Monday, May 03, 2010

AKHIR CINTA ABADI 1

"PAHITNYA HAKIKAT"

Perasaan resah yang bertamu di hati Putra semakin kuat apabila terlihat kelibat Raisya berjalan ke arahnya. Gadis itu melemparkan senyuman sebaik sahaja tiba di hadapannya. Putra gagahi diri untuk membalas. Bagaimana penerimaan Raisya selepas mengetahui berita yang bakal merubah kehidupan mereka berdua keseluruhannya?

“Assalammualaikum.Lama tunggu?”soal Raisya.Terlewat sedikit daripada temujanji dengan buah hatinya di hospital ini. Hatinya bimbang dan ingin tahu dengan segera keputusan pemeriksaan yang dilakukan Putra bulan lepas. Putra selalu mengadu keletihan dan sakit dada. Tegas sekali dia mengusulkan Putra melakukan pemeriksaan biarpun pada awalnya Putra membantah. Faham benar dengan sikap Putra yang bersikap acuh tak acuh akan tahap kesihatan dirinya.

“Tak lama. Jom kita duduk dulu.” Putra mempelawa Raisya duduk di bangku kosong yang agak jauh sedikit daripada tempat awam. Niat hatinya memang mahu merahsiakan hasil pemeriksaan ini namun Raisya seolah-olah dapat menghidu tindakannya itu dan memaksanya untuk menunggu di hospital. Apatah lagi Raisya yang menemaninya sewaktu pemeriksaan dijalankan ke atasnya. Itupun setelah berbuih bibir gadis itu mengomel dan akhirnya dia mengangkat bendera putih.

“So, how’s the result?”Raisya mengutarakan soalan yang terpendam di lubuk hatinya setelah kedua-dua mereka melabuhkan punggung. Putra menghulurkan sampul surat yang berisi laporan perubatan dirinya. Raisya membuka sampul dan mengeluarkan laporan tersebut berhati-hati. Demi membaca sahaja coretan yang tertera, Raisya merasakan dunia ini sedang berputar dengan ligatnya. Ya Allah, betulkah apa yang aku baca?Putra sakit jantung?

“Raisya? Are you ok?” Putra menegurnya setelah dilihat kekasihnya itu seperti hilang punca. Putra mengerti. Raisya pasti terkejut dengan berita ini. Seprti dia yang bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarinya daripada doktor. Tentang tahap keseriusan penyakitnya. Dia terasa seolah-olah dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

“Sepatutnya saya yang tanya soalan tu pada awak, Putra,” Raisya memandang wajah insan kesayangannya dengan air mata berlinang. Tersentuh hati lelakinya melihat mutiara jernih yang mengalir laju di pipi Raisya.

“Raisya, tolong….jangan menangis. Saya sendiri cuba tabahkan hati menerima hakikat ni. Tangisan awak akan buatkan saya lagi sedih.” Raisya mengesat pipinya. Dia cuba mengukir senyum biarpun hambar dirasakan. Raisya nampak mata Putra berkaca dalam senyuman. Ingin sekali aku memelukmu untuk menyalurkan kekuatan buatmu, sayang. Tapi aku takut kepada Pencipta-Ku Yang Maha Melihat. Ya Allah, berikan kekuatan buat dia yang kucintai, bisik Raisya di dalam hati.



No comments: