Monday, May 03, 2010

AKHIR CINTA ABADI 7

"SAYANG..."

Hari –hari yang berlalu dilalui seperti biasa. Menjadi isteri dan pekerja dalam masa yang sama amat menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Itulah yang dirasai Raisya kini. Mujurlah suami dan keluarga mertua faham akan keadaannya. Ada kala pulang bila hari sudah menginjak senja. Sebaik mungkin juga dia menjalankan tangungjawab sebagai isteri. Ada masa dia menemani suaminya menjalankan pemeriksaan berkala. Raisya tidak mahu Putra menanggung sakitnya sendirian. Dia mahu Putra tahu bahawa dirinya akan sentiasa di sisi suaminya walau apa pun terjadi.

Kesihatan suaminya agak baik meskipun kadang-kadang Putra agak keletihan. Namun Raisya sedar Putra berusaha menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Walaupun tinggal di rumah mertua, Raisya akan memasak untuk seisi rumah seandainya dia berkesempatan. Kepada Putra akan disediakan bekalan. Kalau boleh dia ingin Putra menghindarkan makanan luar. Tidak elok untuk kesihatan dirinya.

“Raisya, bangun sayang. Dah Subuh ni.” Isterinya masih dibaluti selimut. Sedikit pun dia tidak bergerak. Putra merenung wajah yang sedang lena dibuai mimpi. Raisya balik lewat malam tadi. Katanya ada ‘design’ yang perlu disiapkan segera untuk majlis pelancaran produk baru syarikatnya. Kasihan isterinya bekerja keras untuk menampung keluarga mereka. Kos ubat-ubatannya bukan sedikit harganya. Kalau harapkan gajinya sahaja memang tidak lepas. Dia sendiri semakin hari rasa tidak berdaya. Namun dia cuba untuk tidak menampakkan kelemahan itu. Bimbang hati isterinya akan rawan.

“Raisya,” sekali lagi Putra mengejutkan isterinya sambil menggoncang lembut bahunya. Raisya mengeliat. Dia masih belum puas tidur. Matanya dibuka perlahan-lahan. Wajah suaminya muncul di ruang mata.

“Dah pukul berapa ni?” dia bertanya kepada Putra.

“Dah pukul 6.30 pagi ni. Bangunlah ,” Raisya terkejut. Apa? 6.30 pagi? Alamak,dah lambat!

“Kenapa abang tak kejut saya awal bang?” sepantas kilat Raisya bangun dari katilnya. Terus dia meluru ke bilik air membersihkan diri. Putra menggelengkan kepalanya melihat telatah Raisya. Dia yang tak. bangun-bangun, aku yang dituduhnya tak kejut. Raisya,Raisya.Ingin ketawa pula Putra melihat kekalutan isterinya. Tercegat di hadapan almari dengan bertuala sambil mencekak pinggang. Sudahnya Putra membantu isterinya menggosok pakaian sementara Raisya bersolat.

“Terima kasih bang, Raisya minta maaf ya. Tak sempat nak buatkan ‘breakfast’ abang.” Raisya berkata setelah selesai bersiap. Gincu berwarna merah jambu dipakaikan di bibirnya yang nipis.

“Tak apa. Elok-elok memandu tu. Jangan bawa laju-laju. Tau la sayang tu dah lambat.” Raisya bersalaman kemudian menghadiahkan satu kucupan di pipi suaminya sebagai tanda terima kasih.

“Abang, abang demam ke? Panas je ni?” Raisya meraba dahi suaminya. Putra turut menyentuh bahagian yang sama. Memang dia rasa agak kurang sihat sewaktu bangun pagi tadi.

“Entahlah. Tak apalah sikit je ni. Jangan risaulah. Dah,dah pergi kerja. Dah lambat ni.” Sengaja Putra mengalihkan perhatian Raisya. Dia membukakan pintu kereta dan mempersilakan Raisya masuk. Sempat Raisya berpesan agar dia pergi ke klinik. Putra mengiyakan demi memuaskan hati isterinya.

Masuk sahaja ke dalam rumah, kepalanya terasa berat. Betullah aku ni demam. Aduh, ada kerja yang belum aku selesaikan. Tak boleh tidak aku kena ke pejabat dahulu.

“Putra, Raisya dah pergi kerja ke?” Mama bersuara. Putra yang sedang memicit dahi tersentak.

“Ya mama. Bangun lambat tu yang kelam kabut je.” Ujarnya.

“Kamu tak sihat ke?” Mama menyedari tingkah Putra. Dia merasa dahi anaknya. Hangat.

“Sikit je la mama. Tak ada apalah.”

“Sikit tu la kalau tak dirawat melarat. Tak payah kerjalah. Minta cuti berehat.”

“Tak boleh mama. Berlambak kerja kat pejabat tu. Tak apalah nanti Putra minta half day.”

“Kenapa, abang demam ke ?” tiba-tiba Ecah yang baru sahaja selesai mandi menyampuk.

“Ya, tapi nak kerja juga. Kamu tak ada kelas hari ni kan? Nanti hantarkan abang kamu ya.” Mama memberi arahan. Risau dia ingin melepaskan anak terunanya memandu dalam keadaan tidak sihat.

“La,tak payahlah ma. Putra boleh ‘drive’. Lagipun nanti tengah hari Putra balik. Susah pula Ecah nak kena ambil pula.” Putra melirik kearah adiknya mengharapkan bantuan.

“A’ah ma. Nanti abang balik juga tengah hari. Bila abang balik nanti, Ecah hantar abang pergi klinik.”

“Hurm. Yalah.” Mama menghilang ke dapur. Putra menghampiri adiknya sambil mengucapkan terima kasih.

“Abang kenalah belanja Ecah sebab selamatkan abang tadi.”

“Ya, adikku sayang. Nanti abang belanja. Abang gerak dulu ye. Assalammualaikum.”

Raisya tiba di rumah sewaktu jam hampir menunjukkan angka 12 malam. Bersyukur kerana akhirnya sampai juga dia ke rumah. Telefon bimbitnya sudah kehabisan bateri. Lupa untuk mengecaj bateri telefon. Seharian dia melakukan kerja luar. Penat satu badan. Hingga terpaksa meminjam telefon rakannya untuk memaklumkan kepada Putra akan kelewatannya.

Suaminya sudah pun melayari bahtera mimpi. Tidak mahu suaminya terjaga, perlahan-lahan dia menutup pintu. Matanya melekat pada jambangan bunga ros merah putih yang indah di atas meja solek. Raisya mencapai jambangan bunga tersebut. Wangi. Ada kad kecil terselit di situ.

“Selamat Ulang Tahun Perkahwinan buat isteri tercinta, Qistina Raisya. Terima kasih kerana sudi menjadi cahaya di dalam hidupku yang kelam. Pengorbananmu akan ku kenang hingga hujung nyawa. Tiada apa yang dapat abang hadiahkan buat hari ini melainkan rasa cinta yang bercambah dari hari ke hari. I Love YOU SO MUCH!-from: suamimu, Putra”. Abang! Raisya menangis teresak-esak. Sungguh kerana terlalu sibuk dia langsung tidak teringat akan tarikh keramat ini. Tarikh bersejarah penyatuan mereka berdua. Hari mereka memeterai satu ikatan yang sah yang dirahmati Allah.

Dengan air mata bercucuran, Raisya mengucup tangan suaminya yang sedang tidur. Putra terkejut apabila dia merasa ada sesuatu di tangannya. Berganda tersentak bila melihat isterinya mencium tangannya sambil menangis tersedu-sedu.

“Ya Allah, sayang. Kenapa ni? Kenapa menangis tengah-tengah malam ni?”Putra menongkat dagu isterinya. Apa yang telah berlaku? Jauhkanlah isteriku dari musibah Ya Allah,mohon Putra.

“Abang…Raisya minta maaf banyak-banyak. Raisya rasa Raisya dah abaikan abang. Abang ingat ya tarikh hari ni? Raisya tak ada apa nak dihadiahkan pada abang. Lupa langsung. Selamat Ulang Tahun perkahwinan kita yang pertama, sayang.”oh, ini yang dia sedihkan, bisik Putra.

“Sudahlah sayang. Abang tak kisah pun. Abang tahu sayang sibuk. Dah, jangan menangis lagi.” Basah dadanya dengan air mata isterinya. Putra memeluk Raisya bagi menenangkan perasaan isterinya yang tidak keruan. Bila keadaan kembali reda, Putra melonggarkan pelukannya. Sembab wajah isterinya kerana lama menangis.

“Dah makan belum ni?” Raisya menggelengkan kepala. Memang dia tidak sempat menjamah makan malam lagi. Kali terakhir makan tengah hari di luar.

“Pergi mandi dulu. Lepas tu abang temankan sayang makan ya.” Raisya masih kaku tidak bergerak.

“Oo…sayang nak abang mandikan ya? Jomlah.”usik Putra sambil menarik tangan Raisya.

“Apa abang ni? Merepek je.” Ujar Raisya lantas memukul paha suaminya. Putra hanya ketawa melihat wajah isterinya yang merah padam.

“Mandi cepat. Dah macam bau kambing dah. Berapa tahun sayang tak mandi ni?”

“Abangggg!” jeritan Raisya dari dalam bilik mandi meledakkan ketawa Putra yang masih belum berhenti.

Sejak peristiwa malam itu, Raisya cuba meluangkan lebih masa dengan Putra. Seboleh-bolehnya dia akan pulang awal. Kadang-kadang Putra juga akan menghantar dan mengambilnya di tempat kerja biarpun ditegah Raisya. Raisya memang tak mahu menyusahkan Putra namun bila mereka hampir bergaduh dan Raisya dituduh tidak memberinya peluang untuk bertanggungjawab, Raisya mengalah.dan kini menjadi rutin hidupnya ke pejabat dihantar dan diambil pulang oleh Putra.

Malam itu suasana hening. Raisya terbangun dari tidur. Dia melirik ke jam dinding. Pukul 2 pagi. Ditoleh ke sebelah. Suaminya nyenyak tidur. Raisya mengusap rambut suaminya dengan penuh rasa cinta dalam dada. Alang-alang sudah terjaga, Raisya bercadang untuk melakukan solat malam. Ingin dia mengadu pada Ya Rabb akan rasa hatinya. Sudah hampir seminggu Putra demam. Selama itulah dia curi-curi keluar daripada pejabat demi menjaga suaminya meskipun dia tahu mama dan papa berkeupayaan menjaga Putra. Namun,tidak sampai hati melihat mama dan papa bersusah begitu. Sebagai isteri, Putra adalah tanggungjawabnya. Biar badannya letih kerana tidak cukup tidur, dia rela. Asalkan Putra sembuh.

Putra terjaga apabila telinganya menampan sayup-sayup alunan ayat-ayat suci Al-Quranul Karim. Perlahan-lahan matanya dibuka. Perhatiannya terarah pada sesusuk tubuh yang sedang bersimpuh. Isterinya sedang melagukan kitabullah mukjizat terakhir Rasullullah, pesuruh Allah. Tersentuh hatinya melihatkan situasi ini. Ingin sekali dia menyertai isterinya. Sama-sama menghayati ayat-ayat cinta Allah buat hamba-Nya. Putra berusaha bangkit dari pembaringan. Bergerak ke tandas untuk mengambil wudhu’.

“Abang?”Raisya bersuara. Suaminya lengkap bersongkok, berbaju melayu, berkain pelekat dan menjunjung Al Quran. Putra melabuhkan punggung di sisi Raisya.

“Saya buat abang terjaga ke?Maaflah.” Raisya memohon maaf. Putra menggelengkan kepala. Sepasang mata bening milik isterinya ditatap. Bidadariku!

“Tak, sayang. Abang pun nak ‘join’ sayang. Surah apa sayang baca?” soal Putra. Dia membuka lembaran suci itu secara rawak.

“Surah An-Nisa’, bang. Surah yang paling banyak menyentuh hal wanita.” Jawab Raisya sambil tersenyum.

“Kita baca sama-sama.” Raisya mengangguk dan mereka berdua memulakan bacaan dengan istia’dzah diiringi dengan basmalah. Damai, itulah yang dirasakan mereka berdua. Hati seakan dingin dibasahi azimat ayat-ayat suci yang terpelihara hingga akhir zaman.

Putra terasa sesak tiba-tiba. Dia cuba juga menghabiskan bacaannya. Sesekali dia mengerling kea rah isterinya yang khusyuk mengaji. Kalau boleh dia tidak mahu mengganggu bacaan isterinya. Namun rasa nyeri di dadanya semakin menghimpit. Dia berhenti. Al-Quran ditutup. Putra terbatuk. Dia menekup mulutnya. Alangkah terkejutnya Putra bila melihat tompokan darah di tapak tangannya. Putra terbatuk lagi.

“Ya Allah,abang!” Raisya menjerit lantas memaut tubuh suaminya yang longlai. Putra terkulai layu dalam pelukan isterinya.

“Allahu akbar…sakit…sayang..” rintih suaminya. Raisya menyapu darah yang mengalir di tepi bibir dengan kain telekungnya. Sekuat-kuat hati dia menjerit memanggil mama,papa dan Ecah. Rintihan suaminya umpama belati yang menghiris hati. Pedih.

“Sabar, sayang. Bawa mengucap. Ingat Allah,” Raisya memeluk erat Putra dalam pangkuannya. Mutiara jernih jatuh mengena pipi Putra. Ya Allah, selamatkan suamiku!

No comments: