisya menghadiahkan senyuman buat tatapan suaminya meskipun jiwanya merintih sayu.

“Sayang,sayang menangis ya? Ingat abang dah mati ya?” dalam keadaan genting begini dia masih boleh bercanda, getus Raisya dalam hati.

“Abang jangan cakap bukan-bukan boleh tak? Rehatlah. Abang tak boleh banyak cakap.” Raisya bersuara sedikit marah. Putra tersenyum lemah.

“Mama, papa…Putra nak balik rumah.”

“Tak boleh sayang. Putra kena duduk hospital. Terima rawatan. Biar cepat sembuh.” Mama melarang. Raisya mengangguk tanda mengiyakan.

“Mama, Putra tahu Putra dah tak ada harapan lagi. Kalau boleh Putra nak habiskan masa Putra dengan keluarga Putra. Putra tak nak mati kat hospital, mama,papa.” Mama mencium dahi Putra. Air mata mama jatuh menitis ke dahi anak lelakinya. Wajah Putra dielus dengan rasa kasih seorang ibu. Mak memaut bahu Raisya seolah menyalurkan semangat buat anak gadisnya.

“Abang, Ecah sayang abang.” Ecah mengongoi lalu melentokkan kepalanya ke dada Putra. Semua yang ada di situ tidak dapat menahan sebak. Air mata Putra mengalir laju. Adik kesayangannya dipeluk erat. Ngilu hati memikirkan yang dia akan pergi meninggalkan insan-insan yang begitu berharga dalam hidupnya. Namun dia akur dengan takdir yang telah disuratkan oleh Ya Rabb.

Akhirnya permintaan Putra ditunaikan setelah 2 hari ditahan di wad kecemasan. Kesihatannya yang semakin merosot membuatkan Putra meletak jawatan. Hari-hari yang dilalui di rumah cukup suram dan menghibakan. Namun seboleh-bolehnya semua penghuni rumah itu cuba untuk tidak mempamerkan kesedihan di hadapan Putra. Putra dilayan seperti biasa meskipun dia tidak lagi cergas seperti dahulu. Mak dan abah juga kerap berulang-alik bertanyakan khabar menantu mereka.

Raisya juga gagal menumpukan perhatian dalam kerjanya. Saban hari dia teringatkan suaminya.Mujurlah ketuanya membenarkan dia bercuti sehingga keadaan benar-benar stabil. Hanya Allah saja yang tahu betapa dia menghargai jasa baik ketua yang memahami keadaannya.

Selesai membantu mama dengan rutin harian di dapur, Raisya melangkah masuk ke bilik. Di sebalik pintu dia terdengar suara suaminya berdoa,

“Ya Allah Tuhanku Yang Maha Pengasih dan Maha Pengampun, ampunkanlah dosa-dosaku,dosa kedua ibu bapaku,adikku, mertuaku dan juga bidadariku yang juga isteriku. Aku mohon, kau ambillah nyawaku dalam keadaan yang paling berhikmah kerana aku sangat gentar dengan seksanya sakaratulmaut. Ya Allah, sepermergianku, rahmatilah keluargaku , rahmatilah isteriku. Aku sangat mencintainya kerana-Mu. Andai aku sudah tiada lagi di muka bumi ini, aku mohon padamu…peliharalah isteriku dan pertemukanlah kami kembali dalam rahmat-Mu di akhirat kelak. Amin.” Raisya menekup mulut menahan tangis. Abang…terima kasih atas doamu,getaran dalam dadanya berkocak hebat. Dia menghampiri suaminya yang masih di atas sejadah. Dari belakang, Raisya memeluk pinggang suaminya dari belakang dan kepalanya diletakkan di atas bahu kiri . Putra terkejut. Namun bila disedari itu adalah isterinya, dia membiarkan saja.

“Sayang?” Putra bersuara bila dirasakan bahunya basah. Esakan Raisya mengambil alih kesunyian yang menghuni bilik mereka. Putra memusingkan badannya. Raisya menyeka air mata yang mengalir dengan hujung lengan bajunya. Raisya merenung wajah Putra. Senyuman hambar terukir di wajah.

“Abang, sudi tak abang keluar dengan saya petang ni? Kita jalan-jalan kat taman boleh tak? Itupun kalau abang laratlah. Saya tak paksa.” Putra ketawa lepas. Raisya hairan. Lucu sangat ke permintaan aku tadi?

“Of course I will, my dear. Lepas Asar kita pergi.deal?” Putra menghulurkan jari kelingkingnya.

“Deal!” jari kelingking mereka berdua berkait rapat tanda perjanjian telah dibuat. Raisya memaut leher suaminya. Mata mereka bertatapan. Tanpa sedar, masing-masing menitiskan air mata. Putra dan Raisya berpelukan dalam syahdu tangisan yang tidak tertahan.

Petang itu cuaca baik. Raisya dan Putra berpimpin tangan mengambil angin di taman berhampian kawasan kejiranan mereka. Sesekali tawa mereka bergabung apabila masing-masing saling kena mengena antara satu sama lain. Sekali lihat, pasti orang menyangka mereka berdua pasangan yang baru dilamun cinta. Penat berjalan, Putra dan Raisya mengambil keputusan untuk berehat di bangku yang disediakan. Kini pandangan mereka beralih ke taman permainan di hadapan mereka. Ramai kanak-kanak menghabiskan masa bersama keluarga di sini bila tiba hujung minggu. Raisya tersenyum sendiri melihat keletah mereka yang pelbagai ragam. Ada yang bergaduh, ada yang seronok sekali, ada yang ketawa dan ada juga yang menangis. Tiba-tiba seorang kanak-kanak lelaki dalam lingkungan usia 4 tahun terjatuh di atas rumput. Mungkin tersadung kaki semasa berlari. Spontan Raisya bangun dari bangku tersebut tapi belum sempat bantuan dihulurkan, seorang wanita cepat-cepat memangku kanak-kanak itu. Pasti ibunya, desis Raisya. Tanpa Raisya sedar, Putra memerhatikan gelagatnya. Dia menarik tangan isterinya agar duduk semula. Putra tahu Raisya memang sayangkan kanak-kanak. Serta – merta hatinya sebak.

“Seronok kan kalau ada anak?”soalan Putra menghadirkan rasa keliru di hati Raisya. Raisya menoleh ke arah suaminya .

“Bila abang dah tak ada nanti, Raisya carilah pengganti. Lepas tu bila dapat anak, letaklah nama abang sikit.”

“Apa yang abang merepek ni? Saya tak nak kahwin lain. Abang je suami saya dunia akhirat.”

“Abang tak mahu Raisya sunyi bila abang dah tak ada nanti. “ Perlahan Putra menyuarakan hasrat hati. Raisya cuma membisu. Putra tersenyum bila melihat isterinya mula buat muka. Pantas dia menarik hidung Raisya. Raisya terkejut dan menjerit kerana diperlakukan begitu. Bahu suaminya dipukul. Putra memaut dagu Raisya dan mengucup dahinya. Lama. Raisya terdiam. Hatinya tersentuh namun lidahnya seakan terkunci untuk bertutur.

“Sayang, bangun sayang.” Raisya terpisat-pisat tatkala tidurnya diganggu.

“Kenapa abang? Abang tak sihat? Nak ke hospital?” soalnya bertubi-tubi. Suaminya menggeleng.

“Apalah Raisya ni. Abang sihatlah. Nak ajak sayang solat tahajud dengan abang. Bangun ya. Abang tunggu.” Baru dia perasan. Suaminya sudah lengkap berpakaian untuk bersolat. Bersih sungguh wajah suaminya di kala itu. Harum. Tanpa banyak soal, Raisya menurut.

Selesai bertahajud, mereka bertadarus bersama. Malam itu terasa dingin dan cukup mendamaikan. Namun begitu, kesayuan menyelubungi diri Raisya. Dia sendiri tidak tahu apa puncanya.

“Kenapa tenung-tenung orang ini?” Raisya mencuit paha suaminya. Putra mengamati wajah isterinya seolah-olah tak mahu berganjak walau seinci pun.

“Tengok ‘wife’ sendiri pun salah? Manalah tahu ini peluang terakhir abang untuk tatap wajah bidadari abang yang cantik, baik tapi sedikit garang. “ Putra melepaskan ketawa kecil.

“Abang janganlah cakap macam tu. Jangan takutkan saya.” Hatinya digigit pilu mendengar ayat yang keluar dari bibir suaminya. Putra mendaratkan kepalanya di pangkuan Raisya. Mahu bermanja pula suamiku ini.

“Sayang, nanti bila dah Subuh kejutkan abang. Ada lagi setengah jam kan?”

“Ya. Abang tidurlah dulu.” Dia membetulkan ribaannya agar suaminya selesa.

“Raisya.”

“Ya,abang?”

“Terima kasih.”

“Terima kasih? Untuk apa?”

“Untuk segala-galanya.” Putra memejamkan matanya. Sekejap sahaja dia sudah terlena. Raisya memerhati wajah suami yang dicintai setulus hati. Raisya juga nak ucapkan terima kasih pada abang sebab beri Raisya kasih dan sayang. kata-kata itu Cuma bergema dalam hati.

Azan Subuh berkumandang. Allah, aku pun tertidur. Lena juga dia walaupun tidur dalam keadaan duduk. Dia menggoncang tubuh suaminya perlahan-lahan bila kakinya mula terasa kebas.

“Abang, bangun. Dah Subuh ni.” Senyap. Tiada respon. Penat sangat agaknya dia.

“Abang, bangunlah. Jom kita solat berjemaah.” Sekali lagu dia menggerakkan tubuh suaminya. Raisya memegang tangan suaminya. Sejuk. Macam air batu. Dadanya dipalu kencang. Dia memalingkan tubuh suaminya. Terlukis senyuman di bibir suaminya. Matanya terpejam rapat. Raisya menngunjukkan jari telunjuknya di hidung suaminya. Tiada hembusan nafas. Dada suaminya juga tidak bergerak. Allahu akbar! Air matanya berguguran. Seboleh mungkin dia cuba menerima hakikat. Perlahan dia meletakkan suaminya ke bawah.

“Mama,Raisya ni.” Pintu bilik mama dan papa diketuk.

“Kenapa Raisya?” Mama tersembul di muka pintu.

“Putra….Putra dah tak ada.” Raisya rasakan tubuhnya melayang dibawa angin. Dia tidak ingat apa-apa lagi. Semangatnya telah hilang jauh dibawa pergi bersama perginya kekasih tercinta…


1 comment:

:: Mr Imran :: said...
This comment has been removed by the author.