Saturday, February 27, 2010

Perginya kerana kebuasan manusia

Siapa yang tidak terkejut dengan berita mengenai seorang anak kecil yang meninggal dunia akibat penderaan berterusan yang dialaminya. Lebih malang lagi apabila ia dilakukan oleh seseorang yang sepatutnya menjaga dan mendidik, bukan melampiaskan rasa marah dan baran. Makhluk Allah, lelaki dan punya kekuatan dan akal fikiran yang lebih daripada wanita kini berubah menjadi binatang buas yang laparkan mangsa. Hunting for prey. Kemudian dilaporkan bahawa ibunya pula bersekedudukan dengan si pendera tadi. Apa yang sedang berlaku dalam institusi kekeluargaan sekarang?

Syafia Humairah, 3 tahun bukanlah mangsa pertama penderaan. Sebelum ni pun ada kes yang sama juga. Cuma akhir-akhir ini banyak sungguh cerita berkenaan nasib anak-anak yang mati di tangan ibu bapa sendiri. Anak luar nikah atau bahasa kasarnya ‘anak haram’apatah lagi, bersepah-sepah di tempat pembuangan sampah dan mangkuk tandas. Nyawa anak-anak ini tiada nilainya di mata mereka.

Biarpun tidak punya cahaya mata sendiri, tapi melihat anak-anak kecil yang comel dan keletah,hati mana yang tidak jatuh sayang. Itu baru anak orang kan? Bila ada anak sendiri pastilah kasih sayangnya melimpah ruah. Memang diakui mendidik anak dalam peringkat membesar ini sangat menduga kesabaran namun janganlah sampai menyesal di kemudian hari dek kerana terlalu mengikut perasaan. Mereka masih belum mengerti apa-apa. Kita sebagai orang dewasalah yang sepatutnya menunjukkan jalan yang betul dan contoh tauladan yang baik.

Ambillah iktibar, jadikanlah pengajaran. Dunia semakin tua. Manusia seperti di zaman jahiliah makin bertambah dari hari ke hari. Tidak gerunkah kita dengan tanda-tanda ini?

Subhanallah…

No comments: