Monday, June 28, 2010

Ku Merindukanmu

Allahu Akbar!

Aku meraup wajah dengan sejuta rasa berbaur di dada. Wajah itu datang menghiasi mimpiku. Terbit rasa sayu di tangkai hati. Menggigit ngilu hingga menerbitkan air mata di tubir mata. Pantas kuseka. Aku tahu rasa rindu yang tak bertepi membuatkan syaitan bijak memanipulasi perasaanku. Hingga membuai aku dalam sutera angan yang tak akan pernah menjadi nyata.

Aku menggapai telefon bimbit yang terletak di atas meja. Pukul 4 pagi. Fikiranku terawang-awang. Enggan terus-terusan dihanyutkan perasaan, aku menggagahkan diri bangkit menuju ke bilik air. Ku basahi setiap anggota dengan kedinginan air wudhu’. Bermula dengan niat hinggalah menyuci kedua belah kaki. Sedikit ketenangan mula menempati ruang hati yang diamuk resah sebentar tadi.

Dalam solatku, aku tidak dapat mengawal rasa sebak yang datang tanpa diundang. Dalam sujudku, amatlah kerdil diri ini tatkala berhadapan dengan kuasa Maha Besar. Dalam rintihanku, serasa DIA membelai hati meminta supaya jangan bersedih atas musibah yang menimpa. Menitip seribu harapan bahawa suatu hari nanti pasti aku akan merasa hikmah di sebalik ujian hati. Hikmah bagi Allah itu luas. Tidak tercapai dek akal cetek manusia di dunia.

Di kala kesunyian ini, aku hanya mampu berdoa agar diberikan jalan yang terbaik. Diberikan kekuatan dan kecekalan hati yang maha tinggi supaya aku masih bisa tersenyum walaupun badai menghempas di sudut hati yang paling dalam.


p/s: nak carik idea.nak carik idea.haish.

No comments: