Tuesday, September 20, 2011

Seringkali


Aku tak faham apa yang aku rasa.
Kadang-kadang ada,kadang-kadang hilang.
Ada rasa bahagia, ada rasa sayang.
Perasaan anugerah Ilahi.
Tapi rasanya itu cuma khayalan.
Tak sanggup lagi menanggung beban.
Tak mahu kisah silam berulang.
Hindarilah perasaan yang tidak ada matlamat wahai Tuhan.
Moga nanti ada yang sudi melakar indahnya warna pelangi
Bersamaku
Dalam rahmat dan redhaMU.

Seringkali, aku hanyut dalam bayangan
Berterbangan perasaan ini... walau
Kau ku gambarkan dalam lamunan

Diri ini selalu ingin bersamamu
Bila ku terkenang kemesraan bersamamu sayang
Masihkah aku di hatimu

Masih jauh rasanya perjalanan ini
Bilakah masanya harus jua aku kecapi
Walau ranjau penuh berduri

Akan ku bawa cintamu bersama selalu
Tak akan kubiarkan ia tersisih dari perasaan ini
Dan ingin ku luahkan dalam lagu ini
Sebagai bukti cintaku, agar kau terus menanti diriku

Hanya kau yang ku cinta
Hanya kau yang ku harapkan
Ke puncak asmara
Ingin kita kecapi bersama

Walau gambaran yang ku gambarkan
Yang seringkali, ku renungkan
Menjadi lukisan di jiwaku
(Teacher’s Pet : Seringkali)

p/s: moga kepahitan ini akan berganti kemanisan...insya allah

Sunday, September 18, 2011

Tolonglah faham


Adoi cemuih la ngan soalan-soalan seperti ini:

“Bila nak kawen?”

“Aku nak kenalkan ko dengan kawan aku. Nak tak?”

“Nak tunggu apa lagi umur dah berapa.”

“Memilih sangat kau ni.”

Wah,senang-senang je menuduh aku tanpa usul periksa. Korang tau ke apa yang aku dah lalui selama ni sampai nak menghukum dengan kenyataan macam tu? Aku pun bukannya patung walaupun selama ni memang aku diam je macam patung. Sebab? Malas nak ambil pusing.

Salah aku ke kalau aku dah bagi peluang kat orang lepas tu orang tu berubah hati? Siapa aku pulak nak paksa orang sukakan aku seperti mana aku tak boleh nak paksa diri aku suka kat orang? Memang dah banyak aku jumpa orang yang aku suka dan sayang. Tapi jodoh di tangan Allah. Bukan tangan aku. Dah tertulis diorang semua tu bukan jodoh aku. Kalau aku buat senarai agaknya korang pun tak sangka. So jangan tuduh aku tak berusaha. Just beberapa tahun yang lepas aku baru je pulih dari kekecewaan dan belajar menerima hakikat yang dia dah jadi hak orang. Bukan senang nak capai tahap redha ni. Dan maaf jika selama tempoh tu aku tolak mana-mana yang nak padankan aku sebab masa tu aku masih terluka lagi. Adatla macam orang baru lepas eksiden teruk. Mula-mula masuk ICU. Lepas tu dah ok, masuk wad biasa. Bila dah balik, rehat dulu kat rumah sampai stabil baru masuk kerja. Teman-teman rapat je yang tau kisah ni sebab aku bukan suka nak beritahu family pasal hal ni. Silap-silap makin teruk dipersalahkan pulak.

Cuma bila selalu sangat diasak aku jadi rimas. Siapa yang tak nak ada teman hidup? Manusia yang tak ada naluri atau mati hati je. Tak pun bangkai bernyawa. Nak buat macam mana kalau flow hidup aku rumit lebih berbanding orang lain. Orang lain senang. Masa belajar pun ada pakwe. Aku? Entah tak tau nak describe. Semuanya anggap aku teman baik. Agaknya memang tak layak nak jadi teman hidup sesiapa pun. Bila dah sayang, barulah tau itu tunang orang. Bila dah confess, barulah tau yang dia anggap kita kawan baik je tapi layan macam awek. Bila dah nak bagi peluang, barulah tau tu laki orang. Bila dah declare, tak sampai beberapa bulan tinggal aku macam sampah. Padahal masa nak tu bukan main lagi. Aku nak bernafas pun tak menyempat.

Bagi korang-korang yang dah selamat tempuh fasa tu, janganlah ingat kami yang masih tak jumpa pasangan di lewat usia ni saja-saja nak jual mahal. Perancangan Allah adalah yang terbaik dan kita sebagai hamba wajib percaya. Lebih baik lewat dan jumpa orang yang tepat daripada awal tapi berantakan di kemudian hari.

Memori 17.09.11

Went out with sisters and brothers (sahabat yang dianggap macam adik-beradik)

Mula-mula datang beraya di rumah. Mak masak bihun goreng. Kepedasan katanya. Untungla mak aku masak.Kalau aku? Memang tak la kan.Ntah hape rasanya pulak nanti. Meriah sikit rumah bila diorang datang. Aku pulak memang spesies dalam mulut ada emas dan intan berlian. Tapi sekali dapat topik yang kena dengan jiwa, jangan haraplah nak berenti.

Plan konon nak layan movie.Tapi tayangan awal semua SOLD.Menci!So kami just jalan-jalan cuci mata.Dalam cuci mata tu sempat jugak sambar sehelai kemeja.Harganya bagi aku agak mahal.Tapi siapa lagi nak raikan diri sendiri kalau bukan aku kan?Bagi hadiah sikit kat diri sendiri dan belajar menyayangi diri sendiri.Sayang orang bukan main lebih lagi aku ni.

Last...gerak ke Secret Recipe.Aku rasa nak makan kek je tapi mesti diorang tak syok kalau aku tak makan. Tak sangka pulak memang tak boleh masuk.Aku mampu sedut air jek.Licin.Kalau aku teruskan makan mau muntah kat situ jugak.Mau tak ngaku kawan bebudak ni kang.

Gerak balik...aku suka dan kadang-kadang 'jeles' dengan keakraban diorang. Berbeza sungguh dengan hidup aku. Alone. Jadi tunggal perempuan dalam keluarga memang tak best. Tak ada geng. Adik-beradik tak ramai pun tak best. Eh, sila belajar bersyukur. Semua orang ada bahagian masing-masing.Dulu masa kecik-kecik selalu fikir bestnya kalau ada abang.Mesti dia akan care and sayang adik pompuan dia.Hahahah!Tapi aku tak dapat abang. Aku dapat adik yang macam abang.Yang aku sangat sayang.Walaupun dia suka buli aku (purf~).

Hujan lebat...dia dah balik puncak ke?Ermm...harap-harap dia ok saja.Ya Allah, tolong tengok-tengokkan dia ya.Doa seorang kakak dari kejauhan...

Sampai Syurga [11]

Minn meninjau bilik Syima yang tertutup rapat. Hurm…mesti belum bangun lagi. Minn berlalu ke dapur. Dia mengurut dagunya. Apa nak masak untuk sarapan pagi ni? Dia membuka peti sejuk lalu duduk berlutut. Semalam Syima dah request nak makan nasi lemak. Aku bukan pandai sangat pun. Apa kata aku belasah je? Minn mengeluarkan sebiji timun dan 3 biji telur untuk direbus. Sementara merebus telur, Minn menyukat tiga pot kecil beras untuk menanak nasi. Dicurahkan perahan santan hingga tenggelam beras mengikut sukatan yang sesuai. Okay, on suis rice cooker. Selesai, kini giliran untuk mengisar cili pula.
“Wah,apa kau buat ni Minn?”
“Eh, aku buat kau terbangun ek?Sorry,” Minn menutup suis pengisar. Bunyi bingit beransur hilang. Syima yang masih berbaju tidur sambil badan dibungkus selimut cuma tersengih.
“Okaylah tu kau buat aku bangun. Kalau tak terbabas lagi la aku sampai tengah hari. Nak  pulak aku dah free dari dunia study ni. Orang ganti puasa, aku ganti balik tidur aku.” Ujar Syima yang memerhati tingkah Minn mengalihkan cili yang dikisar halus ke dalam mangkuk.
“Kau prefer sambal ikan bilis ke atau goreng asing?” soal Minn. Tangannya mencapai kuali lalu diletakkan di atas dapur untuk dipanaskan sebelum minyak dituangkan.
“Goreng asing.” Singkat jawapan Syima sambil tersengih.
“Kalau macam tu silalah kopek ikan bilis tu ye. Kopek seberapa banyak kau nak.” Minn membalas lantas ketawa kecil.
“Bab kopek ikan bilis aku tak ada hal, jangan kau suruh aku masak je kalau kau nak ‘selamat’ tinggal kat sini. Sebelum tu aku nak membersihkan apa yang patut dulu.”
“Memang bagus sangatlah tu. Dah rupa hantu kak limah dah aku nengok.”
“Agak-agak kalau Mamat Khalid nampak aku macam ni, dia offer tak aku jadi hantu dalam sequel Hantu Kak Limah Balik Rumah?”
“Kalau tengok dari gaya kau ni bolehlah kot. Tak pun Mamat Khalid akan tambah watak extra untuk kau.”
“Watak apa pulak?”
“Hantu Syima Malas Mandi. Ha ha!”







Sampai Syurga [10]

Jasad tanpa roh. Itulah yang Minn rasakan sekarang. Beribu batu meninggalkan tanahair, namun keadaannya masih sama. Mujur juga ada Syima. Lencun  bahu temannya dengan simbahan air matanya. Kalau diperah agaknya penuh satu gayung. Hampir tuli agaknya telinga Syima mendengarkan esak tangisnya. Rintihan hatinya. Sekeping hati yang hancur kerana cinta tak berbalas.
Mereka kini dalam perjalanan ke Kong’s Oriental. Syima mahu membeli stok barangan dapur yang semakin susut. Lebih-lebih lagi apabila Minn menawarkan diri untuk menjadi ‘tukang masak tidak bergaji + tak bertauliah’ sepanjang dia menghuni di rumah Syima. Berderet-deret menu yang diaturkan Syima sepanjang 10 hari Minn bersamanya. Siap tercatat atas papan putih yang menjadi tempatnya menulis agenda hariannya. Minn hanya ketawa melihat keterujaan Syima. Nak masak tak pandai,katanya.  Rutin sebagai pelajar memaksanya makan apa yang ada. Balik-balik mengejar dateline untuk hantar tugasan.Macamlah aku ni hebat sangat memasak. Setakat lepas untuk tekak sendiri bolehlah, bisik Minn sendiri.
Lebih kurang 5 minit berjalan kaki Minn dan Syima tiba di Oat Street Station. Menurut Syima, setiap 15 minit bas akan datang mengambil penumpang. Jadual perjalanan yang konsisten memudahkan penumpang merancang perjalanan mereka. Sebab itu ramai yang memilih untuk menggunakan pengangkutan awam. Mereka menaiki bas bernombor 98 dan bergerak ke Albany Highway. Lima minit kemudian, mereka berdua tiba di Albany Highway dan menuju ke Kong’s Oriental. Melihatkan harga barangan di sini, Minn menelan air liur. Mujurlah dia tidak menetap di sini kalau tidak pasti bergelandangan entah di mana. Mana tidaknya, harga barangan saja mencecah 3 kali ganda berbanding Malaysia. Ada juga barang makanan import dari Malaysia dijual di sini. Jadi tidak sukarlah untuk mereka mencari bahan-bahan yang bersesuaian untuk dimasak nanti.Selesai membeli bahan-bahan kering, mereka berdua mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. Sudah tidak larat membawa beban barang-barang yang dibeli. Esok sahaja membei bahan basah di Carousel Village. Minn setuju saja dengan cadangan Syima kerana hari sudah beransur senja.
Malam itu mereka bersantai di ruang tamu. Sudah lama sejak mereka di asrama semasa tingkatan satu hinggalah tingkatan lima. Zaman itu sangat menyeronokkan. Berkumpul bersama, makan bersama hinggalah tidur pun berkongsi tilam. Erat sekali hubungan mereka di kala itu hinggalah semuanya terpisah mengikut haluan masing-masing setelah mendapat keputusan SPM. Syima dan Minn meratah 2 keping pizza segera. Cukuplah untuk menu malam ini.
”Layan DVD nak tak?” usul Syima.
”Cerita apa?”Minn menghampiri Syima yang sedang mengeluarkan kotak dari rak.
”Hurm....layan cerita Korea nak?My Little Bride?Cerita ni kelakar.”
”Bolehlah. Dah lama juga tak layan cerita Korea ni. Kisah apa ni?” soal Minn. Tangannya mencapai bekas DVD. Hendak dibaca sinopsis tidak faham pula. Semuanya dalam bahasa Korea.
”Oh, ni pasal budak perempuan ni kena kahwin paksa dengan seorang lelaki ni. Budak perempuan ni sekolah lagi tapi bakal laki dia dah jadi cikgu. Kau tengok dulu,kang tak best la kalau kau dah tau cerita.”
Jelas Syima lantas memasukkan DVD ke dalam pemain DVD. Lucu jalan ceritanya membuatkan mereka saling berbalas tawa. Macam-macam kerenah bila isteri lebih muda daripada suami. Jiwa masih remaja tetapi sudah bergelar isteri. Keadaan bertambah kalut bila si suami bergelar guru kelasnya. Status terpaksa dirahsiakan dan di situlah berputiknya rasa cemburu dan sayang yang terpendam.
Habis sahaja menonton, Syima dan Minn beredar ke bilik masing-masing. Syima memberitahu Minn sekali lagi yang dia boleh menggunakan komputer miliknya di dalam bilik yang didiami Minn. Tahu sangat dengan sikap Minn. Suka meluahkan rasa melalui tulisan.
Minn menghempaskan diri ke atas katil. Matanya mengantuk tapi fikirannya menerawang. Niat ingin memaklumkan pada Is tapi...ah,esok sahaja. Is mesti dah tidur.
Dan...insan yang seorang itu....
Adakah kamu akan ’menyambut’ aku lagi malam ini?

Sampai Syurga [9]

"Minn, jangan pergi. Tunggu saya!" Minn mempercepatkan langkahnya. Dia tidak ingin bersua muka lagi dengan Khai. Menatap wajah Khai makin meremukkan hati. Dan dia tidak kuat untuk itu.
"Minn!"
Ada tangan memegang kejap bahunya. Langkah Minn terhenti.Jantungnya berdegup pantas.Badannya dipusingkan. Kini 2 pasang mata bertatapan.Terlalu dekat hinggakan terasa hangat hembusan nafas Khai di pipinya.
"Kenapa awak nak tinggalkan saya, Minn?" Minn menundukkan wajah tatkala disoal begitu.Air mata yang bertakung luruh menuruni kedua belah pipinya.Redup lontaran pandangan Khai menambahkan sayu di lubuk hati.
"Demi kebaikan,izinkan saya pergi." Allahu Akbar!Kata-kata yang dituturkannya ibarat belati menghiris hatinya dalam-dalam.Menafikan niat hatinya yang sememangnya tidak ingin pergi jauh dari sisi Khai.
"Khai!"
Jeritan keras membuatkan mereka berdua tersentak.Dari kejauhan, Lisa memandang dengan penuh rasa cemburu dan benci.
"Awak dah ada Lisa.Awak tak perlukan saya lagi.Dia boleh jadi sahabat baik awak.Perasaan saya sudah menjangkau batasan persahabatan.Saya dah tak mampu tipu diri saya lagi,Khai.Awak...cinta sejati saya Khai.Maafkan saya kerana ingkar dengan janji seorang sahabat.Selamat tinggal..."
Minn terus melangkah tanpa menoleh lagi.Separuh jiwanya telah pergi.Perjalanannya diiringi deraian air mata.Tanpa sedar, jurang yang dalam menanti di hadapannya.Minn tidak mampu mengawal lantas terjatuh.Tubuhnya terasa melayang.Minn cuma mampu memejamkan mata dan berdoa agar matinya di dalam redha Ilahi.Hanya mampu menanti tubuhnya terhempas ke lantai bumi.
"Minn,awak takkan jatuh.Saya sentiasa ada di sini sampai bila-bila." Minn membuka mata. Dia berada dalam rangkulan Khai.Dia tidak jatuh dan masih bernyawa.
"Awak!"
Minn terjaga dari lena.Seketika dia cuba mengingati di mana dia berada kini.Astaghfirullahalaziim! Mimpi rupanya.Minn bingkas bangun dari pembaringan.Langsir yang menutupi jendela diselak.Sudah lewat petang rupanya.Minn mengetap bibir menahan hiba.Wajah Khai bermain-main di ruang matanya.Mimpi tadi masih segar dalam bayangan.Tidak semena-mena dia menangis teresak-esak.
"Minn,ha dah bangun pun.Baru nak kejut!" ceria suara Syima yang baru pulang dari universiti.Dia merapati Minn yang berdiri tegak membelakanginya.
"Minn,jom siap.Kita pergi....Minn?"Syima tidak jadi meneruskan kata-katanya tatkala melihat wajah murung Minn dibasahi air mata. Pantas dia menarik Minn dalam rangkulannya.Di bahu Syima,Minn menangis semahu-mahunya.

Sampai Syurga [8]

Khai memeriksa Inbox mel elektronik. No new message. Dia mengeluh. Jari ini sudah naik lenguh mendail nombor Minn. Nombor yang anda dail berada di luar kawasan. Mana awak pergi Minn?
“You, buat apa tu? Dari tadi termenung depan laptop?” Lisa menegur suaminya. Khai terkejut dari lamunan. Entah bila Lisa pulang dia sendiri pun tidak sedar. Jauh benar dia mengelamun.
“Nothing. Just cek e-mail. Lambat balik?” Lisa melirik ke arah jam dinding. Hampir pukul 11 malam. Mesyuarat dengan lembaga pengarah bermula lewat daripada yang dijadualkan. Letih betul rasanya. Lisa menghempaskan diri ke atas sofa.
“Meeting tadi habis lambat. Macam – macam isu. Sorry tak sempat nak inform you.bateri handphone pula mati.”
“Tapi Lisa boleh call guna telefon pejabat kan? Sekurang-kurangnya maklumkan pada I,” ujar Khai. Lisa yang kepenatan tiba-tiba panas hati. Baginya dia sudah menjelaskan letak duduk perkara sebenar perihal kelewatannya. Kenapa mesti Khai ingin membangkitkan lagi?
“You, I ni penat tau. Kan I dah cakap. Takkan tu pun jadi isu? At least I’m home!” Lisa bangun dengan wajah mencuka meninggalkan ruang tamu. Meninggalkan Khai sendirian terpinga-pinga.
Aku tanya pun salah ke? Dia kan isteri aku? Aku ni suami dia. Dia bawah tanggungjawab aku. Kalau jadi apa-apa siapa yang susah? Khai berbicara pada diri sendiri sambil menggelengkan kepala. Ah, mungkin dia penat. Dan tak maksudkan apa yang dia katakan. Orang penat kan memang mudah marah. And as a husband, I should understand that.
Premis 1: Isteri aku selalu balik lambat dan marah-marah
Premis 2: Aku kena makan luar
Kesimpulan: Kerana itu, aku kena makan luar bila isteri aku selalu balik lambat dan marah-marah.
Khai mencapai kunci kereta. Sebelum itu dia menjenguk ke bilik. Isterinya sedang mandi. Dah makan ke belum dia? Tapi angin dia masih tak baik. Kalau aku tanya sekarang mesti kena ‘fire’ ni. Aku keluar dululah. Lepas tu baru call.
Kereta Vios putih meluncur laju membelah malam menuju ke satu destinasi rutin. Kedai mamak.

Sampai Syurga [7]


Minn masih lagi tidak percaya yang dia sudah tiba di Perth. Walaupun setelah melangkah masuk ke rumah yang disewa Syima sepanjang pengajiannya di sini. Menurut Syima kebanyakan pelajar menetap di asrama tapi dia memilih untuk tinggal di luar. Syima menyewa rumah jenis villa iaitu beberapa buah rumah yang sama struktur binaannya dalam satu lot dan ditempatkan dalam satu pagar yang sama.
“Minn, kenapa tercegat lagi kat pintu tu? Jomlah aku tunjuk bilik,”Minn tersentak.
“Aku kagum la tengok rumah kat sini. Tengah menghayati ni,”
“Banyakla kau punya menghayati. Kau ada seminggu untuk menghayati tempat ni,”Minn mengekori Syima masuk ke sebuah bilik. Semerbak haruman lavender menusuk ke rongga hidung. Ada sebuah katil bujang, almari pakaian dan sebuah meja yang dilengkapi dengan komputer peribadi. Buku-buku rujukan kepunyaan sahabatnya tersusun rapi di atas meja dan rak pasang sendiri di dinding. Minn merebahkan badannya di atas tilam. Aman damai dirasakan saat ini.
“Haruman lavender boleh memberi ketenangan. Aku letak khas untuk kau. Harap kau dapat ketenangan yang kau cari,” lembut suara Syima menerjah ke cuping telinga Minn. Syima mengambil tempat di sisi Minn yang masih sepi. Dia tahu Minn masih berperang dengan emosinya. Melihat Minn tak ubah seperti melihat dirinya sendiri yang juga pernah ditinggalkan. 7 tahun menjalin hubungan akhirnya dia ditinggalkan begitu sahaja dengan alasan tiada keserasian. Separuh nanar dia meratapi nasib. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi di luar Malaysia di samping merawat hatinya yang hancur lebur di kala itu.
“Thanks, Syima. For everything that you have done. Tak tahu macam mana nak balas semua jasa baik kau pada aku,”Minn menyentuh tangan Syima dan digenggam erat. Syima membalas genggaman dan menggelengkan kepala tanda keikhlasan hatinya untuk membantu seorang teman. Bunyi deringan telefon bimbit mengganggu seketika perbualan. Syima menjawab panggilan. Dahinya berkerut sedikit. Minn cuma memerhati.
“My friend just called. Katanya ada amendment lagi untuk thesis aku tu. So aku kena pergi U sekejap. Kau rehatlah dulu. Kalau lapar makanan ada dalam fridge. Kalau bosan PC aku ada internet connection. Selesai semua benda aku balik dan aku akan bawa kau jalan-jalan. Okay?”
“Kau jangan risaukan aku. Pandailah aku nanti.”
“Okay, Minn. Make yourself at home. Have a rest.”
Sepeninggalan Syima, Minn terus melelapkan mata. Aroma lavender dan suasana bilik yang suram membuatkan matanya semakin layu biarpun dia telah tidur sewaktu dalam penerbangan tadi.

Sampai Syurga [6]

Minn membuang pandang ke langit biru. Kalau bukan kerana membawa hati laranya, seumur hidupnya tidak akan pernah merasa menaiki kapal terbang. Penumpang dalam koc yang dinaikinya tidak ramai. Min lebih suka begitu. Sebentar tadi dia diarahkan untuk mengisi borang bagi mengesahkan barang-barang yang akan dibawa masuk . Perjalanan difahamkan mengambil masa 5 jam. Kepada temannya Syima sudah dikhabarkan yang dia telah pun berada dalam perut kapal terbang dan tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke negara orang. Perjalanan pertama kali ke Perth, Australia begitu mengujakan sekalipun dirundung pilu.
Dalam pada itu sempat juga fikirannya terkenangkan Khai. Sedang buat apa agaknya sekarang?Menyulam bahagia dengan Lisa pastinya.Bergurau senda,berbual mesra seperti pasangan suami isteri lain. Apa yang nak dikenangkan lagi,bisik hati kecilnya. Minn menghela nafas dan menyeka air matanya yang mahu gugur. Matanya dipejamkan rapat-rapat. Enggan lagi melayan hiba hati.
Setibanya di Perth International Airport, Minn melalui prosedur yang biasa dijalankan di lapangan terbang antarabangsa. Pemeriksaan dijalankan dengan terperinci dan terdapat anjing pengesan juga yang akan ‘menjalankan tugas’sementara penumpang beratur di kaunter pemeriksaan bagasi. Minn tidak pasti sama ada prosedur ketat di lapangan terbang ini memang telah dilakukan sejak azali ataupun setelah insiden 11 September yang telah menimbulkan satu ketegangan besar antara umat Islam dan kaum lainnya terutama sekali di negara Barat. Polemik yang wujud menyukarkan umat Islam dalam menjalani rutin kerana sentiasa dalam suasana prasangka.Mujurlah Minn tidak membawa banyak barang bersamanya. Jika tidak jenuh juga dia mahu menunggu.
Minn menolak troli dengan penuh hati-hati. Diisytiharkan sebagai lapangan terbang keempat tersibuk di dunia,tidak hairanlah begitu ramai manusia masuk dan keluar. Berlanggar sesama sendiri mungkin sudah biasa di sini.  Tiba di balai ketibaan dia meliarkan pandangan mencari kelibat Syima. Kakinya sudah kebas kerana terlalu lama duduk.
“Minn!” satu suara menegur dari belakang. Minn menoleh. Terpacak di hadapannya sesusuk tubuh yang telah lama tidak berjumpa. Syima! Tanpa suara Minn memeluk erat sahabat di hadapannya. Syima mendakap tubuh kecil Minn sambil ketawa.
“Kau ni belum apa-apa dah touching tau,”Syima mengusik. Minn ketawa kecil.
“Mana tak touching. Aku dah lama tak tengok kau ‘live’. Asyik YM je. Kau masih cantik macam dulu. Cuma nampak kurus sikit la,” usik Minn. Syima pula membalas tawa. Mana tak kurus. Sudah beberapa tahun dia tidak menyentuh nasi, makanan ruji tanah airnya.
“Haha. Macam mana flight? Okay ke?” Syima membantu Minn meletakkan troli bagasi di tempat yang disediakan. Dia mengambil satu beg galas manakala Minn pula menarik beg pakaian.
“Bolehla. Aku tertidur lena. Lagi sejam nak sampai baru terjaga,”
“Tapi aku rasa mesti kau letih sebab lama dalam flight. Tak apa. Nanti kita sampai rumah aku,kau boleh tidur dengan lebih sempurna. Sebelum tu kau kena makan dulu. Cuma kau tau la rumah bujang. Aku pulak bukan pakar memasak. Tunggu kau je ni,”
“Sudahlah Syima. Mulalah tu. Jauh ke rumah kau dari ‘airport’ ni?”
“Tak jauh sangat. Kita naik ‘cab’ ya.”

Sampai Syurga [5]

Minn melipat beberapa helai baju yang telah diasingkan  untuk dimasukkan ke dalam bagasi. Hatinya tekad untuk meninggalkan bumi Malaysia barang seketika. Mungkin di sana dia menemui ketenangan atau penawar lukanya. Walaupun tidak sembuh sepenuhnya, sekurang-kurangnya dia tidak akan berdepan dengan Khai untuk tempoh seminggu ini. Dirinya belum begitu ampuh untuk menghadapi kenyataan.
Is masih tenggelam dalam dunia novelnya. Sekejap dia meniarap, sekejap mengiring ke kanan dan ke kiri. Namun ada ketika dia mencuri pandang pada temannya yang pada hematnya hanyut dalam kesedihan. Is tidak tahu apa yang boleh dilakukannya untuk mengurangkan kepedihan yang Minn alami. Luka zahir mudah. Sapu ubat dan balut, legalah dalam beberapa hari. Tapi kalau luka di hati? Hanya masa yang menentukan segalanya.
“Minn,”
“Hmm?”
“Kau betul nak pergi ke ni?”
“Kau ingat aku bergurau ke? Kan dah siap ni. Kenapa? Kau tak boleh hantar aku esok ya? ” Is hanya memandang kosong bagasi  bersaiz sederhana yang telah Minn tempatkan di sudut bilik. Novel dalam pegangan Is pinggirkan di hujung katil. Perlahan dia merapati Minn yang sibuk memasukkan komputer riba ke dalam beg galas. Faham benar Is yang Minn memang langsung tak boleh berenggang dengan harta kesayangannya nan satu itu.
“Bukanlah macam tu. Macam tak percaya je kau nekad nak pergi. Selalu kau habis-habis pun menangis. Lepas tu ok balik. Kau memang sangat sayangkan dia kan?” Minn menarik nafas dalam. Wajah Is ditatap.
“Hanya Allah yang tahu perasaan aku, Is…” Minn menyeka air matanya dari jatuh. Is mula rasa bersalah kerana membangkitkan semula rasa duka yang telah cuba diusir jauh. Is mendakap tubuh Minn dengan penuh kasih seorang sahabat.
“Minn…apa pun yang kau rasa, aku akan sentiasa doakan kau bahagia Minn. Walau sebanyak mana aku cuba meredakan perasaan kau, aku tahu bahu yang memikul tak sama dengan mata yang memandang. Aku tak sanggup tengok kau hidup dalam kedukaan. Kau kawan aku,” pelukan dileraikan.
“Aku tahu. Aku cuma perlukan masa untuk kembalikan semangat aku yang hilang.” Minn bersuara datar.
“Mudah-mudahan. Esok kita gerak pagi kan?” Is mula mengubah topic.
“Yup. Tiket pukul 10 pagi. Sejam sebelum dah kena standby kan? Jadi kita gerak awal sikitla.” Minn memberi cadangan. Is menganggukkan kepala tanda setuju.


Friday, September 16, 2011

Sampai Syurga [4]

“Lisa.”
 Khai menyapa isterinya yang sedang termenung di jendela kamar. Lisa tidak menoleh. Masih lagi berdiri sambil merenung halaman. Khemah kenduri siang tadi masih terpacak.Ada segelintir lagi orang kampong dan sanak saudara yang masih bertukar cerita biarpun hari menginjak senja.
“Kenapa termenung ni?” Khai berdiri di sisi Lisa yang kini telah sah menjadi isterinya. Wajah Lisa keruh.
“Lisa tak selesalah duduk rumah kampung you ni. Panas.” Khai tersentak mendengar kata-kata yang tidak disangka akan terpacul dari bibir wanita yang dicintainya. Namun dia cuba bersabar. Dia faham Lisa membesar di kota. Pasti dia sukar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan desa yang serba kekurangan.
“Rumah kampung, Lisa. Nanti bila dah malam sikit sejuknya sampai ke tulang. Lebih sejuk dari ‘aircond’ rumah Lisa tu.” Pujuk Khai. Bahu isterinya dipaut lembut. Lisa memang cantik. Rambutnya lurus melepasi bahu. Berkulit halus dan cerah. Memang menggetarkan imannya sebagai lelaki. Cuma ada masa Lisa berkelakuan agak keanak-anakan terutama sekali bila tidak gemar akan sesuatu perkara atau pun kehendaknya tidak dituruti.
“Sudahlah. Tak baik masam-masam muka. Hilang manis wajah isteri abang. Tutuplah tingkap ni nanti nyamuk masuk.” Lisa membantu suaminya menutup jendela. Azan maghrib berkumandang dari surau berhampiran.
Hari ini hari pertama dia mengimamkan solat sebagai suami. Ada rasa sendu di hatinya. Pertama kali menatap wajah Lisa bertelekung, fikirannya terimbas pada satu wajah yang selama ini selalu mengiringi hatinya dalam diam. Bila dia mengucup dahi isterinya usai solat, air matanya bergenang tanpa diketahui apa puncanya. Dia seperti kehilangan sesuatu. Khai makin tidak mengerti gelodak perasaannya. Cuba diusirnya rasa itu dengan mengucapkan istighfar.
Pintu biliknya diketuk. Khai membuka pintu perlahan-lahan. Ibunya berdiri sambil memegang sehelai kain batik.
“Ya mak?” Khai bertanya.
“Bagi kain ni pada Lisa. Baru lagi ni. Kalau dia nak pakai.” Khai menyambut pemberian ibunya. Sebelum beredar, ibunya berpesan supaya mengajak Lisa makan malam memandangkan hidangan sudah tersedia.
“Kenapa you?” Khai menghulurkan pemberian ibunya pada Lisa. Lisa menyambut huluran dengan wajah tanda tanya.
“Mak bagi. If you need it, okay? Jom, mak dah panggil makan.” Lisa meletakkan kain pemberian ibu Khai di atas katil. Memaut lengan suaminya dan mereka seiring ke dapur. Keluarga telah pun menunggu di meja makan.  Kehadiran Lisa disambut dengan mesra oleh ahli keluarga Khai. Seboleh-bolehnya mereka tidak mahu Lisa rasa kekok.
Kerana keletihan, Lisa tidur lebih awal malam itu. Khai pula masih membantu keluarganya mengemas segala peralatan yang digunakan semasa kenduri yang berlangsung petang tadi. Selesai, Khai menyusul isterinya. Nyenyak Lisa tidur. Khai tersenyum. Selimut yang melurut ke kaki ditarik ke atas.
Telefon bimbitnya seharian tidak berusik. Bersusun mesej menyampaikan salam tahniah atas perkahwinannya. Dia tersengih sendirian bila ada mesej lucu yang mencuit perasaannya.
“Assalammualaikum awak. Tahniah sebab dah bergelar suami sekarang. Semoga kehidupan awak dirahmati Allah. Saya minta maaf tak dapat hadir semalam…”
Khai meraup wajah menatap mesej yang diterima daripada Minn.  Khai terbayang saat-saat mereka berdua. Minn yang selalu menyokong, Minn yang sentiasa memberi semangat, Minn yang nakal. Khai menggeleng kepala sambil tersenyum mengenangkan semuanya.
Minn….