Tuesday, December 12, 2006

Bermulanya sebuah kisah

BAB 1
Langkah Arina dan Mazni terhenti di hadapan pintu masuk restoran Mc Donald. Menerusi dinding kaca yang jernih,mereka melihat ada dua tiga orang pelanggan berada di dalam menunggu giliran untuk diambil pesanan mereka di kaunter. Pukul sebelas pagi keadaan masih lengang. Namun situasi di sini pasti berbeza tatkala masa menginjak ke waktu puncak yakni jam dua belas tengah hari . Waktu begini restoran makanan segera ini pasti sesak dengan pengunjung sementelahan lagi lokasinya yang strategik berhampiran kawasan kediaman dan pusat pengajian tinggi awam.
“Macam mana Ina? Nak cuba tak?”Mazni beralih pandang pada sahabat yang berdiri tegak di sisinya.
“Entahla Maz.Aku pun tak tahu.” Balas Arina. Nada suaranya jelas menunjukkan keraguan. Pada mula perancangan, memang dia bersemangat untuk mencuba nasib mengintai peluang kerja di sini. Entah kenapa dia terasa cuak pula.
“Jomlah kita try. Alang-alang dah sampai,kalau tidak sia-sia saja perjalanan kita. Lagipun kau nak ke duduk melepak je kat rumah dalam masa 3 bulan ni? Tengok,baru seminggu kita cuti dah terasa bosan. Kalau kita kerja, dapat juga duit saku. Dapat menimba pengalaman.” Arina diam mendengar hujah Mazni. Tidak mampu dia menangkis kerana kebenaran memang terserlah dalam kata-katanya. Rutin di rumah sejak tamat matrikulasi sama sahaja. Bangun bila matahari sudah tinggi menggalah, lena apabila subuh hampir menyapa. Melayan siaran televisyen yang sememangnya menjanjikan hiburan yang menarik. Tapi semua keseronokan itu hanya mampu bertahan selama tujuh hari. Sudahnya, dia terasa jemu.
“Aku seganlah nak tanya. Kau berani tak?”Arina pula mengajukan soalan.
“Berani tak berani kita masuk dulu. Takkan nak tercegat kat sini,” Seiring dengan itu Mazni menarik tangan Arina.Arina hanya menurut biarpun hatinya berkocak. Pintu kaca ditolak perlahan. Mereka berdua berjalan menghampiri kaunter. Hanya satu kaunter sahaja dibuka dan ada seorang pelanggan yang sedang membuat pesanan. Sementara menanti pelanggan di hadapan mereka selesai dengan urusannya, Arina sempat meninjau keadaan di dalam dapur restoran. Walaupun sedikit terhalang dengan mesin air berkarbonat dan ruang meletak pesanan yang sudah sedia, dia dapat melihat aktiviti para pekerja yang sedang sibuk menjalankan tugas masing-masing. Macam manalah agaknya keadaan aku jika bekerja di sini? Sempat dia membayangkan dirinya menjadi salah seorang krew di situ.
“Selamat datang ke Mc Donald. Nak pesan apa dik?” seorang gadis menyapa mereka sebaik sahaja pelanggan tadi beredar. Tersentak, Arina cuba tersenyum bagi menutup debar di dada.
“Kak, sebenarnya kami datang ni nak tanya. Kat sini ada kerja kosong tak? Kalau ada macam mana nak apply?” Mazni menyoal tanpa rasa sangsi.
“Oh,sekejap ya. Kak Meera!Wanted at the counter!” gadis itu melaungkan nama seseorang bagi membantu menjawab pertanyaan mereka. Mazni sempat menncuit tangan Arina. Menandakan bahawa kemungkinan besar peluang terbuka untuk mereka. Arina mengangguk tanda membalas. Tidak berapa lama kemudian, muncul seorang wanita bertudung biru tua memakai uniform yang berbeza daripada para krew. Segaris senyuman dilemparkan buat mereka.
“Ya,adik ada apa-apa masalah?”soal wanita yang dipanggil Kak Meera. Tutur suara yang lembut menyingkirkan terus rasa malu dan segan yang bersarang di hati Mazni dan Arina.
“Begini kak. Kami datang ni nak tanya kalau ada kerja kosong kat sini,”Arina pula mengambil alih tugas mengajukan soalan daripada Mazni.
“Oh,memang kami sekarang sedang mencari pekerja. Kalau adik-adik ni berminat,bolehlah isi borang ni. Sila lampirkan salinan kad pengenalan dan sekeping gambar berukuran pasport. Bila dah siap,hantar pada akak semula.” Kak Meera mengunjukkan 2 helai borang permohonan kerja buat mereka berdua.Penjelasan yang jelas diberikan Kak Meera memudahkan urusan mereka seterusnya.
“Kena hantar hari ni juga ke kak?”Tanya Mazni inginkan kepastian.
“Kalau boleh hari ini lagi bagus. Boleh akak teruskan dengan proses temuduga pula. Kalau lepas, esok dah boleh mula training,” jawapan Kak Meera mengundang sedikit getar di hati masing-masing. Temuduga?
“Jangan risau. Soalan biasa saja. Sekadar prosedur. Tak payah baca buku pun boleh jawab,” ujar Kak Meera yang dapat menilai apa yang tersirat di lubuk hati kedua gadis ini. Mazni dan Arina tersipu malu dengan kenyataan Kak Meera. Pasti dia perasan ekspresi wajah mereka yang keruh tatkala diberitahu ada sesi temuduga.
“Kalau macam tu kami minta diri dulu. Terima kasih kak,”Mazni dan Arina meminta izin mengundur diri. Sebelum beredar mereka mengucapkan terima kasih juga kepada gadis kaunter yang membantu awal tadi. Azlina namanya.

Urusan mengisi borang dan menyediakan dokumen yang diperlukan berjaya disiapkan mereka pada hari yang sama. Selesai urusan temuduga, mereka berdua diberi sedikit penerangan tentang latihan yang bakal mereka lalui selama 3 hari berturut-turut. Kemudian mereka dibawa ke ruang kerja untuk menonton video tentang manual tugas di kaunter dan juga di ruang memasak. Sebelum pulang, mereka juga diberi sepasang uniform dan manual tugas.
“Esok datang pukul 10 pagi,okey? Jangan lambat. Awal tak apa. Kalau lewat,buang kerja!” ugut Kak Meera dalam nada bergurau.
“Baik bos. Esok sebelum Subuh kitorang sampai!” Arina membalas mengajuk stail watak Aziz Sattar dalam filem Seniman Bujang Lapuk.
“Sebelum Subuh nak buat apa. Tak payah solat ke? Kedai pun tak buka lagi. Nak tunjuk rajin tu biar berpada ya. Ini awal-awal je bersemangat,baru susah sikit dah nak berhenti”bebel kak Meera lantas disambut deraian tawa mereka berdua. Kak Meera turut tergelak mengenangkan leterannya. Mengalahkan mak nenek meleteri cucu.
“Okey la akak. Kami pulang dulu. Kita jumpa esok” mereka berdua melambai pada Kak Meera lalu beredar. Di luar, kereta abah Arina sudah menanti. Pasti abahnya tidak percaya yang dia akan mula bekerja esok. Sedangkan dia tidak memberitahu hasratnya secara khusus untuk bekerja sepanjang cuti sementara menanti keputusan untuk kemasukan ke universiti. Bimbang jika keinginannya itu tidak dipersetujui.
“Okeylah Ina. Bapa kau pun dah datang tu. Aku pun nak tunggu mak aku. Kita jumpa esok ya”Mazni meminta diri. Perbualan mereka terganggu seketika dengan deringan telefon bimbit milik Mazni. Tertera nombor telefon ibunya di skrin.
“Mak aku call. Rasanya mesti dia dah tunggu aku kat bus stop. Esok 10 pagi ya!”
“Okey. 10 pagi kita jumpa. Assalammualaikum,”Arina bergegas meninggalkan Mazni yang sedang menjawab panggilan. Dia membuka pintu kereta lantas melabuhkan punggung.
“Mazni balik dengan siapa?” abahnya menyoal sebaik sahaja dia menutup pintu kereta semula.
“Mak dia datang ambil,”jawabnya ringkas. Dia meletakkan bungkusan uniform yang diperolehinya di tempat duduk bahagian belakang.
“Esok Along dah mula kerja kat Mc Donald. Pukul 10 pagi.”Arina memulakan bicara.
“Kerja?”soal abah terkejut.
“A’ah. Dengan Mazni. Esok mula pukul 10 pagi.” Balas Arina. Dia membisu menanti reaksi abah terhadap keputusan yang diambilnya. Jika abah tidak bersetuju, dia akan cuba memujuk. Tak mungkin dia menarik balik keputusannya.
“Esok nak pergi macam mana?” Arina tersenyum gembira. Abah tidak menghalang. Pasti abah faham kehendak hatinya untuk menimba pengalaman. Sekurang-kurangnya dia melakukan sesuatu yang berfaedah dan mungkin dapat membantu sedikit sebanyak dalam meningkatkan ekonomi keluarga mereka.
“Along naik bas saja la.”dia menjawab. Niat di hati tidak mahu menyusahkan. Dia maklum yang abahnya bekerja. Mana mungkin ada masa untuk menghantarnya.
“Naik bas?Bahaya nak melintas ke perhentian bas tu. Jalan sibuk. Tak apalah,abah hantar.” Tawaran abah disambut dalam keharuan. Abah selalu risaukan keselamatannya walaupun dia telah menjangkau usia 20 tahun. Mungkin kerana dia anak sulung perempuan, berbanding 2 adik lelakinya yang lebih bebas dan tidak terkongkong berlebihan sepertinya. Keadaan menjadi sepi semula. Arina mula membayangkan apa yang bakal dihadapinya esok. Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar, detik hati kecilnya.

BAB 2
Arina mundar-mandir di hadapan restoran Mc Donald dengan jiwa yang resah. Mazni masih belum nampak batang hidungnya. Tinggal 15 minit sahaja lagi waktu akan bergerak ke pukul 10 pagi. Sebelum bertolak, dia ada menghubungi sahabatnya namun tidak berjawab. Ingatkan Mazni telah sampai lebih dahulu.
Tunggulah sekejap. Lagi 5 minit dia tak sampai,aku masuk, Arina membuat keputusan. Dia menyandarkan tubuhnya ke dinding. Malam tadi mereka sudah berjanji untuk menunggu di sini. Sudah lupakah Mazni? Arina merungut lagi. Kalau boleh dia tidak mahu lewat di hari pertama gara-gara menunggu.
“Hai,baru ye?”seorang lelaki menegurnya. Terkelu lidahnya untuk menjawab lantaran terkejut dengan sapaan yang tidak disangka. Arina hanya menganggukkan kepala sebagai mengiyakan pertanyaannya. Daripada pakaian yang dipakainya, Arina maklum yang lelaki ini merupakan bakal rakan sekerjanya.
“Kenapa berdiri kat sini?Tak nak masuk ke?Shif pukul berapa?” banyaknya soalan mamat ni, getus Arina dalam hati.
“Bukan tak nak masuk,Azlan. Saya tengah tunggu kawan saya. Shif kami pukul 10,”Arina menjawab sambil matanya melirik ke arah jam tangan yang tersemat di pergelangan tangan kirinya.Kurang 10 minit lagi pukul 10 pagi.
“Eh,mana tau nama saya?”Pelik apabila gadis yang baru pertama kali bertemu mengenali dirinya.
“Tu,kat baju awak tu” Jari telunjuk Arina menuding pada tag nama yang dipakai Azlan. Mata Azlan menghala ke arah yang ditunjukkan. Lantas dia menepuk dahi.
“La, terlupa pula saya. Haha. Tak sempat nak kenalkan diri awak dah tau. Jadi giliran saya pula nak tahu nama awak.”
“Saya Arina,”pendek jawapan Arina. Azlan baru hendak menyambung perbualan apabila telinganya menangkap sayup-sayup suara memanggil nama Arina dari kejauhan. Azlan menoleh. Seorang lagi gadis yang tidak dikenali berpakaian seragam sepertinya menghampiri mereka berdua.
“Aduh,sorry lah Ina. Traffic jam tadi. Lepas tu pakcik teksi tu berhenti jauh pulak. Terpaksa aku menapak dari pasar ke sini,” Mazni memberi penjelasan tanpa dipinta. Awa-awall lagi dia sudah keluar dari rumahnya. Malangnya kesesakan jalan raya yang tidak pernah surut di kawasan perumahannya membantutkan kelancaran perjalanannya. Pemandu teksi yang dinaikinya pula tidak betah lagi menunggu lantas bertindak menurukan dia agak jauh dari destinasi sebenar. Walaupun sebal dengan tindakan pemandu tersebut,namun fikirnya itu lebih baik daripada dia terus-terusan tersangkut di dalam teksi. Sekurang-kurangnya dapat juga dia berusaha berlari daripada duduk menyumpah situasi yang membuat hatinya tidak keruan.Simpati pula Arina pada temannya. Terus hilang rasa tidak puas hati yang menyelubungi hatinya sebentar tadi. Tiba-tiba Mazni baru tersedar ada orang lain bersama mereka. Terbit rasa malu mengenangkan tingkahnya tadi. Hari pertama dah jatuh saham.mesti dia ingat aku ni buruk perangai. Terpekik-pekik macam orang gila, Mazni mengeluh.
“Hai,saya Azlan,”Azlan menghulurkan salam perkenalan buat Mazni.
“Saya Mazni. Selamat berkenalan,”salam persahabatan disambut seikhlas mungkin.
“Jomlah kita masuk,dah nak dekat pukul 10 ni. Azlan tak masuk sekali?”Arina bertanya apabila dia melihat Azlan tidak ikut serta bersama mereka.
“Saya lagi setengah jam. Tak apalah, you two masuk dulu. Jumpa nanti,” cepat-cepat Mazni dan Arina melangkah masuk ke lobi restoran. Demi ternampak kelibat Kak Meera,langkah diatur lebih pantas.
“Morning Kak Meera,” Tanpa dirancang, kedua-dua mereka serentak mengucapkan selamat pagi.
“Morning. Kata semalam sebelum Subuh nak datang?”perli Kak Meera. Mereka berdua hanya tunduk membisu. Tidak tahu apa yang wajar diperkatakan memandangkan raut wajah Kak Meera yang serius. Mereka sampai tepat pada waktu,tidak lebih dan tidak kurang. Gelisah mereka dibuatnya. Apa salah mereka?
“La,awat kelu je ni?Akak bukan marah la. Gurau je. Korang takut eh?Haha.”Kak Meera meletuskan tawanya. Lega sungguh hati Arina dan Mazni. Maklumlah hari pertama bekerja, belum bijak mentafsir perilaku dan personaliti krew di sini.
“Ikut akak,”mereka mengangguk tanpa bantahan. Mazni dan Arina membontoti Kak Meera ke ruang kecil tempat mereka menonton video semalam. Mereka difahamkan ia juga merupakan ruang rehat untuk para pekerja. Lebih kepada ruang untuk menjamu selera. Beberapa orang krew yang memulakan shif pagi melemparkan seyuman. Dengan senang hati mereka turut membalasnya.
“Pertama sekali akak nak ucapkan selamat datang ke restoran ni dan menjadi sebahagian daripada krew di sini. Nama akak Ameera, just call me Kak Meera. Akak memegang jawatan sebagai penolong pengurus restoran Mc Donald cawangan Serdang.Akak nak ingatkan tentang peraturan. Mengenai kehadiran,mesti sampai tepat pada waktu. Syabas kerana anda berjaya menghadirkan diri pada waktu yang ditetapkan.” Mazni dan Arina berpandangan sesama sendiri sambil mengulum senyum bangga.
“ Hanya alasan yang munasabah saja kita terima seandainya datang lewat. Kalau ada kecemasan,terpaksa cuti,beritahu kami. Supaya senang kami nak cari pengganti­----“
“Pagi Kak Meera!Ops!” amanat Kak Meera terhenti apabila muncul satu suara menyapanya.
“Pagi,Shamsul. Kau shif pagi ke? Akak ingat kau closing?”ujar kak Meera kehairanan. Yakin benar dia bahawa nama Shamsul tersenarai dalam kategori shif malam. Mana mungkin dia tersilap sedangkan dia yang bertanggungjawab menyusun jadual pekerja bawahannya.
“Saya tukar shif dengan Ogy. Dia ada hal sikit katanya. Urgent,”jelas Shamsul. Kak Meera mengangguk tanda faham. Pandangan Shamsul terarah pada kedua orang gadis yang mengambil tempat di hadapan Kak Meera. Pekerja baru agaknya,desis Shamsul dalam hati. Setelah meletakkan beg dan jaket di tempat yang disediakan, dia lantas menjalankan rutin.
“Okey,kita sambung semula. Memandangkan kita bertanggungjawab menghidangkan makanan kepada pelanggan, kebersihan merupakan perkara utama yang perlu dititikberatkan. Sebelum mula kerja, pastikan tangan dibasuh terlebih dahulu menggunakan sanitizer yang disediakan. Prosedur ini akan diteruskan setiap 30 minit selepas basuhan pertama. Asalkan jaga kebersihan,itu dah memadai. Kalau rasa baru lagi cuci tangan tu, tak apalah tak perlu ikut sangat prosedur tu. Jangan lupa pakai sarung tangan. Ini yang paling penting untuk mengelakkan makanan yang disediakan terdedah pada bakteria dan mengelakkan keracunan” satu persatu pesanan Kak Meera mereka pahatkan di dalam ingatan masing-masing.
“Sekarang kita akan mula latihan. Mazni akak aturkan latihan di kaunter dan Arina akak aturkan bekerja di ruang kitchen. Selamat menjalankan tugas. Akan ada orang yang akan melatih kamu berdua. Mari akak kenalkan krew-krew di sini ” Mazni dan Arina bangun lalu mengekori langkah Kak Meera.
“Okey,krew. Akak nak kenalkan ahli baru kita sekejap,” semua pekerja yang ada di situ menghentikan seketika tugas masing-masing. Semua mata kini menghala ke arah Mazni dan Arina. Timbul pula rasa gemuruh apabila berhadapan dengan situasi seperti ini. Berhadapan dengan wajah-wajah yang tidak dikenali, Arina tertanya-tanya dapatkah dia menyesuaikan diri di sini? Dapatkah mereka menerima kehadirannya untuk menjadi sebahagian daripada krew? Berbanding Arina,Mazni lebih relaks dan tenang.
“Boleh kenalkan diri masing-masing?” pertanyaan kak Meera sekaligus mematikan lamunan Arina. Arina menoleh ke arah Mazni. Mazni cukup faham dengan sikap pemalu temannya itu. Lalu dia memulakan sesi perkenalan yang diatur Kak Meera buat mereka.
“Pagi semua, saya Mazni dan ini rakan saya,Arina,”
“Hai,”perlahan kata yang terbit dari bibir mungilnya. Seakan suaranya tersekat di kerongkong. Para krew turut membalas dengan respon yang sama.
“Shamsul,akak minta tolong kau train Arina bahagian kitchen. Biasakan dia dengan rutin harian kita. Boleh kau pikul tugas ni?”


yeah,di sinilah idea aku terkandas.Sukar rasanya aku nak menumpukan perhatian kat pejabat ni.Mungkin lagi 2-3 hari aku akan sambung.Saat ni kan best kalau ada laptop.Boleh bawak gi mana-mana.Saat-saat camnila kan best ada banyak duit,leh beli apa yang kita nak.Nak laptop!!!

No comments: