Thursday, October 11, 2007

Bicara Hati

Assalammualaikum

Agak lama juga aku tidak menitipkan apa-apa di sini. Kesibukan menghambat diri? Tidak juga. Tetapi tiada apa yang menarik untuk dikongsi. Perjalanan novel pun seakan terencat di bulan Ramadhan ini. Entahlah, sebaik sahaja selepas Maghrib, sepasang mata ini seakan mahu tertutup. Mudah sekali aku dibuai mimpi. Badan terasa letih sekali walhal hanya bekerja di pejabat,bukannya mengangkat barang atau pun menjadi buruh paksa. Meskipun begitu, ketenangan menyusuri hatiku di kala ini. Setenang air yang mengalir di kali.

Hati yang terluka telah beransur sembuh. Yang tinggal hanya parut dan kenangan yang indah. Biarlah aku simpan semua kenangan itu di dalam memori. Aku amat berterima kasih dan bersyukur kerana pengaduanku kepadaNya diterima. Itu semua akan menjadi pelajaran berharga untuk meniti hidup yang penuh liku. Supaya diri ini senantiasa tabah dan redha menghadapi dugaan yang tidak akan pernah henti.

Tanpa disangka, ada seseorang yang menghulurkan salam perkenalan. Pada mulanya, aku hanya bertindak sambil lewa. Maklumlah, jiwa ini baru saja ingin aman, tak mahu aku menempah bala lagi. Ibarat luka yang baru sahaja kering tak sanggup ku biarkan ia berdarah lagi. Tapi entah kenapa aku menerima huluran perkenalan itu. Aku sendiri gusar dengan tindakanku. Ah,dia sama sahaja seperti insan lain,ingin menambah kenalan. Seperti biasa aku menyedapkan hati sendiri walaupun perasaanku cukup gentar. Adakah sejarah mungkin berulang? Ya Allah, jauhkan aku daripada semua itu.

Usia perkenalan baru seminggu,menginjak ke 2 minggu sekarang. Dia tidak henti-henti menyuarakan keikhlasan niatnya. Bila aku mempertikaikan,dia ingin sekali membuktikan dengan mengatakan sanggup melamarku. Ah, kita masih punya waktu yang panjang untuk membicarakan soal itu. Yang menentukan masa depanku. Aku sendiri belum yakin mahu menempuh alam rumahtangga tanpa ilmu. Aku ada matlamat yang harus ku capai sebelum aku menyerahkan hidupku pada insan yang bergelar.....suami.

Pasti yang membaca mengatakan, aku terlalu pantas melupakan hal lama. Ya, aku sendiri berfikiran begitu sebenarnya. Tapi untuk apa dikenang hal yang dah berlalu? Hidup mesti diteruskan. Hargai orang yang menghargai kita. Kerana kita tidak akan tahu betapa bernilainya sesuatu itu hinggalah kita kehilangannya. Untuk itu, aku memberi peluang kepadanya dan juga diriku. Aku tidak menyandarkan harapan yang tinggi. Apa yang aku harap hanyalah restu Ilahi. Hanya Dia mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Melaui riak wajahnya yang tenang, tutur kata yang lembut, aku tahu dia berniat baik. Sebagai hamba yang tak punya kuasa, aku menyerahkan untung nasib perhubungan ini kepadaNya. Bertemu dan berpisah keranaNya.




"Kompilasi kisah islamik yang mendamaikan jiwa"



"Pink rose...lovely"




2 comments:

Puteri Melur said...

nash...aku tak tau naper bila aku baca posting nie aku sendiri terasa sedih...sedangkan kata-kata yg ditulis memberi kita satu harapan supaya bersedia dengan apa jua yang disediakan oleh Ilahi kepada hamba-Nya.

Nashrin said...

urm...setiap kali aku posting kat sini,semuanya mewakili perasaan aku masa tu.itu normal,sekuat mana kita kata kita boleh lalui semua cabaran,namun kita tak boleh lari dpd rasa sedih.sejauh mana kita kata kita redha,sedikit sbyk kita akan terasa hampa,namun Allah saja yang tahu semua yang tersirat.