Wednesday, August 03, 2011

Ramadhan 2

Ramadhan 2
Alhamdulillah syukur kepada Allah Azzawajalla yang masih memberi peluang untukku menunaikan ibadah puasa pada hari kedua. Keadaan pada pagi hari lebih baik daripada yang sebelumnya. Cuma sekarang di pejabat agak berat juga aku nak membuka mulut. Lebih selesa berdiam diri dan hanya berbicara menggunakan teks (apa lagi…YM atau SMS). Bercakap pun jika perlu.
Aku agak bingung bila memikirkan jadual kuliah untuk trimester depan. Kalau dicongak, kelas akan jadi lebih banyak dari trimester sebelumnya. Sedangkan kemudahan bilik kuliah dan bilik tutorial yang sedia ada tidak mampu menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah. Lazimnya memang aku akan merujuk pada fakulti jiran, tapi mereka juga punya pelajar mereka sendiri. Dan aku juga telah memeriksa jadual kuliah mereka. Fully booked! Semalam ada aku menghantar permohonan ke Bahagian Akademik namun masih belum menerima respon apa-apa. Ya Allah , permudahkanlah segala urusanku.
Ah, menjelang tengah hari mata semakin layu. Apatah lagi bila ditugaskan mencari jurnal satu persatu di talian. Besar kecil anak mata ini meneliti setiap baris. Kalau jumpa , syukur. Kalau tak jumpa….hurm…tanya diri sendirilah. Sampailah satu tahap aku menolak tepi tugas tersebut buat seketika. Menenangkan fikiran dengan membaca blog milik Puan Roza, isteri kepada Prof Kamil (seperti yang diberitahu pada catatan Ramadhan 1). Asyik aku meneroka pengalamannya sebagai pelajar, pensyarah dan juga isteri yang berpeluang menjelajah pelbagai negara. Aku memang tekad akan mencari buku yang dikarangnya ini secepat mungkin, Insya Allah.

Entah kenapa lesu benar rasanya selepas berbuka. Tanpa sedar aku terlena di kerusi. Mujurlah kali ini aku berjaya juga gagahkan diri untuk bangun dan menunaikan kewajipan juga melakukan solat sunat tarawih walaupun hanya di rumah. Terima kasih , Tuhan.

No comments: