Monday, August 01, 2011

Ramadhan 1

Ramadhan 1
Sahur pagi tadi dikejutkan oleh mak. Tak sedar jam sudah menunjukkan pukul 5 pagi. Kerana terkejut, aku terus bangun dan menuju ke bilik air. Ah, pasti aku lupa untuk set ‘alarm’ di telefon bimbit. Selalu aku bangun sendiri. Mungkin disebabkan gangguan emosi malam itu membuatkan aku tidak terjaga.
Alhamdulillah semua ahli keluarga ada untuk meraikan sahur yang pertama. Hari pertama sahur kurang membangkitkan selera. Aku makan ala kadar dan meneguk 2 cawan air kosong sahaja. Cukup hanya itu.
Tiba di pejabat, suasana seperti biasa. Ada yang berlawak mengajak untuk pergi bersarapan. Hari pertama kan pasti sedikit sebanyak mengundang kelainan. Jika selama ini berkumpul di pantry, sekarang lorong menuju ke pantry pun telah berubah menjadi ‘lorong gelap’ (tiada cahaya lampu). Rutin seperti biasa tidak pernah berubah. Membaca email dan tak lupa juga mengemaskini Facebook. Tabiat yang agak sukar dikikis sementelahan lagi keadaan kini belum sibuk. Sekadar membaca status teman-teman yang rata-rata mohon dimaafkan atas semua kesalahan sempena kehadiran bulan Ramadhan yang mulia. Ya, memaafkan itu adakalanya sulit tapi itulah dendam paling indah.
Aku menerima email rasmi pejabat bahawa ada tazkirah pada pukul 11.30 pagi ini. Penceramah merupakan penulis buku Travellog Haji, Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim. Merupakan seorang pensyarah perakaunan di UiTM Segamat, Johor. Entah bila kali terakhir aku menghadiri majlis ilmu. Peluang ini tidak patut aku lepaskan walaupun aku agak prejudis membuat percaturan bahawa aku akan dibuai rasa mengantuk di bilik kuliah. Tazkirah dimulakan dengan bacaan doa. Oh, orangnya bersahaja rupanya. Sederhana dari segi perwatakannya. Sekilas memandang tidak pernah terfikir bahawa dia adalah seorang insan yang telah pun melakukan transformasi dari zaman jahilnya. Kejahilan yang tidak terjangkau dek akal dan kaca mata manusia  kerana dia seorang yang tinggi status sosialnya.  Namun yang menarik hatiku adalah usahanya untuk memperbaiki kejahilannya yakni dengan DOA.  Ingin aku berkongsi kisahnya di sini bahawa beliau dahulunya adalah orang yang tidak pernah mengenal Al-Quran. Namun beliau dikurniakan pelbagai kelebihan yang membolehkannya berjaya sehingga ke tahap ini.Walaupun beliau lalai dalam melaksanakan solat, namun nikmat Allah masih dia rasai dengan sepenuhnya. Sehinggalah di suatu tahap beliau menginsafi keadaannya dan berubah menjadi insan yang lebih dekat di sisi Allah. Aku sedikit terkesima kerana aku melihat diriku sebagai orang yag terlalu mudah berputus asa dalam berdoa sedangkan doa itu adalah ibadat. Minta kerana kita mengingati Allah, bukan kerana permintaan kita semata-semata kerana yang berhak mengabulkan doa ini hanyalah Allah Yang Maha Berkuasa. Bagaimana Allah itu sangat kasihkan hamba-Nya.  Permintaan kita sentiasa didengari Allah. Hanya masa yang menentukan dan hanya DIA berhak menentukan kepada siapa akan diberi nikmat dan dalam bentuk apa jua. Hambanya sama sekali tidak layak mempersoalkan apa-apa. Sekiranya hingga ke hujung nyawa permintaan kita tidak dimakbulkan, maka ingatlah bahawa Allah mahu memuliakan kita ketika Hari Pengadilan nanti yang lebih abadi.
Itulah sedikit sebanyak perkongsian yang dapat aku paparkan di sini. Semoga kita sentiasa dirahmati Allah dan dijemput pulang dalam keadaan paling mulia Insya Allah.


Link: http://muhdkamil.org

No comments: