Monday, February 20, 2006

INIKAH ERTINYA CINTA (1-7)

Bermula sebuah kisah...
Bab 1
Aduh..malasnya nak pergi kerja hari ni.Kalau aku tau camni punya teruk ,awal-awal lagi aku tak mintak kerja kat Mc D.Ish..tak bersyukur langsung aku ni.Orang lain sibuk cari kerja,aku kecoh nak berhenti pulak.Barulah aku tahu betapa payahnya nak cari sesen duit daripada titik peluh kita sendiri.

Arina pantas mengenakan kemeja berjalur hijau di badan.Sedang dia sibuk mengenakan butang bajunya,suara lantang memanggilnya dari tingkat bawah.Apahal pulak tu?Excited semacam je.Confuse aku.Pintu bilik diketuk bertalu-talu.Dia memulas tombol pintu.

“ Kenapa mak?” soalnya dengan perasaan ingin tahu.
“ Ni,surat dari matrikulasi.Keputusan periksa agaknya,” emak menjelaskan.Arina terkedu.What?Result? Jantungnya berdegup kencang.Sampul surat bertukar tangan.Emak membiarkan anak sulungnya sendirian seakan mengerti apa yang bergelodak di hatinya..Terketar-ketar jarinya mengoyak sampul tersebut.Kertas putih berlipat dikeluarkan perlahan-lahan..

“ PURATA NILAI GRED SEMESTER: 2.5
PURATA NILAI GRED KESELURUHAN:2.78”

Pandangan seakan berbalam buat seketika.Kecewa tak terkata. Terasa hangat air mata membasahi pipi.Terbayang di ruang mata wajah emak dan abah yang berharap akan kejayaannya.Tapi apa yang telah diberikan kepada emak dan abah yang bersusah-payah selama ini?Lama dia berteleku di bilik.Tak sampai hati untuk memberitahu keputusan yang bakal melakar riak kecewa di hati emak dan abah.

“Ha..macam mana ‘result’?” abah mengajukan pertanyaan sebaik sahaja terpandang kelibatnya menuruni tangga.Arina membungkam seribu bahasa.Tak tahu apa yang perlu dituturkan.

“ Hmm…diam je.Teruklah tu,” emak pula bersuara.
“ Entahlah..tak bagus macam dulu. ‘Result’ turun,” Arina membalas. Slip keputusan dihulur pada abah yang sedang membaca suratkhabar.

“ Tak boleh juga nak capai 3.00.Orang lain boleh,” abah memberi pendapat.
Tu diorang,Along bukan diorang.Orang dah cuba sehabis baik,tapi takde rezeki.Kata-kata itu cuma bergema dalam hati. Tidak sesekali dia akan mengutarakannya secara terang-terangan. Tidak mahu menghangatkan bara di lubuk hati bapanya.

“Boleh ke masuk U ni? Sekarang dah sibuk pasal meritrokrasi.Kalau tak dapat ,nak buat apa?” abah menyuarakan ketidak puasan hatinya. Mengundang serba salah di hati gadis yang berusia 20 tahun ini.
“Ala,budak matriks dah sure masuk punya,cuma tak pasti course apa,”dia menjelaskan.Sekadar menyedapkan hati abah dan juga hati sendiri.

“Nak pergi sekarang ke?” Arina mengangguk.Dia menyarung stoking hitam dan kasut Jazz lalu melangkah ke kereta.Seketika kemudian ,deruman enjin membelah jalan raya,menemani hatinya yang dihurung kekesalan.



“Hai,Arina!Camne result?” Abang Muazam terus melemparkan ‘killer question’ kepada Arina.Aik,camne dia tahu aku dapat result hari ni?Mesti Maz dah dapat.Berapalah agaknya Maz dapat?
“Apasal monyok je?” Abang Muazam merenungku.
“Biasalah bang,kantoi….” Dengan ‘selamba badaknya’ Arina menjawab.Setelah meletakkan beg di rak,dia menuju ke bilik pengurus untuk ‘punch-in’.
“Woi,Ina!Amacam result kau?” tiba-tiba Maz menepuk bahunya.Arina menoleh.Happy je member aku sorang ni?Mesti power.
“Cukup makan je,Maz.Tak sampai 3.00 pun,”
“Samalah kita.Biologi mencacatkan result la..”
“Betul.agaknya balasan la tu sebab selalu ponteng dulu,”Arina ketawa kecil.Teringat zaman ‘keseronokan’ semasa di pusat matrikulasi.Apa khabar roommate aku ? Result diorang mesti best.Aku yang ‘haprak’.Ah,benda dah jadi,nak buat camne.Terima je la dengan redha.Boleh dikatakan sepanjang hari itu kami diajukan soalan yang sama sampaikan rasa nak rekod je suara dalam tape recorder. Boleh ‘rewind and play’.Kak Aida,penolong pengurus tempat mereka bekerja memberi perangsang padanya.Sekurang-kurangnya tidaklah dia dibelenggu rasa sedih sepanjang hari itu.

Menjelang malam , telefon rumah tak putus-putus berdering.Apa lagi, tanya pasal result la tu!Barulah terdengar khabar berita sahabat-sahabat yang dah 2 bulan lebih tak jumpa.Macam-macam cerita pelik keluar.Hampeh betul!

Arina mengambil album yang memuatkan gambar-gambar semasa di kolej matrikulasi.Matanya terlekat pada satu wajah yang pernah mencuri hati wanitanya satu masa dulu.Entah apa khabarnya sekarang?Cuma jauh di sudut hati,aku harap dia berjaya mendapat keputusan yang jauh lebih baik daripada aku….

BAB 2

Genap 3 bulan aku bekerja.selama itulah aku banyak menimba pengalaman.Kalau dulu nampak orang lelaki macam nampak hantu,cakap pun tersasul,sekarang maintain beb!
“ Ina pilih course apa masa isi borang UPU?” Abang Shamsul menyoal.Waktu itu kami berdua dalam lunch break.Aiseh,segan nak habaq.Pilih course sikit punya power,tak padan langsung ngan keputusan yang cikai tu.
“Malu la nak cakap.tak yah tau la,”
“Apa nak dimalukan,”Arina mengeluh.
“Biasa-biasa je.Sekarang yang penting,saya dapat masuk U,tak kisahlah course apa,”ujarnya sambil mengunyah kentang goreng yang masih bersisa.Abang Shamsul tersenyum.
“Tak mintak UPM?”
“Ish..mana boleh tak mintak,wajib tu.Kalau dapat senang,dekat je.Eh,tapi nanti mesti jumpa abang kan?Tak bestlah,tak nak la UPM.Apa kelas!!”
“Amboi,berlagak!Takpe,nanti kalau Ina dapat UPM,abang ragging Ina cukup-cukup!” ketawa melihat Abang Shamsul yang naik angin.Pantang aku kutuk UPM,mulalah dia.
“Woi,sape nak gi party kat KL!!” suara Kak Ogy mengganggu seketika perbualan kami.Party mende lak ni?
“Party apa Gee? Best sangat ke sampai terpekik-pekik?” soal Abang Shamsul..
“Mestilah best,kalau aku yang tukang bawa cerita,takde yang tak best melainkan best saja hendaknya,” jawab Kak Ogy. Kak Ogy ni brutal abih.Pakai lak seksi-seksi,maksud aku pakai t-shirt ‘kecik’ yang dok melekap betul-betul kat badan tu.Takdelah sampai tahap pakai skirt pendek.Jeans je memanjang minah tu.Kalau sehari tak melancarkan ‘sinar laser’ mulut dia memang tak senang duduk.Aku yang tak berdosa ni la selalu jadi mangsa.
“Arina,tak nak join ke? Ala,kau ni baik bebenor,sesekali jadi jahat apa salahnya,”Kak Ogy memujuk.Aku bab-bab party ni,tak berkenan sangat.
“Bilanya Kak Ogy?”
“ Minggu depan,hari Ahad.Jomlah,” Hari Ahad?Tak silap aku..memang takkan salah..tarikh keramat hari pendaftaran ke universiti tu.Aku dengar status tawaran akan diumumkan dalam minggu terdekat ni.Entah-entah esok!Penentuan antara hidup dan mati.He..he..seriau je bunyinya.
“Apa yang ‘speselnya’ gi party tu?”Abang Shamsul bertanya lagi.Hai,berminat nampak.Muka cam baik,alim..tapi orang sekarang tak boleh dinilai dari segi paras rupa.bak kata ‘omputih’,don’t judge a book by it’s cover.
“Dapat la duit poket,t-shirt dan yang paling penting sekali enjoy!”
“Ko memang,takde keje lain enjoy je.Cubalah kurangkan sikit aktiviti macam tu.Kita ni tak tau bila ajal menjemput,” tenang Abang Shamsul menyusun kata.Merah padam muka Kak Ogy.Tapi Kak Ogy..takkan mudah melatah kalau orang melemparkan apa-apa komen terhadap dirinya.Bagi dia,tak salah orang nak menegur,tapi bukan memaksanya untuk mengikut apa saja yang dikatakan orang.
“Oklah,Shamsul.Terima kasih sebab nasihat aku,nasiblah ko ni handsome,kalau tak dah lama dah..” Abang Shamsul ketawa kecil.Arina ikut ketawa melihat gelagat mereka berdua.

“Haa..Ogy! Apa buat kat belakang ni?Mentang-mentang la customer tak ramai,main tinggal je ‘kitchen’ tu,” tu dia,assistant manager dah marah.
“Ala,Kak Ha..saya tengah menyampaikan amanah boss ni.Pasal party tu.Haa..Kak Ha rasa ada saiz tak t-shirt untuk Arina ni?”
Mulalah Kak Ogy tu.Adalah dia nak sakat aku tu.
“Arina?Entah,kecik sangat.Saiz S la,”
“Saya rasa bukan,ni saiz baju kanak-kanak ni.Stok Kiki Lala,Kiko,kan Kak Ha?” terburai tawa mereka berdua.Tengok kan aku dah kata,mesti kena punya.
“Ish.korang ni.Tak baik memperkecilkan orang,”balas abang Shamsul.
“Alamak,mamat hensem backing…ni yang jealous ni!Aku kau tak pernah pun backing,ye?”
“Engkau tu buat apa,lainlah Arina.Baik je..rajin kerja,kan?” Abang Shamsul menoleh ke arah Arina yang menyedut minuman yang masih berbaki.Arina senyum.Bangga mamat ‘ensem’ backing.Berasaplah Kak Ogy.
“Yelah..Aku je jahat.Takpe,aku ada Kak Ha,kan?”
“Eh,sapa nak geng dia,tak kuasa I!” Arina dan Abang Shamsul pakat gelakkan Kak Ogy.Ha..ha..akhirnya aku menang jugak setelah kalah berkali-kali di tangan Kak Ogy.Jangan marah…

BAB 3
Apa?UUM?Universiti Utara Malaysia? Sudah jatuh ditimpa tangga,lepas tu tergelincir pulak sebab terpijak kulit pisang,itulah ibarat nasib aku sekarang.Tak terlintas langsung dalam fikiran aku yang aku bakal menjadi siswi UUM.Sia-sia aku belajar aliran sains tulen dari tingkatan 4 sampailah matrikulasi.Akhirnya dapat kursus yang langsung tak berkaitan dengan apa yang aku pernah belajar dulu.Goodbye Kimia,Ta-ta Fizik,Selamat jalan Biologi...kita terpaksa berpisah buat selamanya.
Abah yang beritahu aku melalui telefon.Abah aku ni advance,aku tak sempat pun call infoline UPU,dia dah tau dulu.Zaman IT ni penerimaan maklumat semuanya berjalan dengan pantas.Bila aku memaklumkan yang aku tak mintak pun UUM, terus abah mengandaikan yang aku ni mangsa ‘lelong’ IPTA.Bisa sungguh kata-kata abah!Tapi,itulah hakikat yang terpaksa aku hadapi.Mungkin ditakdirkan nasib aku lebih baik di Sintok.Aku ditawarkan kursus multimedia.Rasa nak tergelak pulak,aku ni dahlah fobia komputer,dulu masa kat matriks pun aku mintak ditukarkan aliran daripada sains fizikal ke sains hayat.Tu lah,Allah dah tunjukkan jalan dari dulu lagi,tapi aku membatasi takdir.Sekarang inilah lorong kehidupan yang perlu aku susuri.
Semalam Arina meletakkan jawatan secara rasmi sebagai kitchen crew McDonald cawangan Serdang.Sedih,terharu,gembira...semua bercampur aduk.Sedih sebab kena tinggalkan krew-krew yang baik hati....terharu sebab dianugerahkan ‘The Best Kitchen Crew of The Year’..nasib tak bersembur air yang aku minum masa meeting crew,kalau tak jatuh saham aku.Dahlah aku duduk depan Abang Shamsul.Pelik aku,buat filtering sampai banjir kitchen dengan minyak pun boleh diiktiraf jadi kitchen crew terbaik?Semua mendoakan pemergian aku..Kak Ha,Kak Aida..thanks for everything! You two are the best assistant manager I’ve ever met.Gembira? Kenapa ye?Sebab ada juga member kamcing aku yang senasib dengan aku tercampak kat utara.Ingatkan aku sorang je.Sama kursus pulak tu.Habislah UUM,silaplah diorang ambik kitorang ni.Huru-hara akan tercetus dengan kehadiran ‘extreme charming monsters’ yang sentiasa memburu mangsa.Size doesn’t matter....He..He..


Bermula satu perjuangan
Bab 4

La..ni ke kolej aku?Uzurnya..macam kat dalam hutan rimba je. Ah,banyak lak songel,kira bagus la ada tempat tinggal,orang lain ada yang terpaksa tidur kat kaki lima.Apa nama kolej aku tadi..haa..Perwaja.
“Diminta para pelajar sila ambil tempat masing-masing.Sesi pendaftaran akan dijalankan sebentar lagi.Siapa yang tak ambil angka giliran sila jumpa pihak urusetia kat depan ni,”Arina mengambil tempat duduk di bawah khemah yang disediakan.Sementara orang masih sibuk dengan urusan masing-masing,dia memeriksa segala dokumen yang diperlukan ,takut ada yang tertinggal. Kadang-kadang masalah kecil pun akan turut menjejaskan sesuatu perkara. Alhamdulillah,segala dokumen yang diminta ada dalam simpanan.Dia memerhati keadaan sekeliling.Mak aih..ramainya manusia!Wajah masing-masing mempamerkan semangat baru bergelar siswa-siswi.
Setelah semua pelajar selesai mendaftarkan diri,para pelajar baru diarahkan berkumpul di parking lot.Cuaca pada masa itu panas terik,matahari tengah tegak di atas kepala.Keringat mula membasahi tubuh.Awal-awal lagi dah kena jemur,lepas ni ntah apa pulak senior ni nak buat.dia dah lali dengan semua ni.Maklumlah dari tingkatan satu lagi berjauhan dari keluarga..mendapat pendidikan menengah di salah sebuah asrama di Selangor.Memang pada mulanya agak sukar untuk dirinya menyesuaikan diri.Dulu,dalam senyap-senyap dia selalu menangis ketika mandi.Tak ada seorang pun tahu. Pernah merayu pada abah agar membawa dia keluar dari asrama,tetapi dia enggan meskipun puas menangis di hadapannya.Seolah-olah air mata anak perempuan tunggalnya ini langsung tak berharga.Pada masa itu memang dia sakit hati.Tapi siapa menjangka yang dia berjaya menamatkan pendidikan sehingga tingkatan lima.Kalau nak diikutkan,tak terkira kenangan sepanjang bergelar pelajar.Pengalaman dirotan oleh penguasa asrama,ditangkap sebab ponteng prep,kantoi sebab sneak out ( keluar tanpa kebenaran) sesungguhnya mematangkan dirinya hari demi hari.
“Kita akan berehat sehingga pukul 2.00 petang.Tepat pukul 12.30,diminta semua ibu bapa atau penjaga hadir di Dewan Muazam Shah untuk sesi taklimat.Kenderaan akan disediakan.Kami memohon kerjasama daripada pihak tuan-tuan dan puan-puan sekalian.Terima kasih,” Ni mesti presiden pelajar kolej ni,asyik dia je yang bercakap dari tadi.Mmm...not bad,tapi bukan taste aku lelaki berkulit cerah ni. Hai Arina , dalam panas terik pun sempat lagi judge orang ye? Well, that’s me!
Sebelum pulang, mak dan abah sempat menitipkan kata semangat buatnya untuk bertahan di bumi Sintok ini.Sedaya upaya dia menahan empangan air mata. Aku tak mahu mereka melihat aku menangis. Setelah mereka hilang dari pandangan mata, barulah dibiarkan manik jernih mengalir di pipi. Ah, pantas kuseka air mata, anak abah akan cekalkan hati meredah segala cabaran yang terhampar demi menggenggam segulung ijazah.

BAB 5

Asyik-asyik taklimat, dari matahari terbit sampailah matahari terbenam ,dah naik jemu mengadap Dewan MAS ni. Bosanlah! Arina membentak di dalam hati. Kepenatan yang dialami membuatkan dia mengomel sendirian.Arina menoleh pada kenalan barunya. Dah selamat melayar bahtera rupanya , patutlah dari tadi senyap aje. Majoriti pelajar junior yang lain turut terkulai , tak mampu menahan kantuk yang makin menggila. Ditambah pula dengan alat penghawa dingin yang menyamankan..memang sesuai!
Melihatkan panorama begitu, ingin juga Arina menjejak langkah temannya , tapi jauh di sudut hati terbit pula rasa malu. Meskipun kelopak matanya bagai ditarik-tarik , dia cuba untuk melawan kehendak hati.
Sedang dia cuba memfokus kepada penerangan penceramah jemputan, telinganya menangkap bunyi halus kekekan ketawa. Pantas dia melarikan pandangannya ke sisi. Sekumpulan pelajar senior merangkap AJK minggu suaikenal sedang seronok menjalankan aktiviti mereka; merakam aksi pelajar junior yang lena diulit mimpi menggunakan kamera video. Fuh , syukur aku tak tertidur! Diorang ni dah takde kerja lain ke...ingat bagus sangat ke mengaibkan orang? Perlahan Arina mencuit bahu temannya. Terpisat-pisat dia bangun. Merah padam wajah temannya tatkala pelajar senior tersebut mengetawakan dirinya. Arina turut merasa bahangnya , tapi apa yang mampu dilakukannya selain menyumpah seranah di dalam hati?
“ Releks la, Mia. Diorang tu nama je dah tua,tapi perangai ngalahkan budak 1 tahun. Lagipun hari ni last diorang nak buli kita. Sabar jelah,” Mia senyum. Dia bukannya marah,cuma malu. Entah bagaimana rupanya sewaktu tertidur tadi? Dibuatnya ada air liur basi meleleh....ish,minta jauhlah!
“Ramai ke yang jadi mangsa ‘paparazzi’ tak bertauliah tadi, Ina?”
“Mmm..ramai gak. Ada tu dah sampai senget kepala, risau aku,” Arina ketawa megenangkan gelagat rakan-rakannya. Mia cuba berkata sesuatu, namun dia cuma mengeluh. Arina seakan dapat mengagak apa yang berlegar di fikiran Mia.
“ Kau jangan risaulah. Abang Fakhrul tak termasuk dalam golongan tadi. So, saham ko stabil lagi,” Mia mencubit lengan Arina. Arina sempat menepis. Mereka berdua tertawa sambil menyusuri rumput yang tumbuh meliar. Suasana malam yang pekat menyukarkan pergerakan. Sudah ramai pelajar junior yang cedera akibat terjatuh tersadung batu. Bukan tidak disediakan jalan berturap , cuma untuk minggu orientasi mereka diarahkan melalui jalan ini. Kononnya pada pendapat mereka , lebih adventurous. Yelah tu...nak ragging tu cakap je la. Main kiasan pula. Apa pun esok bakal merubah segalanya

BAB 6

Alamak, silap turun la! Apa aku nak buat ni? Arina menghayunkan langkah. Sungguh dia tidak menyangka malang akan menimpa.Yang aku ikut diorang turun tu buat apa? Pakcik bas ni pun , berhentilah kat dewan kuliah dulu, aku kan baru pertama kali naik bas. Tak pasal-pasal kena menapak dari pusat konvensyen ke dewan kuliah.
Arina betul-betul panik. Kuliah akan bermula sebentar saja lagi. Cool, Ina,cool. Ya Allah , mintak-mintak aku sampai sebelum pensyarah. Apa susah,tanyalah orang. Arina mundar-mandir sambil matanya melilau mencari bangunan dewan kuliah gugusan 2. Semasa minggu orientasi mereka telah dibawa mengelilingi kawasan kampus. Malah ada beberapa aktiviti dijalankan di dalam dewan kuliah. Tapi dia langsung tidak mengingati posisi bangunan dewan kuliah. Semua bangunan nampak sama sahaja pada pandangannya. Mujurlah ada insan penyelamat yang menunjukkan arah, kalau tidak mahu saja dia menangis di situ.
Arina menghela nafas lega sewaktu matanya melihat papan tanda bertulis dewan kuliah gugusan 2.Now, i must find dkg 2/1. Mana ye? Mesti kat depan sekali ni , Arina menduga. Hii ,ramainya orang. Segan lak nak masuk. Eh betul ke ni dewan kuliahnya? Ke yang sebelah sana? Arina tercegat di depan pintu. Telefon bimbitnya berdering.
“Hello”
“ Woi, Ina! Yang kau tak masuk lagi kenapa? Aku dah reserve tempat untuk kau ni,”
“ Wei,Sue! Ko kat mana?”
“ Dalam dewan kuliah la.Aku boleh nampak kau kat luar. Cepatlah, aku kat ruang sebelah kiri , baris ke 3 tau!”
“OK!” talian diputuskan. Dia segera masuk. Senyuman dilemparkan tatkala ternampak Sue melambaikan tangannya. Mereka saling berpelukan , kegembiraan bertemu teman lama sukar diungkap.
“ Lama tak jumpa, tak sangka sama U,”
“Ha’ah..aku ingat aku je yang malang kat sini ,”
“ Ramai lagi. Kau duduk kolej mana , Ina?”
“ Perwaja. Kau TNB kan?” Sue mengangguk. Tangannya menyeluk ke dalam beg. Sekeping kertas cetakan komputer dikeluarkan.
“Eh,Ina. Tengok ‘schedule’ kau.Aku nak check kot ada yang sama,” Arina membuka dompetnya. Saja dia menyimpan slip jadual di situ. Supaya tidak hilang , lagipun dia bimbang akan kecuaiannya.
“Kita sama la.kira OK la tu. Adalah jugak member,” Sue mengembalikan semula slip jadual milik Arina. Arina senyum suka , sekurang-kurangnya tidaklah dia kesunyian di kampus ini. Perhatian ditumpukan ke hadapan , dewan yang pada awalnya tak terkawal mula beransur diam dengan kehadiran pensyarah. Subjek pertama pembuka tirai begelar mahasiswa ; pengantar sains sosial. Satu episod baru kini bermula.....

BAB 7
“ Assalammualaikum..”
“ waalaikumussalam, masuklah pintu tak kunci!” satu suara memberi arahan. Tombol pintu dipulas perlahan-lahan. Aik , suara ada,orangnya mana? Takkan aku silap dengar? Setahu aku , sistem pendengaran aku sihat walafiat. Sebabnya memang aku ada dengar suara tadi dan ini bermakna berlaku getaran pada gegendang telinga yang akan menghantar impuls ke otak lantas ditakrifkan sebagai SUARA.
“ Woi , kepala je ke yang kau bawak? Badan kau mana? Tinggal kat bilik ke?” Argh! Terkejut punya pasal , kepala Arina terhantuk pada daun pintu. Menyorok kat locker rupanya minah ni. Dah lah muka bertempek dengan bedak sejuk , hantu pun cabut lari, tak ngaku member.
“ Udah-udah le menjenguk tu. Masuk la. Baru sergah sikit , dah terkejut. Akulah ni,bukannya hantu,” Arina tersengih-sengih mengenangkan aksinya tadi. Nasib tak ‘bertelur’ dahi.
“ Mana roommate kau?” Arina bertanya seraya melabuhkan punggungnya di atas katil kepunyaan Rita,teman sebilik Mia. Bersepah-sepah majalah hiburan di setiap penjuru katil , terhampar di sana sini. Arina mengambil salah satu yang menarik perhatiannya. Remaja edisi baru ni , apa lagi dengan pantas Arina membelek ruangan kegemarannya ; HOROSKOP. Biarpun ia agak superstitous, namun baginya dengan mempercayai ramalan tersebut memberi suatu harapan dan impian yang tak mustahil digapai di alam realiti ini. Dia percaya tak bermaksud menolak ketentuan Ilahi , sekadar panduan untuk dia melalui hari-hari yang setiap satunya mencorakkan warna yang berlainan.
“ Ada discussion kat PKP. Kau tau je la si Rita tu. Busy memanjang , sama le macam kau. Ingatkan dah lupa bilik aku ni,”
“ Mana boleh lupa. Kan aku ni pengunjung tetap bilik ni. Camne study kau Mia ? OK tak?” Mia menyisir rambutnya yang separas bahu.
“Biasa je. Assignment ada la sikit,” jawab Mia. Arina meletakkan kepalanya di atas bantal. Satu keluhan terlepas dari bibirnya. Mia merenung hairan sahabatnya nan satu itu.
“ Apasal ni , Ina? Ada problem ke ?”
“Memang ada. Besar lak tu. Sape pun takleh tolong,”
“ Ish..serius je bunyinya. Masalah apa yang besaq sangat tu? Habaq mai sini , kot aku buleh tulung,”start dah anak mami celup ni. Arina bangkit dari pembaringan. Dia membuntangkan matanya sambil menghampiri Mia. Mia gugup lantas berundur ke belakang. Aku tersalah cakap ke, Mia berbisik di dalam hati. Mukanya dirapatkan , Mia mendengar bunyi nafas mendesah.
“ Apa ni Ina ? Ko dah gila ke?!” kakinya menggeletar. Tubuhnya bagai melekat ke pintu almari. Tiada ruang baginya untuk melepaskan diri. Kenapa kau jadi macam ni, Ina?
“ Ha’ah...memang aku dah gila! Gila pasal teramat boring. Kau suggest la apa patut aku buat,” Mia mengurut dada tanda kelegaan. Budak ni suspen je la! Gaya macam nak meragut kewanitaan aku. Arina ketawa mengekek melihat ekspresi wajah temannya itu.
“ Wei , pucat lesi muka hang ! Awat , hang takut aku ‘anu’kan kau ke? Aku ni masih waraslah. Tak ada selera aku insan sesama jenis ni.” Mia mencebik.
“ Kalau aku boleh ‘flashback’ muka kau tu, kau akan tau camne hodohnya. Ngalahkan perogol bersiri.”
“ Dah la tu. Berbalik pada problem aku tadi. Kau takde apa-apa idea?”
“ Senang je. Gi lah cari balak. Nescaya tak boring,hari-hari bahagia,”
“Tak bernas langsung idea kau tu. Kau ingat cari ‘balak’ macam beli barang kat kedai ke, rembat je mana suka. Lainlah kau...tak payah susah-susah nak ‘usha’ terus Abang Fakhrul masuk line,” Arina berkata selamba. Siapa tak kenal Mia Erika, junior paling top kat kolej ni. Cantik orangnya , low-profile,bertudung litup di kepala . Kalaulah dia tak terbaca satu artikel di akhbar yang memaparkan wajah Datuk Shahbudin,ayah Mia,sedikit pun dia tak akan menyangka bahawa Mia anak orang berada. Agaknya itulah yang memikat hati abang Fakhrul yang menurut pelajar senior antara lelaki yang paling sukar nak dekat dengan spesies lemah-lembut ni. Tidak seperti pasangan lain , mereka jarang keluar berdua. Bila ku ajukan soalan tersebut pada Mia, dia memberitahu yang Abang Fakhrul tidak mahu hubungan mereka jadi bualan orang,takut mengundang fitnah. Hanya telefon bimbit menghubungkan 2 hati yang diulit rasa kasih dan sayang.
“ Assalammualaikum!!”
“Waalaikumussalam,” serentak salam dijawab.
“ Hai..eh,Arina pun ada? Lama tak naik bilik,”isu yang sama diutarakan lagi.
“Ala,Rita. Baru seminggu, sekurang-kurangnya kau tenanglah sikit kan tanpa kehadiran aku,”
“ Tu yang aku tanya ni. Nampaknya,dah tak ada lagilah ketenangan untuk aku,kan?” patung ‘Hello Kitty’ melayang ke arah Rita namun dia sempat mengelak.
“ Hai,Rita. Kawan kita yang sorang ni tengah boring tahap maksima. Kau tolonglah carikan penawar untuk dia ni,” Mia mencelah. Rita menyelit di sisi Arina setelah menukar pakaian tidur. Tangannya menggapai telefon bimbit NOKIA 3310 yang letaknya di sudut meja.
“Kau nak kenal dengan member aku tak? Kebetulan dia tengah nak cari member baru. Yelah,saja menambah kenalan. Untung-untung sangkut. Dia tu budak baik tau. Baru je clash ngan awek dia,budak sekolah aku. Try lah Ina. Nah,ni nombor dia,” amboi,baik punya promote, kalah iklan kat televisyen. Dah jadi ejen match maker pulak member aku ni. Ingat aku ni desperate sangat ke nak ber ‘boyfriend’?
“ Isykk..mengarutlah kau. Ni kerja tak masuk dek akal ni. Nanti dia ingat aku ni perempuan apa pulak,”
“La,takde mendenya. Member je,bukan aku suruh kahwin. Cubalah buka sikit minda tu. Pandang dari sudut positif. Kita kat ‘U’ ni kena survive sendiri,bukan macam kat sekolah dulu,semua cikgu suap. Kalau kita ramai kenalan,kita boleh berbincang,tukar soalan,pinjam buku,kan jimat? Sampai bila kau nak takut dengan lelaki? Diorang pun makhluk Allah jugak,” Arina membisu.
“Sebenarnya..aku malu,Rita. Aku tak cantik macam orang lain,rendah pulak tu. Banyak sangat kekurangan yang menghalang aku______”
“ Janganlah cakap macam tu. Semua insan dijadikan ada keistimewaannya sendiri. Mungkin kau tak nampaknya sekarang , mungkin benda yang kau anggap satu kekurangan itu akan jadi kelebihan untuk kau satu hari nanti.Percayalah,” Rita menggenggam tangan sahabatnya yang terletak di ribaan.

Arina menguntum senyum, cuba meriangkan hati teman yang prihatin terhadap dirinya. Terima kasih teman , bicaramu seakan cahaya yang membantu aku menyusuri lorong hidupku yang diselubungi kegelapan. Tapi, kau tak mengerti bahawa sekeping hati ini pernah terguris. Biarpun luka lama telah pulih, namun parutnya masih ada untuk aku kenang. Parut ini akan sentiasa mengingatkan aku akan tahap diriku.

No comments: