Tuesday, February 06, 2007

Pengalaman...Inikah Ertinya Cinta

Letihnya Ya Allah, desis Arina sambil merebahkan tubuh kecilnya ke atas tilam. Matanya menerawang ke atas siling. Hari pertama dilatih Shamsul cukup membuatkan dia terasa betapa sukarnya pekerjaan ini. Semuanya harus bergerak pantas. 6 jam dia berdiri tanpa sempat untuk duduk walau sekejap. Pelanggan pula tidak putus-putus datang ke premis mereka.
Matanya dipejamkan sambil mengingati apa yang telah dilaluinya hari ini. Shamsul mengajarnya cara untuk mengendalikan bahagian vat. Selama ini dia hanya tahu makan sahaja segala menu yang terdapat di Mc Donald. Kali ini, dia berpeluang untuk menyediakannya sendiri. Pertama sekali dia diajar cara-cara untuk menyediakan burger Mc Chicken. Mula-mula dia memerhati setiap langkah yang ditunjukkan Shamsul kepadanya. Kemudian, Shamsul mengarahkannya untuk melakukannya sendiri di bawah pengawasannya. Serba kekok ditambah pula dia merasa tidak senang kerana Shamsul serius memerhatikan cara dia bekerja. Hendak dihalang, manakan boleh kerana memang itu tugasnya sebagai instructor kepada dirinya. Hendak tak hendak,dia meneruskan sahaja walaupun keadaan menjadi serba tidak kena. Adakala dia perasan mata Shamsul seakan merenung tajam padanya.
Ketawa Arina tiba-tiba mengenangkan kekalutannya di tempat kerja.Sos untuk burger Filet O Fish diletakkan di dalam burger Mc Chicken. Mujurlah dia tidak dimarahi. Warna untuk kedua jenis sos ini agak serupa cuma sos untuk burger Filet mengandungi cebisan-cebisan sayuran yang sepatutnya jelas perbezaanya. Entah apalah pandangan Shamsul terhadap dirinya. Sejenak wajah Shamsul yang dipanggilnya abang seakan terpapar di depan mata. Dia memanggil dengan panggilan abang sebagai tanda hormat memandangkan Shamsul lebih tua daripadanya. Tidak lebih daripada itu. Memang dia sendiri akui Shamsul memiliki raut wajah yang bisa menggetarkan hati insan yang bergelar perempuan. Melihat dia tersenyum sahaja sudah cukup membuat hati yang suram berubah ceria. Namun untuk jatuh cinta..ah, sama sekali dia tidak terfikirkan hal itu.
“Tak nak makan ke Along?”suara ibunya mematikan terus lamunan dan mengembalikannya semula ke alam nyata. Tersembul wajah ibunya di balik pintu kamarnya yang separuh terbuka.
“Kenyang makan kat tempat kerja tadi.”Malas sahaja Arina menjawab. Dia betul-betul keletihan. Terasa bagaikan hendak patah tulang-temulangnya.
“Tak apalah kalau macam tu. Kalau lapar nanti, mak ada simpankan lauk kat bawah tu. Jangan lupa solat dulu sebelum tidur.”
“Baik,mak.”ujar Arina. Sebaik sahaja ibunya beredar dia terus bangkit untuk menunaikan solat Isyak pula. Nanti kalau dilengahkan bimbang pula tertidur hingga ke keesokan pagi. Matanya pula seolah-olah tidak mampu untuk dibuka. Longlai dia melangkah ke bilik air. Segar semula setelah wajah dibasahi air wuduk.
Selesai solat, dia merebahkan diri untuk melelapkan mata. Tak termampu lagi diri ini untuk bertahan. Selang beberapa minit dia meletakkan kepala di atas bantal, Arina terus hanyut dibuai mimpi.
**************************************************************

Hari ini masuk hari kedua sesi latihan. Arina dan Mazni tiba lebih awal dari semalam. Sementara menanti waktu shif mereka bermula, mereka mengambil kesempatan untuk bertukar-tukar pengalaman mengenai peranan masing-masing.
“Susah juga kan kerja sini. Panik je aku. Tu baru menolong Azlina sediakan kentang goreng untuk customer. Belum ambil alih sepenuhnya tugas kaunter. Tengok Azlina cekap betul. Menu kat sini semua dia hafalRupanya ada masa yang ditetapkan untuk kita serve customer. Kalau kita ambil masa melebihi daripada had masa yang ditentukan,maknanya kita tak menepati standard melayan pelanggan.” Terlopong mulut Arina mendengar ulasan Mazni mengenai tugas yang dipikulnya di kaunter. Agaknya penyediaan makanan juga diambil kira dari segi masa penyediaan, fikir Arina. Jadi dia sendiri harus tangkas dan pantas.
“Kau pula macam mana?Okey kerja kat dapur?Belajar masaklah kau ye. Lepas ni handallah kau memasak kat rumah. Dapat trainer hensem lagi. Memang berbaloi duduk panas-panas kat dapur ni.” Sekali lagi Arina menjadi mangsa gurauan Mazni.
“Biasa je. Kau tahu je la kan selama ni aku pandai makan je. Semalam pertama kali dalam hidup aku pula kena prepare untuk orang. Sos untuk Filet aku bubuh kat Mc Chicken. Nasib tak kena bambu dengan abang Shamsul.”
“Uhuk, patutlah terbatuk je dari tadi rupanya ada orang mengumpat saya” Kehadiran Shamsul mengejutkan mereka berdua. Alahai, bila masa pula dia ni muncul? Tahu-tahu terjengul je kat belakang. Saja mau bikin malu la mamat ni, sempat Arina mengomel dalam hati.
“Mengumpat belakang-belakang bang. Ni depan-depan bukan mengumpat.”
Sampuk Mazni. Shamsul yang selesai meletakkan beg dan topi keledarnya menghampiri mereka berdua.
“Kalau bukan mengumpat,apa pula namanya?”soal Shamsul pula.
“Tu namanya mengata,” balas Mazni sambil ketawa. Arina turut menurut jejak Mazni. Shamsul hanya menggeleng sambil tersengih. Terkena pula dia hari ini. Dalam diam dia membuat perbandingan. Mazni lebih peramah berbanding Arina yang pemalu tetapi sentiasa tersenyum.
“Ooo,kenakan orang. Tak apa,ada lori ada bas,”sahut Shamsul enggan mengalah.
“Rilekslah Abang Shamsul. Saya bergurau je. Tapi kalau abang merajuk, saya suruh Ina pujuk,” balas Mazni selamba. Arina menggelengkan kepalanya. Mazni ni kan..ish geram sungguh aku, rungut Arina sendirian. Balik-balik aku juga!
“Ina nak pujuk?Kalau macam tu abang nak merajuklah hari-hari” balas Shamsul lagi lantas melirik ke arah Arina. Arina sudah mula tidak senang duduk menjadi bahan usikan mereka berdua. Apa yang mampu dilakukannya hanyalah tersenyum. Tak tahu apa yang patut dibalasnya.
“Wah,riuhnya kat sini. Ada apa-apa yang menarik ke?”tiba-tiba muncul satu lagi suara yang cukup Mazni kenali. Azlina menjengukkan diri dari balik pintu. Dia juga baru tiba seperti Shamsul.
“Tak ada apa. Si Mazni ni ha,suka sangat menyakat orang”Shamsul menjawab. Mazni tersengih ibarat kerang busuk.
“Betullah bang. Itu skill dia yang paling utama. Dengan customer pun dia boleh main-main. Bahaya betul,tapi bagus juga. Mesti kita ada ramai regular customer lepas ni.”Jelas Azlina sambil menepuk bahu rakan didiknya. Mazni tersengih nakal.
“Mestilah,itulah salah satu cara perkhidmatan pelanggan yang baik. Kita mesti peramah,jadi pelanggan akan rasa dihargai.. kemungkinan untuk mereka datang lagi amat besar. Siapa yang untung?”
“Kitalah untung!”serentak jawapan terpacul keluar dari bibir Azlina,Arina dan Shamsul.
“Pandai anak-anak muridku sekalian. So,hari ini aku nak buat apa pula Azlina?” soal Mazni.
“Jom tolong aku stock up beverage. Hari ni kalau sempat aku akan ajar kau buat Sundae. Amacam?”
“Set!” setelah meminta diri, mereka berdua beredar untuk memulakan tugas. Tinggal Arina dan Shamsul sahaja di ruang rehat. Suasana menjadi sepi seketika.
“Macam mana training semalam?Boleh ikut?”Shamsul memecahkan kesepian dengan memulakan kata.
“Boleh kut,”Balas Arina ringkas.
“Kenapa ada ‘kut’ pula kat belakang tu?Ina rasa susah ke?Atau tak yakin?”Soal Shamsul lagi. Dia inginkan kepastian supaya segala kelemahan dapat diatasi.
“Susah juga. Maklumlah,pertama kali. Saya risau juga kalau saya menyusahkan abang Shamsul nanti. Saya ni lambat sikit bang,”Perlahan saja suara Arina di pendengaran Shamsul. Oh, itu yang mengganggu fikiran gadis kecil molek ini. Takut menyusahkan aku rupanya,bisik hati kecil Shamsul.
“Ina,tu la suka fikir yang bukan-bukan. Semua tu boleh diatasi Ina. Yang penting,Ina sendiri ada usaha untuk memperbaiki prestasi. Tak apalah,bak kata orang alah bisa tegal biasa. Jangan risau sangat,okey?Ina ingat semua krew kat sini datang-datang je terus boleh buat kerja?Mereka pun sama je dengan Ina. Jadi,jangan rendah diri lagi,okey?” nasihat Shamsul sedikit sebanyak memberi kesan positif pada diri Arina. Hatinya beransur lega. Senyuman dilemparkan pada Shamsul atas dasar berterima kasih atas kata-kata dorongan yang dititipkan buatnya.
“Macam tu la. Manis Ina bila senyum,kan?Okeylah,kita mulakan latihan sekarang. Abang nak tengok Ina handle kitchen macam mana. Semalam Ina dah belajar cara buat Mc Chicken kan?Hari ni abang akan ajar Ina cara untuk menyediakan Filet-O-Fish,pai epal dan nanas juga nugget. Jom.” Mereka berdua mengatur langkah menuju ke ruang dapur.
“PC! One Mc Chicken!” suara lantang Azlina mengejutkan Arina yang baru tiba di ruang dapur. Jam baru pukul 10.30 pagi dah ada pelanggan? Tepat pada waktunya mereka berdua di sini. Arina menjengukkan sedikit wajahnya ke ruang lobi. Ada 2 orang pelajar lengkap berpakaian sukan sedang membuat pesanan. Hmm..budak-budak sekarang sudah mampu melaburkan duit mereka di restoran makanan segera. Teringat sewaktu dia masih di alam persekolahan. Wang sakunya hanya bernilai RM 1 dan dibahagi dua. Separuh untuk sekolah pagi,separuh lagi buat belanja sekolah agama di waktu petang. Jauh sekali bedanya dengan masa kini.
“Thank you!”Shamsul menyahut. Dia membongkokkan badannya sedikit untuk mencapai bakul tempat simpanan apron yang letaknya di bawah meja. Satu dihulurkan untuk Arina. Dia sendiri mengenakannya kerana ini merupakan polisi yang perlu dipatuhi oleh krew yang bertugas di dapur.
“PC!One Mc Chicken,total two!”pesanan kedua pula diterima. Shamsul memberi isyarat kepadanya supaya memberi respon.
“Thank you!” Arina membalas. 4 keping ban roti dikeluarkan dari plastik. Kesemuanya diatur di atas tray khas lantas dimasukkan ke dalam bun toaster. Sementara menantikan ban siap dibakar, Arina mencapai daging ayam atau istilahnya chicken patties dari dalam freezer. Terpaksa dia menjengketkan kakinya memandangkan kedudukan freezer yang agak tinggi dia ats kepalanya. Dingin ais seta-merta menyerkup jari-jemarinya.2 keping patties tersebut dimasukkan ke dalam bekas khas lalu direndamkan di dalam vat yang berisi minyak yang telah dipanaskan pada suhu tertentu. Tidak lama kemudian, terdengar isyarat bunyi dari bun toaster menandakan ianya telah siap dibakar. Dengan penuh hati-hati dia mengeluarkan tray lalu diletakkan di atas meja. Arina mula melakukan dressing untuk burgernya. Lapisan pertama dia meletakkan salad dalam anggaran segenggam tangannya diikuti dengan sedikit sos krim berwarna putih untuk lapisan kedua. Sekali lagi bunyi bingit memecahkan suasana menandakan patties telah sedia untuk diangkat. Dalam keadaan ia masih panas Arina melatakkan kedua-duanya di atas sekali untuk melengkapkan lapisan ketiga. Selesai,Arina meletakkan ban terakhir untuk menamatkan dressing. Kemudian tray tersebut dihulurkan pada Shamsul yang sudah bersedia dengan kertas pembalut burger. Tanpa membuang masa Shamsul membalut kedua-dua burger tersebut lalu diletakkan di dalam ruangan khas. Sebagai product controller,dia bertanggungjawb menguruskan makanan yang disediakan oleh krewnya dan memastikan kuantiti yang septutnya disediakan untuk mengelakkan pembaziran.
“Jadi macam mana?Senangkan?”soal Shamsul. Arina mengangguk. Memang agak mudah,namun untuk melakukannya dengan kadar segera itulah yang menjadi persoalan.
“Abang nak Arina buat 5 Mc Chisken dan 5 Filet O Fish. Kejap lagi mesti ramai customer. Cara buat filet sama je dengan mc chicken,Cuma ban rotinya kita steam,bukan letak dalam toaster. Tekstur rotinya pun lain sikit,lebih lembut. semalam abang ada bagi manual penyediaan kan?”Arina mengangguk lagi. Memang semalam dia diberi manual penyediaan menu yang terdapat di restoran tersebut dan dia sudah membacanya. Arahan Shamsul dituruti dengan penuh rasa tanggungjawab.
“Kita terlupa sesuatu,”ujar Shamsul sambil menayangkan tangannya. Alamak,macam mana kami boleh terlupa nak pakai sarung tangan plastik ni? Cepat-cepat Arina mengambil dua pasang sarung tangan. Shamsul menyambutnya dari tangan arina. Mujurlah pengurus belum datang lagi. Kalau tidak...
“PC!Customer in,check product!” suara Kak Meera pula berkumandang
“Thank you!”Tanpa dirancang,Shamsul dan Arina menjawab serentak. Mereka berdua berpandangan. Tidak lama selepas itu,meledak tawa di antara mereka.





No comments: