Thursday, February 08, 2007

Dipermainkan teman...Inikah Ertinya Cinta

Azlan yang sedang membuat dressing Big Mac mencuri pandang telatah teman barunya. Dia turut kesal dengan sikap Kak Ogy yang selalu terlepas kata. Lydia juga turut perasan akan insiden tadi tapi dia sendiri tak mahu ambil pusing akan perkara itu. Sudahnya, dia dan Azlan saling berpandangan dan mengangkat bahu tanda tidak tahu apa yang harus dibuat. Haruskah mereka memujuk Arina? Sekali lagi Azlan melirik pada Arina yang kelihatan sibuk di sinki. Muka Arina berkerut. Menahan perasaan barangkali. Ingin dia memujuk sebagai kawan, namun keadaan tidak mengizinkan. Dia sendiri terlalu sibuk menyediakan permintaan pelanggan. Sekejap lagilah aku slow talk dengan dia, Azlan membuat keputusan.
Semua burger Big Mac yang telah sedia dihantar ke kaunter PC, tempat di mana Kak Ogy bertugas. Seterusnya menjadi rutin Kak Ogy sebagai PC memasukkan burger-burger tersebut ke dalam kotak bungkusan khas. Setelah itu, semua burger yang siap dibungkus akan diletakkan ke dalam bin bagi membolehkan krew di kaunter mengambilnya untuk diberikan kepada pelanggan.
Arina menyimpan kembali botol-botol sos yang telah diisi semula ke tempat asal. Apabila dia menoleh, Azlan menggamitnya agar datang kepadanya.
“Kenapa?”soal Arina tatkala dia menghampiri Azlan.
“Kecil hati dengan Kak Ogy?” Azlan membuat tekaan.
“Tak adalah.” Jawab Arina malas. Dia tidak mahu memanjangkan insiden tersebut. Sakit hatinya biarlah dia yang menanggung. Orang lain tak perlu ambil tahu. Azlan tersenyum sinis kerana dia tahu Arina berbohong.
“Sabarlah. Dia memang macam tu. Lama-lama kau akan biasa. Aku dulu pun macam kau juga masa baru-baru masuk. Jom, tolong aku stock up patties.” Arina mengekori Azlan menuju ke freezer. Sebaik pintu freezer dibuka, wap dingin ais beku menerpa wajah mereka berdua.
“Sejuknya!”Arina berkata sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam.
“Sejuk? Nama pun freezer. Memang saja aku ajak kau ke sini. Nak padamkan api kemarahan yang marak dalam hati kau tu. Kalau nak tahu, muka kau tu masam mengalahkan pickles yang aku letak dalam Big Mac tadi tau.”usik Azlan. Arina cuma tersengih menahan malu. Sampai macam tu sekali wajahnya diibaratkan. Mesti hodoh benar. Azlan membuka penutup peti sejuk beku dan mengambil 2 beg plastik beef patties manakala Arina sendiri mengambil 2 beg plastik Mc Chicken Patties.
“Eh,kenapa pintu ni tak boleh bukak Lan?” Arina berteriak cemas apabila pintu tidak mahu terbuka bila dia menolaknya.
“Ha,tak boleh bukak? Kau tolak tak kuat kot.” Azlan menolak pintu freezer menggunakan badannya. Cubaan pertama tidak berjaya. Dia mengumpul kudrat dan menghempas badannya ke pintu dengan sekuat tenaga. Cubaan kedua turut gagal. Hairan. Selalunya sekali tolak sahaja pintu sudah terbuka meskipun diakui pintu ini agak berat binaannya. Pasti ada orang yang menahan pintu ini dari luar,fikir Azlan.
“Tak boleh juga,Lan?” Azlan menggeleng. Arina mula merasakan kedinginan menjalar hingga ke tulang. Habislah, aku tak nak mati beku kat sini! Tak pasal-pasal jadi frozen meat Mc Donald,sungut Arina namun hanya bergema di dalam hatinya saja.
“Rileks,aku cuba lagi,” baru sahaja Azlan ingin melakukan cubaan ketiga, tiba-tiba pintu terbuka luas. Arina menarik nafas lega. Nasib baik ada insan yang tergerak hati untuk membuka pintu freezer ini.
“Ya Allah. Azlan? Arina? Apa yang korang buat berdua-duaan kat sini?” Muazam tersembul di muka pintu. Azlan menapak keluar dari bilik freezer dengan wajah selamba diikuti oleh Arina di belakangnya. Wajah Arina merah padam kesan ekoran terperangkap dalam freezer yang suhunya mencecah takat beku.
“Kot ye pun nak dating, carilah tempat yang bersesuaian sikit. Dalam peti ais pun jadi. Haha!” meledak tawa Kak Ogy dan Muazam. Azlan cuma menggelengkan kepala. Tahu sangat dengan hobi lazim mereka yang gemar menyakat. Dia cukup pasti ini angkara Muazam dan Ogy.
“Habis merah muka Ina, macam udang kena bakar. Kau ni tak patutlah,Lan.” Ujar Kak Ogy menguatkan lagi agenda usik-mengusik.
“Mesti gempak kalau jadi headline suratkhabar kan? Sepasang remaja belasan tahun ditangkap khalwat...di dalam peti ais!” kata-kata Muazam disambut dengan kekekan kuat Kak Ogy.Lydia yang sedari tadi menahan tawa tidak betah lagi mengawalnya dari meledak. Arina mengetap bibir dengan kuat. Ikutkan hati yang menggelegak, ringan saja tangannya ini ingin hinggap di pipi Muazam yang montel itu. Biar melekat ‘cop mohor’ 5 jarinya di situ sebagai peringatan agar tidak memperlekehkan dirinya. Tapi mana mungkin dia seberani itu menampar anak orang. Uh!

No comments: