Tuesday, October 23, 2007

Hasrat

Assalammualaikum…

Kedinginan menjalar serasa ke tulang hitam saat ini. Sendirian di sini, walau hakikatnya ada beberapa orang pelajar yang tekun menelaah. Demikianlah suasana lazim tatkala tiba musim peperiksaan. Terkenang sewaktu aku masih bergelar pelajar, tak ubah seperti mereka juga. Makan tak kenyang, nak tidur pun tak lena mengenangkan soalan apa yang bakal disuakan nanti. Alhamdulillah, aku berjaya juga meraih segulung ijazah dan beroleh keputusan yang baik. Meskipun kerja aku kini tidak setimpal dengan kelulusan,namun aku yakin Allah tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.

Siapa yang tidak cemburu melihat teman-teman memperoleh kerja yang baik? Tapi apa yang aku dapat kalau aku asyik dihurung rasa kecewa dan dengki? Syaitan akan bersorak sorai dan akan membisikkan suara halus yang jika tidak dikawal akan mendorong aku melakukan sesuatu yang akan aku kesali seumur hidup. Percubaan demi percubaan masih belum menampakkan hasil. Rezeki itu ada dalam pelbagai bentuk, itulah peganganku sekarang. Setiap kali ada resah menampar dada, aku tekad mengusirnya jauh.

Apa yang aku perlu buat sekarang ialah menamatkan apa yang telah aku mulakan. Sukar sebenarnya bagiku tetapi aku harus berhijrah. Meminjam kata sahabatku. Dia sendiri telah melakukan satu penghijrahan yang berani. Aku mendoakan dia berjaya dengan karier barunya. Bukan mudah memulakan perniagaan. Tapi itu bukan alasan untuk tidak mencuba. Gagal kerana mencuba lebih baik dari duduk diam tanpa berbuat apa-apa. Orang yang terlalu memikirkan risiko akibat sesuatu perbuatan takkan pernah berjaya. Bukan mudah untuk memulakan langkah pertama.

Keberanian masih belum bertunas di hati namun ada hasrat yang bertamu ingin sekali aku lunaskan. Impianku ini mungkin kecil pada pandangan mata orang lain, namun bagi diri ini ia amat besar dan amat bererti. Ada yang mengetahui seringkali memberi sokongan padu. Sokongan inilah yang membuat aku rasa bersalah jika aku tidak berjaya merealisasikan mimpiku menjadi sebuah kenyataan. Biarlah mereka berjaya sebagai doctor, pegawai, pensyarah, pelajar master,pelajar PhD….aku masih akan tetap memburu cita-citaku yang satu ini…

2 comments:

Puteri Melur said...

sesungguhnya kita sekarang berusaha untuk mencapai cita-cita kita. Nash, aku doakan apa yg selama ini engkau cita-citakan akan dikecapi. sesungguhnya kita seharusnya berusaha, seperti berusaha untuk mencapai apa jua yg diingini oleh kita semua :)

Rasha_rz said...

Rezeki, ajal, maut, jodoh pertemuan dan tanah kubur itu sudah ditentukan. cuma Allah menyuruh kita berusaha dan menuntut ilmu hingga ke liang lahat. kerja Nashrin untuk menuntut ilmu sudah selesai, selebihnya serahkan pada kekuasaan-Nya.Cemburu untuk memajukan diri itu baik, cuma jangan sampai cemburu beraja di hati... selamat maju jaya dik.