Sunday, August 26, 2007

Pergilah duka

Salam...
Secara tak sengaja aku tersinggah di blog seorang kawan. Wah,ada posting baru setelah sekian lama. Bila membacanya,aku semacam terasa kata-katanya ditujukan buat aku. Aku membaca dari awal hingga akhir. Ah, kawan ku ini memang sentiasa punya idea kreatif di mindanya. Itulah istimewanya dia di mataku.
Namun secara tiba-tiba hatiku merusuh membaca ayat paling akhir. Seketika mukaku panas,dadaku sesak seakan mahu memuntahkan sesuatu. Apa, benarkah dia...?? air mata seperti mahu mengalir tapi segera kutahankan. Tidak mungkin aku akan menangis lagi. Bukankah aku sudah berjanji padanya,pada Tuhan juga untuk merelakan apa pun yang terjadi? Hatiku seakan tidak mahu mengerti. Untuk mengelakkan aku terus diasak kesedihan,aku lantas melarikan diri ke kamar mandi,menyucikan wajah dengan wudhu’ supaya perasaanku sedikit tenteram.Kenapa aku sering begini?
Aku selalu berlagak seolah-olah aku tabah dan mampu meranduk segala halangan yang diciptakan di depanku. Biarpun sebenarnya jiwa ini tidaklah sekukuh besi melainkan selembut kapas jua halnya. Namun, aku tetap akan terus berpura-pura seolah semuanya akan menjadi baik dan aku tidak mahu lagi membebankan perasaanku dengan cerita-cerita duka. Walaupun kedukaan itu selalu datang menyinggah akan aku sanggah dengan senyuman ceria di bibirku. Seulas bibir ciptaan Allah ini biarlah sentiasa basah dengan senyuman,bukan dengan kata-kata menyakitkan jiwa. Sedarlah wahai insan,kedukaan yang hadir dalam hidupmu tidak selamanya kan menemanimu.
Ya,kita akan selalu dihubungkan dengan ikatan sebagai sahabat,kawan dan teman. Usahlah diulit rasa bersalah dengan kejadian yang telah berlaku. Sememangnya aku cukup terluka namun aku yakin kelukaan ini akan berlalu seiring dengan peredaran masa. Anggap saja aku teman seperti dahulu. Anggap saja Tuhan menghukumku di atas segala dosaku yang banyaknya seumpama buih di lautan,tingginya umpama langit di angkasa. Kifarahkah ini Ya Allah?
Titipkan kesabaran dan kasih sayangMu agar aku tidak tersesat di lembah duka.

Aku mahu gembira!
Duka,tinggalkan aku sendiri!

1 comment:

Rasha_rz said...

Sedih benar bunyinya rintihan adik. kenapa sebegitu rawan? usah disuruh duka itu pergi, kitalah yang sepatutnya meninggalkan duka. nescaya mentari hari esok kan menyinar lagi. itu sudah pasti....