Wednesday, March 08, 2006

Inikah ertinya cinta-bab 13



BAB 13

Makmal multimedia masih lagi belum dibuka. Para pelajar sudah mula berlonggokan di luar. Inilah subjek multimedia pertama yang akan dipelajari untuk semester ini. Asas sistem multimedia, tunggak dalam jurusan ini pastinya.Apa pun yang kita pelajari mesti bermula dari asas.Faham asas,semuanya akan menjadi mudah untuk dilalui. Namun,itulah masalahnya. Asas itu yang sukar untuk difahami kebanyakan manusia. Baik yang muda atau yang tua.

Aziriza tersentak tatkala telefon bimbitnya menjerit minta diangkat. 1 message received.Siapa pulak yang hantar ni?
“Akum...aku sampai lambat sikit. ‘Cop’kan 1 pc untuk aku ye,”La...Cik Arina rupanya.Tidak lama selepas itu,petugas makmal tiba untuk membuka makmal. Aziriza mengambil tempat di barisan kedua bahagian kanan makmal. Dia meletakkan bukunya di meja komputer di sisi kirinya sebagai tanda ada orang di situ.

Sementara Puan Zuhana tak datang lagi,baik aku cek e-mel.Kursor dihalakan ke ikon Internet Explorer. Setelah dwiklik,laman web Yahoo.com terpapar di skrin komputer berukuran 17 inci itu. Dengan pantas dia menggerakkan tetikus untuk mengarahkan kursor ke ikon Mail lalu menaip kata kunci.Hmm...ada satu mel baru. Ini tarikh hari ni. Kebetulan pulak. Mari kita lihat siapa yang hantar ye.
“akum..amboi,mentang-mentang lecturer tak sampai lagi.baca mel pulak ye?Eja,makan ngan Iman mlm ni. Boleh?”Aziriza terkejut.Macam mana dia boleh tahu yang aku nak cek e-mel ni?Mamat ni ada prarasa ke?Aziriza menoleh ke sekitar makmal. Serta-merta dia terlihat kelibat Fariz Aziman.Lelaki itu mengangkat tangannya. Aziriza membalas dengan menunjukkan jarinya pada skrin.Dia mengangguk dan anggukannya dibalas dengan lafaz ‘ok’.Meskipun jarak antara mereka agak jauh,Aziriza yakin itulah katanya berdasarkan gerak bibir Fariz.

“Hai,sorilah lambat sikit. Aku jumpa mentor aku,Encik Issham. Terserempak pulak dengan ‘instructor’Java kita. So,aku pun ambil kesempatan la tanya pasal latihan makmal hari tu,”panjang lebar Arina menjelaskan alasan keterlewatannya.Dia melirik ke kiri dan kanan. Sue tak datang ke?
“Woi!”Arina dan Aziriza terjerit kecil apabila seseorang menyergah dari belakang. Sue ketawa besar dengan gelagat kedua temannya. Dengan selamba dia duduk di tempat kosong belakang Arina.
“Siut betul,terkejut aku! Apasal lambat? Ingat aku je yang lambat,”
“Ingat tak nak datang, tapi tiba-tiba rasa insaf pulak. Tu yang datang ni,” pelik aku dengan budak Sue ni. Ada masa betul,ada masa tak betul.

“Azizi,Li mana?”dengan segera Arina bertanya pada Azizi apabila dilihatnya Azizi datang sendirian.Selalunya berdua dengan Hazli. Takkan ponteng lagi kot?
“Biasalah, dia suruh kau tanda attendance untuk dia,” Arina menarik muka empat belas. Sejak mereka berdamai, inilah rutin harian Arina. Tadi dah tak datang kuliah Matematik IT, ‘lab’ pun tak nak datang? Tahulah dia tu terror bab komputer ni. Entah bila masa dia lantik aku jadi setiausaha peribadi. Kalau ada gaji takpela jugak.

Pada hari tersebut Puan Zuhana mengajar mereka cara untuk mengendalikan perisian animasi,Macromedia Flash. Buat makmal pertama ini,mereka diberi penjelasan tentang tool yang disediakan dalam perisian ini serta mencuba fungsinya. Masa mereka dihabiskan dengan melukis objek menggunakan tool di dalam Flash serta membuat animasi ringkas berdasarkan konsep Motion Tween. Payah juga hendak menghasilkan lukisan dengan menggunakan tetikus.Lain yang dibayangkan,lain pula yang terhasil. Banyak kali juga Arina ditegur kerana ketinggalan.Malu hanya Tuhan saja yang tahu. Hampir putus asa dia dibuatnya.

“Janganlah monyok je.Bukan kau sorang je kena. Aku pun kena gak,” Sue cuba mententeramkan Arina sebaik sahaja tamat makmal hari itu. Kali pertama memanglah sukar,lama-lama nanti pasti tiada masalah. Hampir semua pelajar ditegur. Pensyarah sangka semua pelajar sudah tahu dan ada pengalaman. Kalau begitu, buat apa mereka masuk ke sini. Itulah tanggungjawab pensyarah,kalau setakat nak marah membabi buta,baik letak jawatan.

“Hai,Eja. Malam ni pukul berapa?” Sue dan Arina berpandangan.Malam ni?
“Oh,Iman. Ikut awak la,saya tak kisah,”Aziriza berundur sedikit dari pintu makmal untuk memberi laluan pada pelajar lain untuk keluar. Mata Sue terpaku pada seseorang. Ini mamat satu kolej dengan aku ni.Sama jurusan pulak,ini sudah bagus!
“Pukul 8.30 ok? Kat kafe Nongka. Tunggu saya kat bus stop,”Arina cuma memerhati. Sempat juga dia membalas senyuman Fariz. Selama dia di sini,dia belum pernah berborak panjang dengan lelaki itu. Segan,lebih-lebih lagi mengenangkan yang Fariz pernah menjadi posmen tak bertauliah bagi pihaknya melalui teman sebiliknya sewaktu di kolej matrikulasi. Semua gara-gara terlalu sukakan seseorang. Bagaimana dia boleh jadi seberani itu dia sendiri pun tak tahu. Harapnya Fariz tak tahu dialah insan itu.
“Saya bawa Arina,boleh kan?”Aziriza menoleh pada Arina yang sedang mengelamun.
“Boleh,saya tak ada masalah. Arina ikut sekali ye?” Arina merenung Fariz. Aziriza menepuk bahunya. Baru dia tersedar dari khayalan.
“Eh,tak apalah. Aku tak nak kacau. Lagipun, aku ada kerja sikit malam ni,” Aziriza membulatkan matanya tanda tidak senang dengan tindakan Arina. Arina perasan yang Aziriza tidak puas hati dengan jawapannya,namun dia buat tidak nampak.
“Takpela kalau Arina tak sudi,”
“Bukan macam tu. Saya betul-betul sibuk malam ni.Sorry ye Eja,malam ni je kau tak makan dengan aku. Aku tau la kau tak selera kalau aku takde,kan? Fariz, jaga kawan saya baik-baik tau,” Arina dan Sue mengenyit nakal.
“Ok,saya pergi dulu.”Fariz meminta diri untuk beredar.
“Kau saja nak kenakan aku dengan dia ye?”Aziriza bersungut setelah Fariz berlalu jauh.
“Aku tak nak jadi penyibuk walaupun aku tahu korang tak anggap macam tu. Memang aku ada hal sikit malam ni,yang itu aku tak tipu. Lain kali,hmm?” Arina memujuk kawannya yang sedang marah. Seketika dia menoleh pada Sue. Sedari tadi asyik terjenguk-jenguk ke ruang lobi Fakulti Teknologi Maklumat. Entah apa yang menarik perhatiannya. Dia mencucuk pinggang temannya dengan hujung pen yang dipegangnya.Sue tergeliat kegelian.

“Apa yang menarik sangat sampai terkinja-kinja macam tu?”Aziriza menghampiri Sue sambil menghala pandangan ke arah yang dilihat oleh temannya. Seorang lelaki tinggi lampai sedang berbual dengan rakannya yang agak rendah sedikit. Sekarang barulah dia tahu apa yang membuat mata Sue tak lepas dari melekat di lobi. Nampak mamat hensem,putih pulak tu.Macam Cina je.Mungkin orang Sarawak kot?

“Fuh, hebat taste member kita.Yang mana satu impian hati?”Arina menduga.Dia turut menyertai mereka dalam pemerhatian tak langsung itu.

“Yang tinggi tu.Aku confuse dengan identiti dia ni. Aku tengah suruh member aku kat TNB ‘usha’ background dia. Paling penting,umur dia. Kalau junior,mintak simpang,”masuk akal juga. Sesi kemasukan kali ini serentak dengan kemasukan pelajar matrikulasi yang muda setahun daripada mereka. Silap haribulan,jatuh cinta dengan ‘adik’. Serasa tidak adil,mereka harus menamatkan matrikulasi selama 3 semester manakala pelajar junior hanya 2 semester. Pada awalnya,tindakan kerajaan merombak sistem pendidikan di matrikulasi mendapat tentangan dan kontroversi. Ramai yang bimbang kerana terpaksa bersaing tempat dengan pelajar junior. Mujurlah kini mereka sudah selamat ditempatkan di pusat pengajian tinggi. Disebabkan hal itu,hubungan 2 golongan ini kurang baik. Masing-masing ingin mempertahankan hak.
“Pasang spy tu...kami doakan kau berjaya dalam misi rahsia ini,”mereka bertiga ketawa bersama. Selepas mengucapkan selamat tinggal,mereka pulang ke kolej masing-masing.

Ada 10 minit sebelum 8.30 malam. Aziriza merenung ke arah temannya yang khusyuk membaca novel ‘Saat Rindu Berdetik’ karangan Zuraidah Othman.Kalau dah pegang novel tu,alamat tak makan la. Selagi tak habis,selagi itu dia akan terus membaca.Kalau jalan ceritanya sedih,boleh menangis. Tahu sangat dia dengan hati Arina yang sentimental. Pernah suatu hari dia menangis tersedu-sedu akibat terlalu sedih setelah selesai membaca satu novel yang tebalnya mengalahkan kamus.

“Betul kau tak nak ikut aku?”Arina menggeleng. Matanya masih lagi menatap buku yang dipegangnya.
“Tak nak kirim apa-apa? Kau tu kalau dah membaca,makan pun tak ingat,”Aziriza menawarkan bantuan. Arina menutup novelnya yang sudah separuh dibacanya.
“Aku kenyang lagi,terima kasih. Fariz dah sampai ke?”
“Belum kot. Aku pun lupa nak kasi nombor handset aku kat dia. Aku turun dulu lah.Anything, just call,”
“Have fun!”

Sunyi pula bila Aziriza tiada. Dia bangkit untuk membuka radio. Kebetulan lagu kegemarannya ‘Aku Cinta Kau dan Dia’dendangan Adifashla, peserta Akademi Fantasia sedang dimainkan. Arina ikut menyanyi sama. Dia baru hendak menyambung semula bacaannya apabila diganggu bunyi bingit telefon. Bibirnya mengorak senyum. Inilah benda penting yang membuatkannya ‘sibuk’ malam ni. Menanti panggilan dari si dia.

“Assalammualaikum,Rin.”
“Waalaikumussalam,Fendi,”ada getar dalam suaranya. Kali pertama dia mendengar suara empunya diri setelah sekian lama berhubung melalui sms.
“Fendi kacau Rin ke?”
“Eh,takdelah. Rin tak buat apa pun. Ada apa call Rin?”
“Saja nak dengar suara. Macam tak nak layan je,”
“Bukan begitu. Fendi call guna handset,kan mahal. Mesti banyak duit,kan awak guna line Pahang,”
“Jangan risau. Fendi dah ‘active 5’ nombor Rin. So, tak lah mahal sangat.”Arina tersenyum simpul. Perbualan mereka berlarutan selama hampir setengah jam. Fendi mengusulkan satu pertemuan,namun ditolak dengan baik oleh Arina. Alasan sibuk dengan tugasan dan peperiksaan pertengahan semester. Sedang hakikatnya, Arina belum bersedia.
“Kalau camtu,lepas periksa kita jumpa ye. Fendi nak persahabatan kita ni berterusan,Rin,”
“Kalau diizinkan Allah, Insya Allah,kita jumpa. Terima kasih sebab sudi call.”

Arina mematikan talian.Ikhlaskah lelaki itu bersahabat dengannya? Arina termenung. Dia tak sangka yang hubungan ini masih kekal hingga ke hari ini.Fikirnya, Fendi akan melupakannya apabila kuliah sudah bermula. Mereka makin rapat,saling berkongsi masalah.Arina mengakui Fendi pendengar yang baik. Setiap kali ada masalah,Fendi tempat dia mengadu. Fendi pula akan memberinya nasihat dan kata perangsang sebagai pengubat duka. Bukan dia tak mahu bersemuka,dia takut kalau Fendi sudah mengenalinya secara fizikal, persahabatan ini akan terputus. Dia pernah melihat Fendi sewaktu lelaki itu membeli suratkhabar di perkarangan Fakulti Perakaunan semasa menemani Rita.Cuma melihat dari kejauhan. Berbadan tegap,berkulit cerah dan air mukanya tenang. Kata Rita,dia ahli silat. Sedangkan dia...

Ya Allah,tunjukkanlah aku ke jalan yang benar.........



No comments: