Wednesday, August 08, 2007

Mulakan Hidup Baru 2

Assalammualaikum,

Perasaan aku hari ini seperti biasa bercampur baur. Berperang antara kehendak hati dan kewarasan akal. Andai ditakdirkan aku ini tiada pegangan, nescaya aku sudah tiada lagi di muka bumi ini. Syukurku tak terhingga kerana dilahirkan sebagai umat Allah yang dikasihi.

Hari ini kami menghadiri kelas Bahasa Inggeris yang dianjurkan oleh tempat aku bekerja. Pelajaran hari ini: kami semua diminta untuk membuat satu pengumuman mengenai kehilangan kanak-kanak di pasar raya. Kelakar sungguh, masing-masing punya stail tersendiri. Semuanya berlaku dalam keadaan santai, gelak ketawa, sekurang-kurangnya hilang seketika masalah yang membuat hidup aku tak keruan. Entahlah, tak tahu kenapa hatiku sekali ini terlalu liat untuk melupakan segalanya. Aku masih berharap agar masih ada sinar kebahagiaan sudi memancarkan cahaya. Aku tidak menuding jari pada sesiapa. Yang buruk itu semestinya datang dari aku. Akulah yang memusnahkan segalanya dan tidak mungkin keadaan akan kembali seperti dulu. Hanya kenangan silam penuh kemanisan dan kegembiraan akan mencuit hati di kala fikiran menerawang.

Usai solat maghrib, hatiku terasa lebih tenang. Jauh di sudut hatiku, sentiasa bergema perkataan ‘maaf’ buatnya yang aku sayangi. Aku telah menyusahkan dia Ya Allah, adakah aku telah melukai hatinya dengan meluahkan apa yang aku rasai? Adakah dia terbeban Ya Allah? Jika benar, ampunkan aku Ya Allah…aku terlalu mementingkan diri tanpa pernah memikirkan keadaannya. Biarpun keadaan kini tidak memihak kepadaku,namun aku yakin, ini dugaan Allah untuk menguji sejauh mana aku bersabar sebelum dia mengurniakan kebahagiaan untukku supaya aku sentiasa beringat dan bersyukur.

Kini, aku mampu mengukir senyuman…ikhlas kerana diri ini mengerti tiada apa yang lebih berharga selain mendapat ketenangan jiwa…

Hatiku masih di sini…setia menanti hingga tiba saat bersemi…

No comments: