Wednesday, March 29, 2006

BAB 18


BAB 18

Matahari sudah meninggi sewaktu dia bangun dari tidurnya. Katil Aziriza sudah siap dikemas. Baldinya tiada,mungkin sedang membersihkan diri. Ikutkan hati mahu saja dia menyambung untuk beberapa minit lagi. Arina menguap. Mendepangkan tangan sambil mengeliat malas.Lantas membelek wajahnya di cermin.Kusut masai, mata bengkak. Penangan vcd Korea, ‘Autumn In My Heart’. Sepanjang malam dia menonton vcd milik jiran sebelah bilik. Jalan cerita yang meruntun hati dan nalurinya membuatkan dia tak mampu menahan perasaan sedihnya.Gadis yang disangka adik sendiri,bersama sejak kecil,rupanya bukan darah daging. Dari kasih seorang abang kepada adik berubah ke kasih seorang teruna dan dara. Cinta yang dipertahankan akhirnya tidak kesampaian. Ajal memisahkan dan siapa pun takkan mampu menahan meskipun menundanya. Ia akan hadir bila tiba janji-Nya.

Aziriza telah pun selesai membersihkan diri. Langsir yang menutupi tingkap dikilas selebarnya. Memberi ruang untuk udara pagi menyelinap segenap ruang bilik. Jumaat adalah hari cuti di Kedah,maknanya mereka bebas dari jadual kuliah yang padat. Kesempatan ini digunakan oleh mereka untuk mengemas bilik.

“Eh,tak mandi lagi?”Aziriza menyapa Arina yang masih berbaju tidur.
“Belum,gosok gigi je.Shower penuh.Kau dah menyapu ke,Eja?”
“Belum,kenapa?”pelik dengan soalan Arina.
“Tak ada,biarlah aku menyapu pula hari ni. Tak adil asyik kau je. Inikan bilik kita berdua,”ujar Arina. Dia mencapai batang penyapu yang tersandar di dinding. Suis kipas ditutup. Manakala Aziriza menyusun buku-buku yang bertaburan di atas meja. Ketika waktu kuliah mereka seakan kesuntukan masa untuk mengemas. Cadar pun telah diganti.Dia memerhati Arina yang terbongkok-bongkok menarik sampah di bawah katil. Selesai menyapu,Arina bergegas ke bilik air.Aziriza mencapai majalah mingguan Wanita yang dibelinya di koperasi semalam. Belum pun beberapa helai dibukanya akibat tidak berkesempatan. Panasnya. Ah,patut pun! Kipas tidak dipasang. Dia memetik suis dan diputarkan ke angka 3.Bilah-bilah kipas berpusing semakin ligat. Barulah selesa. Dia menyambung semula pembacaan yang terhenti sebentar tadi. ‘10 cara tingkatkan daya ingatan. Mengunyah gula-gula getah boleh meningkatkan denyutan jantung sehingga memperbaiki oksigen yang dikirim ke otak dan meningkatkan kekuatan kognitif’. Fakta yang menarik. Selama ini dia menyangka tiada faedahnya memakan gula-gula getah atau chewing gum. Selain membawa masalah sekiranya terpijak ataupun terlekat di mana-mana,dia tidak melihat apa yang positif. Helaian seterusnya diselak. Ruangan motivasi kelolaan Dr. HM Tuah adalah halaman kesukaannya. Pesanan untuk orang cantik,tajuk utama isu kali ini. Orang cantik fobia menjadi buruk. Cabaran untuknya melalui hidup dengan tenang agak sukar. Ke mana saja akan diburu,kadang-kadang menjadi mangsa perebutan yang menumpahkan darah. Kisah hidup orang cantik selalunya penuh berduri. Jika anda buruk,setidak-tidaknya anda bebas daripada rasa riak dan takbur. Hargai diri anda sebab kewujudan anda membuktikan kekuasaan Allah. Aziriza mengangguk sendiri sependapat dengan apa yang ditulis pakar motivasi terkenal negara itu.

“Apa yang terangguk-angguk macam burung belatuk tu,Ja?”sedikit tersentak tatkala disapa Arina. Dia menukar kedudukan dari meniarap ke posisi duduk mengadap Arina. Berkeriut bunyi besi katil yang sudah dimakan usia.
“Aku setuju dengan pendapat Dr HM Tuah mengenai orang yang cantik. Zahirnya menarik,walhal banyak yang buruk dari yang baik,”
“Aku pun suka baca ruangan tu.Kata-kata dia tu seakan memberi kekuatan untuk kita menghadapi diri sendiri. Terima apa saja kelebihan dan kekurangan sebab manusia memang fitrahnya tidak sempurna,” dia mengelap rambutnya yang basah. Haruman lembut syampu Sunsilk Lime menusuk hidung. Ringan rasa badan. Krim losyen dilumurkan seluruh badan,tangan dan kaki. Hanya waktu cuti begini dia membelai diri. Hari-hari biasa tidak membenarkannya berbuat demikian lantaran banyak urusan yang menagih masanya.

Deringan telefon mematikan perbualan. Seketika kemudian,ia berhenti.Missed call! Aziriza tersenyum sumbing. Salah satu kegemaran remaja masa kini malah ia menjadi trend kepada pengguna telefon mudah alih. Cara untuk menjimatkan kredit telefon. Kurang praktikal tetapi menjadi pilihan.

“Siapa tu?”
“Iman...i mean Fariz,” Arina ketawa bila menyedari ketersasulan temannya. Merahnya muka macam udang kena panggang.
“Iman,hmm...”
“Stop it Ina,”cuba mengawal rasa malu yang bermukim di hati. Bagaimana dia boleh mengucapkan nama tersebut? Selama ini dia membahasakan Iman sebagai Fariz di kalangan rakan-rakannya. Dia melirik pada Arina yang masih merenungnya. Tajam. Entah apa yang bermain di fikirannya.

“Boleh aku tanya sesuatu? Mungkin ia agak peribadi?”ujar Arina.
“Bergantung pada soalan,”balasnya. Dia menyandarkan tubuh ke dinding.Kakinya dilunjurkan. Memastikan diri berada dalam posisi selesa sebelum Arina memanahnya dengan pertanyaan yang rasanya dia sendiri sudah boleh mengagak.
“About you and Fariz. Kau sukakan dia?Maksud aku, anggap dia seseorang yang istimewa?”
“Of course he is special. Dia kan kawan rapat aku,”
“Kau tahu maksud aku,Eja. Dari air muka kau tu,aku boleh baca perasaan kau. Kau tak boleh bohong aku. I’m good at reading people’s feeling,”Aziriza menjuihkan bibir bila telinganya mendengar ayat akhir Arina. Terdiam sejenak seolah memikirkan sesuatu. Mengerling teman sebilik yang masih menanti jawapan.

“Aku pun tak tahu nak cakap perasaan aku macam mana. Memang setiap hari kami berjumpa. Sepanjang dia berkawan dengan aku,tak pernah pula dia sakitkan hati aku.Aku pun senang punya teman seperti dia. Aku sukakan dia, sebagai kawan tak lebih dari itu,puas hati?”Aziriza menatap wajah Arina. Nyata menggambarkan ketidakpuasan hatinya terhadap penjelasan Aziriza. Aziriza sedar,riak muka Arina bukan sukar untuk ditafsir. Tetapi itulah alasan yang paling munasabah yang dapat diberi untuk waktu kini. Perkara yang mengaitkan hati dan perasaan sukar untuk diduga.

“Yalah,aku tahu kau nak sorok daripada aku. Kita tengok je la nanti,”suara Arina menjadi kendur.
“Takkan pasal hal tu kau nak jauh hati dengan aku.Kalau ada perkembangan,kau lah orang pertama yang dapat tahu. Ha,cakap aku. Kau tak beritahu aku pun pasal Fendi. Tahu-tahu korang ada date. Siapa nak jawab tu?”alamak,nahas aku! Masih teringat lagi serangan bertalu-talu dari sahabat-sahabatnya menanyakan perihal Fendi.Beramai-ramai melahirkan rasa bengang dan tidak puas hati dengan sikapnya merahsiakan hubungan yang telah pun menjangkau beberapa bulan. Selama ini memang antara mereka tiada rahsia,setiap inci hal akan dikongsi bersama. Gembira atau duka. Dia tidak pernah terfikir hal sekecil itu membuatkan mereka berkecil hati. Mungkin sebab mereka fikir dia sengaja tidak ingin berkongsi kebahagiaan yang dialaminya sekarang. Tambahan pula mereka sekadar menjalin persahabatan, bukannya bercinta. Tidak perlu digembar-gemburkan hal yang masih ragu.

“Dia tu Rita yang kenalkan. Kitorang berhubung pakai sms je.Mana aku tahu yang perkenalan kami akan berlanjutan sampai ke tahap ni.”
“Lama tu kau kawan dengan dia. Kita pun dah lebih 4 bulan kat sini. Takkan takde feeling kot?Dah la tough,putih, good looking, sesuai la dengan kau. Cuma kalau kau jalan dengan dia, bolehlah diibaratkan kau semut,dia gergasi,”satu tepukan kuat mendarat di bahu Aziriza. Aziriza berteriak kesakitan. Ada ke patut dia dibandingkan dengan Fendi begitu.Tapi,ada benarnya. Kalau hati dah suka,tak kira tinggi atau tidak,gemuk atau kurus,semua tidak menjadi soal. Bukan pandangan fizikal menjadi kayu pengukur dalam menilai erti kasih sejati. Keluhuran hati,aset paling bernilai agar hubungan yang terjalin kan tetap mekar biar dirempuh badai.

“Perasaan aku tak penting,Eja. Entahlah,ada satu masa aku rasa nak sangat merasa ada pakwe,ada masa aku langsung tak nak fikir pasal tu. But,if he propose me,i think i would say...”
“Yes,I do? I mean,you do? Wah,cinta sudah berputik ya?”potong Aziriza sejurus sahaja dia mendapat peluang. Terkedu dia seketika.Terlajak perahu boleh diundur,terlajak kata...inilah padahnya.Setiap hari perasaan sayangnya makin bercambah. Benih persahabatan yang disemai mula dirimbuni dedaun cinta yang mengusik jiwa. Semakin kuat dia menafikan,semakin ligat dia memikirkan. Dia tak mampu lagi terus-terusan menipu perasaannya.
“Salahkah aku menyayangi dia?Aku...”
“Tak salah menumpahkan kasih pada seseorang,Ina,”sanggah Aziriza. “Aku harap kau bahagia. Jangan difikirkan sangat,perjalanan hidup kita masih jauh. Baik kita dahulukan cita-cita,itu tujuan utama ke sini,kan? Selagi kau berpegang kuat pada qada’ dan qadar Allah,insya Allah,kebahagiaan akan menjadi milik kau,”Aziriza menasihati temannya yang kelihatan agak runsing dengan permasalahan peribadi. Dia tahu kenapa hati Arina liat untuk menerima kasih yang terhulur. Kisah silamnya banyak mempengaruhi pandangannya terhadap kaum lawan jenisnya. Dahulu dia pernah dicintai,biarpun usianya masih muda,masih di sekolah menengah,sudah dicuri hatinya oleh seseorang yang pada sifatnya amat baik pada pandangan lahiriah seorang gadis. Orang mungkin beranggapan ianya cinta monyet,tapi tidak bagi Arina. Dia tetap setiap pada cinta pertamanya. Beberapa hari setelah PMR berakhir,segalanya terbongkar. Lelaki yang disayangi mengkhianatinya,kononnya dia bersama Arina sekadar menyahut cabaran seorang senior,tidak lebih dari itu. Zaman remajanya disulami kecewa,meninggalkan parut yang dalam.Mengikis segala kepercayaan pada insan bernama lelaki. Kerana tak mahu disakiti lagi, Arina menjauhkan diri daripada berkawan dengan lelaki.Sehinggalah dia mengenali Fendi. Pada firasat Aziriza, Arina sudah belajar menerima hakikat. Buktinya,dia kini boleh bergelak ketawa dan bertukar cerita dengan pelajar lelaki. Cuma satu,dia amat berharap Fendi tidak mempermainkan perasaan Arina. Bimbang jika Arina tak mampu menahan sakitnya. Buat masa ini,cuma dia saja yang tahu rahsia ini. Itupun secara kebetulan sewaktu dia menegur sikap Arina yang dingin dan prejudis terhadap Hazli meskipun lelaki itu sehabis boleh cuba berbaik dengannya.

“Aku masih belum lupa tujuan utama aku kalau itu yang kau risaukan. Eh,nak dekat pukul 12 la. Jom pergi makan,”
“Hah,nak dekat pukul 12?Mati aku. Intan ajak kita makan sama. Dia tunggu kita pukul 11.30 lepas habis latihan kawad PALAPES,”kelam-kabut dia mendail nombor telefon Intan untuk memberitahu tentang keterlewatan mereka. Jangan minah tu naik angin sudahlah!



1 comment:

kak su said...

assalamu'alaikum nashrin,
kak su ni...
kak su mana ?
kak su... wan... kucing nama Tuah..
rumah no 110...
am enjoying reading this...
we should meet....
the last time we met was when we went to mph looooooooooong time ago....
don worry, whatever in this blog remain in my head-won't spill them out to anybody...
YM me if u can track my email address...