Tuesday, February 21, 2006

INIKAH ERTINYA CINTA (8-10)

BAB 8
Pertemuan pertama Aziriza dan Fariz Aziman

Sedari tadi gadis berbaju kurung biru ini melilau di sekitar tingkat 2 bangunan Fakulti Teknologi Maklumat. Kakinya terasa lenguh,maklumlah kasut bertumit tinggi. Tu la, gatal sangat nak melawa konon! Kalau aku tau la FTM ni jalannya berbelit,mati idup balik aku tak pakai kasut ni.

Dalam merungut, dia meneruskan juga pencariannya. Tugasan mesti dihantar sebelum pukul 3 petang. Bilik pensyarah yang dicari tak juga berjumpa. Naik angin satu badan dibuatnya. Hai...takde ke sesiapa baik hati yang ingin menunjukkan aku jalan yang betul ke arah bilik Cik Nassiria ni?

“Assalammualaikum,”
“Waalaikumussalam,” seorang lelaki tercegat di hadapannya.Aziriza mengamati wajah insan yang memberi salam kepadanya. Macam kenal,tapi di mana ya?
“Eja cari bilik Cik Nassiria ke?”
“ Ha’ah,awak ni....”serta-merta dia teringat. Ini budak satu matrik aku ni. Apa ke nama mamat ni? Fa...Fa apa ha?
“Fariz Aziman,”
“Iman...mesti orangnya pun kuat iman jugak,”cuba bergurau untuk meredakan geram di hati. Fariz tergelak.
“Eja ni pandai melawak juga ye. Tengok muka nampak cam serius,”Fariz membalas.
“So, sekarang awak dah tukar fikiran la tentang Aziriza ni?”Fariz memegang dagunya lagak seperti berfikir.Aziriza sekadar memerhati.
“Mmmm...bolehlah dikatakan begitu,” Aziriza senyum. Dia sebenarnya sudah lali dengan pendapat sebegitu. Air mukanya yang serius sering membuat orang tersalah anggap tentang peribadinya.Ye la, takkan nak senyum sepanjang masa.Nanti orang ingat aku gila pulak!

“Kebetulan saya pun nak ke bilik dia. Nak hantar tugasan MIS. Jom la,saya tau kat mana bilik dia,”pelawaan daripada Fariz segera disambut. Mujurlah ada penyelamat di saat dia memerlukan seseorang. Kalau tak,tak tahu apa nak jadi.Silap haribulan,tugasan tak berhantar.

Selesai urusan, mereka beriringan meninggalkan Fakulti Teknologi Maklumat. Fariz mempelawa Aziriza untuk makan tengahari tetapi ditolak dengan sopan. Alasannya, ingin segera pulang ke bilik lantaran ada urusan yang lebih penting. Namun, dia berjanji akan ada lagi pertemuan seterusnya.

Aziriza menghayun langkah menuju ke biliknya yang terletak di tingkat 2 Kolej Perwaja.Setelah selesai menunaikan solat Zohor yang hampir sampai ke penghujung,dia merebahkan diri ke atas katil. Keletihan yang menjalar segenap tubuhnya memudahkan dia melelapkan mata. Sebentar sahaja dia terlena.

************************************************************************

“Ja..oo,cik Eja. Bangun , dah Maghrib ni,”siapa yang ngacau ni,nak tidur pun tak senang. Aziriza menggosok –gosok matanya. Cahaya lampu kalimantang menyulitkan dia untuk membuka kelopak mata.

“Amboi,syoknya tidur! Patutlah aku kasi sms tak balas. Ni mesti terlajak Asar ni,”Aziriza yang menyedari kesilapannya cuma tersenyum. Nak kata apa,memang betul pun.Ngantuk tahap maksima,inilah jadinya.Tapi yang paling menyusahkan hatinya,dia telah terlupa janjinya untuk makan malam bersama dengan sahabatnya nan sorang ni. Melihatkan dari air muka Arina yang masam mencuka,Aziriza sudah dapat membayangkan perasaan temannya.Mesti dah lama dia menunggu aku kat kafeteria tu.Macam mana aku nak buat ni?Aziriza cuma memerhati tingkah Arina. Sikit pun Arina tidak menoleh lantas terus melangkah keluar dari bilik yang mereka kongsi bersama. Aziriza mengeluh. Namun dia tahu marah Arina tidak lama.

Mereka masih lagi tidak bertegur sapa tatkala Arina selesai mengerjakan solat Maghrib.Aziriza tahu dia harus memulakan dulu. Dia melipat kain telekung lalu disimpan di dalam almari kayu berwarna hitam putih yang terletak berhampiran katil miliknya.Arina mengemas buku-bukunya yang berselerak di atas meja.
“Ina..sori ya pasal tadi. Aku tertidur tak sedar apa. Aku lupa nak kunci jam,”Aziriza bersuara perlahan.Arina tersenyum.
“It’s ok,”sepatah kata yang keluar dari mulut sahabatnya cukup melegakan Aziriza.
“Kau tak marah kat aku?”
“Kau tau aku macam mana kan. Memang aku ni cepat naik angin,tapi sejuk pun cepat juga. Tapi kau kena buat sesuatu untuk aku la.”
“Apa dia?”
“Teman aku gi makan sekarang,aku dari tengahari tadi tak makan apa tau,”
“Kau tak cakap pun memang aku akan minta kau turun ngan aku. Aku pun lapar gak. Aku nak iron tudung jap,lepas tu kita pergi,ok?”
“Yelah,nak gi kafe pun nak melawa. Ada la yang dia tunggu tu,”Arina mencebik sambil tangannya ligat mengenakan kancing pada tudung.
“Eleh,cakap orang. Awak pun sama jugak!Siap pakai lip balm,berbedak bagai!”Arina ketawa kuat mendengar kata-kata Aziriza.Nak kenakan dia, aku pulak yang terkena!

Bab 9: Pertemuan pertama Arina dan Hazli Fardli

Suasana dewan kuliah 1 hingar-bingar dengan suara para pelajar . Sambil menanti ketibaan pensyarah, mereka berbual sesama sendiri. Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan untuk menyudahkan tugasan atau pun membelek buku pelajaran.Lazimnya kuantiti mereka yang membuang masa lebih ramai. Buat apa nak ‘skema’ sangat kan?

“Yang mana wei,aku tak pernah dengar pun nama tu. Kau menipu aku ye,Sue?”
“Ya Allah,kau tunggu je la. Kau perhati pintu masuk tu,kalau ada minah yang kecik-kecik,comel-comel masuk pastu tersengih kat aku...ha,memang sah dia! Sekarang tugas kau,tengok pintu tu baik-baik,jangan kacau aku. OK,Encik Hazli?”Hazli merengus tanda tidak puas hati.Sue dan Hazli sekali lagi dipertemukan di bumi Sintok,sebelum ini mereka berdua belajar di kolej matrikulasi yang sama sebelum bergelar siswa dan siswi.

Sungguh, dia tidak pernah mendengar nama Arina yang didakwa sekolej dengannya dahulu. Meskipun dia bukan dari aliran sains hayat, sekurang-kurangnya dia mampu mengingat semula nama-nama yang dikatakan oleh Sue yang turut sama mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di sini. Tapi bila nama Arina......satu wajah pun tak mampu dia bayangkan.

Penantian selama lebih setengah jam tiba ke hujungnya bila sepasang mata miliknya menangkap sesusuk tubuh yang sedang tersenyum sambil tersengih manakala Sue menyiku lengannya. Gadis itu agak terkejut bila terpandang wajahnya namun dia cuba berlagak selamba. Dia melabuhkan punggungnya seraya meletakkan fail di atas meja.

Arina mengerling pada kedua-dua sahabatnya yang sedang berbisik sesama mereka. Sue menoleh sekilas lalu tersenyum kecil kepadanya. Ah,mengumpat aku la tu! Takpe, pahala diorang aku yang dapat. Eh, tak baik buruk sangka nanti pahala aku pulak yang diorang kebas. Dah la pahala yang sedia ada tu entah banyak mana..tambah lak lagi dosa. Habis, apa yang tinggal untuk aku?

“ Assalammualaikum and good afternoon,” pensyarah subjek Matematik IT yang paling ‘sempoi’ sama ada dari segi beliau berpakaian mahu pun cara penyampaian kuliah. Dr. Sobree meluaskan pandangan ke seluruh dewan. Kehadiran kuliah hari ini agak memuaskan berbanding hari sebelumnya.

“Okay, we will move to chapter 2. I hope all of you don’t mind if i’m using English . And I want you to communicate with me in English,”ayat terakhir Dr Sobree mengundang keluhan pada setiap siswa-siswi termasuklah Arina. Minggu ini dilancarkan English Week,jadi semua pelajar dan pensyarah diwajibkan menggunakan bahasa Inggeris dalam menjalani urusan rasmi. Bukannya kerana masalah tidak mampu berkomunikasi menggunakan bahasa antarabangsa, tapi kalau belajar dalam bahasa ibunda pun pelajar sukar untuk faham biji butir yang disampaikan oleh pensyarah,apatah lagi Bahasa Inggeris! Semua mereka sedia maklum akan stail pengajaran Dr Sobree. Ajar sikit,lepas tu yang lain cari sendiri. Dah la susah nak faham apa point yang cuba disampaikan. Mujur juga kami bekas pelajar matrikulasi mempunyai sedikit asas dalam subjek ini. Meskipun begitu, ada juga topik baru yang tak pernah dipelajari.Hai... makin gelap masa depan subjek Matematik IT aku. Takkan baru sem 1 dah ada ‘talent’ nak ‘repair’ paper?

Seharian kuliah dihabiskan dengan mendengar penerangan yang masuk telinga kanan,keluar telinga kiri. Sepatah haram tak faham! Kebanyakan nya membuat perkara lain atau tugasan yang perlu dihantar selepas kuliah ini. Tak kurang juga yang terlena. Ayat terakhir Dr Sobree melegakan Arina dan Sue .Keluar juga mereka dari kuliah yang membosankan. Mana taknya ,sepanjang kuliah berjalan,satu maklumat pun tak melekat kat kepala otak. Puas mereka cuba untuk menangkap apa yang dituturkan tapi bahasa inggeris nya memang tak boleh nak faham. Hancur!

“Ah,lega aku! Tak larat nak dengar dia cakap,” Arina bersuara sebaik sahaja kaki melangkah keluar dari dewan.
“Fuh,memang. Aku ni memang la tak ‘power’ B.I, tapi at least aku faham gak orang cakap apa. Ini lagi satu mende tak dapat. Camne dia boleh dapat title doktor ni?Heran aku,” Sue menggosok dagu tanda musykil.

“Sekarang nak gi mana?” Hazli menyampuk. La..bila pulak dia ni muncul?
“Apa lagi,balik kolej la. Kita dah habis kuliah,kan Ina?” Arina mengangguk.
“Okay la..jumpa esok,”mereka berpisah mengikut haluan masing-masing. Arina terus melangkah membawa diri.

“Amboi,lajunya jalan cik kak! Tunggulah,” eh..siapa pulak yang tegur aku?Arina menoleh ke belakang. Kelihatan Hazli berlari anak untuk menyaingi langkahnya. Arina terpaku. Dia nak saing dengan aku ke?Alamak,segannya aku.

“Awak kolej mana?” soal Arina sekadar berbasa-basi. Dia agak gementar. Inilah kali pertama dia berhadapan dengan lelaki sepanjang hidupnya di UUM ini.

“Kolej yang dihuni oleh para atlit,” Hazli menjawab. Arina mengangguk kecil tanda mengetahui. Kolej MISC rupanya. Berjiran rupanya aku dengan dia. Kolej Perwaja letaknya bersebelahan dengan Kolej MISC.

“Saya tak pernah nampak pun awak kat matrik dulu?” Hazli mengajukan soalan yang disambut dengan seulas senyuman kecil. Tak pernah nampak aku? Hai..nampak sangat kewujudan aku tak disedari.

“Mungkin saya ni ‘kecik’ sangat kot,sebab tu awak tak pernah nampak saya. Berbeza dengan awak, saya selalu nampak dan banyak cerita yang saya dengar pasal awak. Orang famous la katakan,” Hazli tersentak. Dia kenal aku?

“Saya famous? Wah,tak sangka pulak. Ingatkan artis je yang popular,” Playboy Malaya, siapa tak kenal Hazli Fardli. Kalau dah setiap hari ex-girlfriend kau tu menempel kat aku mengadu pasal kau, dari tak kenal pun boleh kenal. Tak semena-mena aku jadi kaunselor tak bergaji.

Bunyi enjin bas mematikan perbualan dua insan yang baru mengenali. Arina segera beredar, bimbang terlepas bas.Sempat dia mengerling Hazli yang sedang merenungnya.

“I hope we can be friend,” Hazli melambaikan tangannya. Arina mengangkat keningnya sambil mendaki anak tangga. Friend? Don’t you know how much I hate you? Heart-breaker!




BAB 10- Afandi dan Arina

Jam sudah menunjukkan tepat jam 9 malam. Maknanya, sudah hampir sejam dia duduk di hadapan komputer. Matanya pun telah berpinar, tapi latihan makmal masih belum mampu diselesaikan. Subjek Pengaturcaraan Awalan menggunakan Java mencabar mindanya yang masih setahun jagung dalam bidang IT. Sedari tadi Arina gagal mengesan satu-satunya error yang menghalang perjalanan aturcara. Hampir nak pecah kepala memikirkan jalan penyelesaian. Kalau melibatkan logic error, alamat kena tunggu sampai esoklah jawabnya. Mungkin silap dalam mengimplementasi method atau pun objek tidak diisytiharkan.

Teman sebilik masih belum pulang dari diskusi. Tinggal sendirian di bilik, bosan juga. Nak buat apa ye? Detik hati kecilnya. Tak sanggup lagi rasanya nak mengadap komputer. Arina memicit-micit lehernya. Lenguh pula.

Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Telefon bimbit dicapai. Seketika dia tersenyum sendiri. Ragu-ragu dengan tindakan yang bakal dilakukan. Betul ke apa yang aku nak buat ni? Sanggup ke aku tanggung risiko? Ala....berkawan biar seribu,berkasih biar satu. Masalahnya, yang satu pun takde, apa lagi yang beribu. He..he..

“Akum..maaf mengganggu awak. Camne hidup kat sini?” butang SEND ditekan. Arina mula menanti respon. Dia balas tak agaknya? 2 minit kemudian.....

Tit..Tit...isyarat mesej diterima mengundang debar di hati. Dia balas!

“ wslm..tak ganggu pun.siapa awak? Camne awak tau nombor saya?” Arina ketawa kecil. Idea nakal mula berlegar di fikiran.
“ hai...dia yang bagi,takkan tak ingat kot. “
“saya bagi? Setahu saya tak pernah pulak saya bagi nombor kat orang yang saya tak kenal.”
“ saya memain je. Rita yang bagi,katanya awak nak cari member. Awak tak kisah ke saya ber ‘sms’ ngan awak ni?”
“oh,rita ke?saya tak kisah. Awak msg saya boyfriend tak marah ke?”Arina tersenyum. Mulalah tu. Nak tipu ke nak beritahu yang betul? Just be yourself,Arina. Arina yang jujur dan lurus,bisik suara hatinya.
“Awak ni perli saya ke Afandi?Saya masih suci dari perasaan cinta. Lainlah awak,betul tak?”saja nak test mamat ni jujur ke tak.Hehe..
“Dulu ya,tapi putus di pertengahan.Rita tak bagitau ke?Eh..saya tak tau pun nama awak.U can call me Fendi.” Fendi memperkenalkan diri.
“Nama saya Arina. My friends called me Ina.Tak apalah,mungkin bukan jodoh awak agaknya. Saya harap awak bersabar dengan dugaan yang diturunkan ke atas awak. Saya pernah terbaca kalau Tuhan turunkan ujian pada hambanya,itu bermakna dia kasihkan hambanya. Beruntunglah Fendi sebab meskipun kehilangan insan tersayang,kasih Allah tetap bersama awak.” Fendi menatap tiap baris kata yang dihantar Arina kepadanya. Gadis ini pandai berbicara.Dia mula tertarik untuk mengenali Arina lebih lanjut.

“Terima kasih,saya tahu tu.Hmm..agaknya Rin ni penggemar novel kot.Puitis je bahasa. Tak kisah kan saya bahasakan diri awak Rin? Lain dari yang lain,” bulat mata Arina membaca panggilan namanya yang tak pernah dibuat orang. Cair aku woi! Aaaaa!!! Dia menjerit kecil.Kenapa la kau kenalkan aku dengan mamat romantis Rita oooiii!! Bahaya kalau aku terjebak dalam ‘jerangkap kasih’ dia ni.Sabar Arina,sabar.

“Errr..belum pernah orang panggil saya dengan nama tu.Kalau awak suka,saya ikut je. Fendi,sampai sini dulu, ya. Saya nak sambung kerja saya tadi. Nice knowing you.”

“ok,saya harap persahabatan kita ni akan kekal.assalamualaikum,”salam Fendi Arina jawab di dalam hati yang berkocak. Afandi...Fendi..hehe..Arina memeluk bantalnya erat.
“Woi,ni apahal sengih sorang-sorang ni?”
“Entahnya,orang panggil dia buat bodoh je,” bila masa pulak 2 minah ni sampai? Tak sedar langsung aku.Jauhnya aku berangan! Astaghfirullah....
“Hehe...maaf ye. Aku betul-betul tak perasan korang,” panas mukanya menahan malu. Kalau la mereka ni tahu apa yang telah dilakukannya tadi...

Intan,sahabat yang dikenali semasa minggu terakhir orientasi. Seorang yang banyak cakap, tak pernah serius dengan apa pun.Kadang-kadang bengang juga kita dibuatnya,masa tengah serius dibantainya buat lawak! Penghabisannya,satu kerja pun tak jadi. Memandangkan ini tugasan berkumpulan,terpaksalah dia mengumpulkan semua ahli yang rata-rata tinggal di kolej yang sama. Biar semua merasa buat kerja.

“Mana Eja?Dia yang pegi panggil orang,dia pulak yang hilang?” Arina bertanya apabila ketiadaan Eja disedari.
“Tengah bergayut ngan Fariz,sat lagi dia mai,” Sue menjawab. Dia meletakkan beg bajunya di bawah katil Eja. Disebabkan dia seorang sahaja yang menetap di kolej laluan A,terpaksalah dia menginap di bilik Arina dan Aziriza buat sementara untuk menghadiri perbincangan.Biarpun terpaksa berjalan agak jauh, dia perlu membuktikan yang dia komited terhadap tugasan ini meskipun rakan-rakannya tidak kisah jika dia tak dapat hadir.
“Fariz call Eja?”
“La,kau tak tau ke diorang kamcing sekarang ni?Mana-mana pergi berdua.Apa orang kata cam....apa ke nama menatang tu~”Intan cuba mengingati sesuatu. Dahinya berkerut.
“Macam belangkas!”Sue dan Arina menjawab serentak.
“Haa..itulah yang aku nak kata tadi,tak terkeluar pulak,”Intan cuba menutup malu. Eja dengan Fariz?Sejak bila budak berdua ni rapat?
“Eh,Intan! Fariz ngan Eja tu ada apa-apa ke?Kau kan banyak kuliah sama dengan diorang?”Sue menyoal penuh minat. Bagus Sue,tak sempat aku tanya,dia dah tanya dulu.
Intan memandang kiri dan kanan. Kemudian dia bangkit untuk menutup pintu bilik yang ternganga luas. Duduk semula untuk memulakan cerita. Tu dia,dah start dah nak buat kerja kepoh.
“Memang aku rapat dengan Fariz,maklumlah satu negeri. Nak kata Fariz ada hati,mungkin juga sebab apa-apa hal mesti ajak Eja temankan. Eja pun macam ada respon je. Kalau korang nak tau,Eja panggil dia Iman,bukan Fariz macam kita tau. Apa yang aku boleh simpulkan, mereka memang bersahabat baik Macam Arina ngan Hazli,” Intan menolak Arina yang terpinga-pinga. Apasal aku pulak yang terlibat?Ada ke mamat tu? Kalau Fendi tak apa la jugak!Gatal juga aku ye.
“Korang jangan babitkan aku pulak,kan kita tengah cerita pasal Eja”
“Assalammualaikum!” pintu diketuk bertalu-talu. Eja dah balik! Arina membuka pintu. Aziriza melangkah masuk sambil merenung wajah teman-temannya. Seorang demi seorang yang dipandangnya melemparkan senyum penuh makna. Ini mesti baru habis mengata aku ni. Patutlah rasa tak sedap hati je nak masuk tadi.
“Iman apa khabar?”Arina bertanya selamba. Berubah wajah Aziriza mendengar nama yang terpacul keluar dari bibir temannya. Sue dengan Intan sudah bersiap sedia di muka pintu. Pantas dia menoleh pada Intan yang memegang kejap lengan Sue.
“Intan! Jaga kau!” Intan menghayun langkah seribu. Tak semena-mena Sue pun ikut sama berlari kerana lengannya ditarik oleh Intan. Arina cuma ketawa sambil menggeleng kepala melihat telatah rakannya. Nampak gayanya,kena stay up la malam ni. Biar la bebudak tu habis buat ‘larian amal’dulu.Sementara itu,aku nak main game dulu!

No comments: