Monday, May 03, 2010

AKHIR CINTA ABADI 7

"SAYANG..."

Hari –hari yang berlalu dilalui seperti biasa. Menjadi isteri dan pekerja dalam masa yang sama amat menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Itulah yang dirasai Raisya kini. Mujurlah suami dan keluarga mertua faham akan keadaannya. Ada kala pulang bila hari sudah menginjak senja. Sebaik mungkin juga dia menjalankan tangungjawab sebagai isteri. Ada masa dia menemani suaminya menjalankan pemeriksaan berkala. Raisya tidak mahu Putra menanggung sakitnya sendirian. Dia mahu Putra tahu bahawa dirinya akan sentiasa di sisi suaminya walau apa pun terjadi.

Kesihatan suaminya agak baik meskipun kadang-kadang Putra agak keletihan. Namun Raisya sedar Putra berusaha menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Walaupun tinggal di rumah mertua, Raisya akan memasak untuk seisi rumah seandainya dia berkesempatan. Kepada Putra akan disediakan bekalan. Kalau boleh dia ingin Putra menghindarkan makanan luar. Tidak elok untuk kesihatan dirinya.

“Raisya, bangun sayang. Dah Subuh ni.” Isterinya masih dibaluti selimut. Sedikit pun dia tidak bergerak. Putra merenung wajah yang sedang lena dibuai mimpi. Raisya balik lewat malam tadi. Katanya ada ‘design’ yang perlu disiapkan segera untuk majlis pelancaran produk baru syarikatnya. Kasihan isterinya bekerja keras untuk menampung keluarga mereka. Kos ubat-ubatannya bukan sedikit harganya. Kalau harapkan gajinya sahaja memang tidak lepas. Dia sendiri semakin hari rasa tidak berdaya. Namun dia cuba untuk tidak menampakkan kelemahan itu. Bimbang hati isterinya akan rawan.

“Raisya,” sekali lagi Putra mengejutkan isterinya sambil menggoncang lembut bahunya. Raisya mengeliat. Dia masih belum puas tidur. Matanya dibuka perlahan-lahan. Wajah suaminya muncul di ruang mata.

“Dah pukul berapa ni?” dia bertanya kepada Putra.

“Dah pukul 6.30 pagi ni. Bangunlah ,” Raisya terkejut. Apa? 6.30 pagi? Alamak,dah lambat!

“Kenapa abang tak kejut saya awal bang?” sepantas kilat Raisya bangun dari katilnya. Terus dia meluru ke bilik air membersihkan diri. Putra menggelengkan kepalanya melihat telatah Raisya. Dia yang tak. bangun-bangun, aku yang dituduhnya tak kejut. Raisya,Raisya.Ingin ketawa pula Putra melihat kekalutan isterinya. Tercegat di hadapan almari dengan bertuala sambil mencekak pinggang. Sudahnya Putra membantu isterinya menggosok pakaian sementara Raisya bersolat.

“Terima kasih bang, Raisya minta maaf ya. Tak sempat nak buatkan ‘breakfast’ abang.” Raisya berkata setelah selesai bersiap. Gincu berwarna merah jambu dipakaikan di bibirnya yang nipis.

“Tak apa. Elok-elok memandu tu. Jangan bawa laju-laju. Tau la sayang tu dah lambat.” Raisya bersalaman kemudian menghadiahkan satu kucupan di pipi suaminya sebagai tanda terima kasih.

“Abang, abang demam ke? Panas je ni?” Raisya meraba dahi suaminya. Putra turut menyentuh bahagian yang sama. Memang dia rasa agak kurang sihat sewaktu bangun pagi tadi.

“Entahlah. Tak apalah sikit je ni. Jangan risaulah. Dah,dah pergi kerja. Dah lambat ni.” Sengaja Putra mengalihkan perhatian Raisya. Dia membukakan pintu kereta dan mempersilakan Raisya masuk. Sempat Raisya berpesan agar dia pergi ke klinik. Putra mengiyakan demi memuaskan hati isterinya.

Masuk sahaja ke dalam rumah, kepalanya terasa berat. Betullah aku ni demam. Aduh, ada kerja yang belum aku selesaikan. Tak boleh tidak aku kena ke pejabat dahulu.

“Putra, Raisya dah pergi kerja ke?” Mama bersuara. Putra yang sedang memicit dahi tersentak.

“Ya mama. Bangun lambat tu yang kelam kabut je.” Ujarnya.

“Kamu tak sihat ke?” Mama menyedari tingkah Putra. Dia merasa dahi anaknya. Hangat.

“Sikit je la mama. Tak ada apalah.”

“Sikit tu la kalau tak dirawat melarat. Tak payah kerjalah. Minta cuti berehat.”

“Tak boleh mama. Berlambak kerja kat pejabat tu. Tak apalah nanti Putra minta half day.”

“Kenapa, abang demam ke ?” tiba-tiba Ecah yang baru sahaja selesai mandi menyampuk.

“Ya, tapi nak kerja juga. Kamu tak ada kelas hari ni kan? Nanti hantarkan abang kamu ya.” Mama memberi arahan. Risau dia ingin melepaskan anak terunanya memandu dalam keadaan tidak sihat.

“La,tak payahlah ma. Putra boleh ‘drive’. Lagipun nanti tengah hari Putra balik. Susah pula Ecah nak kena ambil pula.” Putra melirik kearah adiknya mengharapkan bantuan.

“A’ah ma. Nanti abang balik juga tengah hari. Bila abang balik nanti, Ecah hantar abang pergi klinik.”

“Hurm. Yalah.” Mama menghilang ke dapur. Putra menghampiri adiknya sambil mengucapkan terima kasih.

“Abang kenalah belanja Ecah sebab selamatkan abang tadi.”

“Ya, adikku sayang. Nanti abang belanja. Abang gerak dulu ye. Assalammualaikum.”

Raisya tiba di rumah sewaktu jam hampir menunjukkan angka 12 malam. Bersyukur kerana akhirnya sampai juga dia ke rumah. Telefon bimbitnya sudah kehabisan bateri. Lupa untuk mengecaj bateri telefon. Seharian dia melakukan kerja luar. Penat satu badan. Hingga terpaksa meminjam telefon rakannya untuk memaklumkan kepada Putra akan kelewatannya.

Suaminya sudah pun melayari bahtera mimpi. Tidak mahu suaminya terjaga, perlahan-lahan dia menutup pintu. Matanya melekat pada jambangan bunga ros merah putih yang indah di atas meja solek. Raisya mencapai jambangan bunga tersebut. Wangi. Ada kad kecil terselit di situ.

“Selamat Ulang Tahun Perkahwinan buat isteri tercinta, Qistina Raisya. Terima kasih kerana sudi menjadi cahaya di dalam hidupku yang kelam. Pengorbananmu akan ku kenang hingga hujung nyawa. Tiada apa yang dapat abang hadiahkan buat hari ini melainkan rasa cinta yang bercambah dari hari ke hari. I Love YOU SO MUCH!-from: suamimu, Putra”. Abang! Raisya menangis teresak-esak. Sungguh kerana terlalu sibuk dia langsung tidak teringat akan tarikh keramat ini. Tarikh bersejarah penyatuan mereka berdua. Hari mereka memeterai satu ikatan yang sah yang dirahmati Allah.

Dengan air mata bercucuran, Raisya mengucup tangan suaminya yang sedang tidur. Putra terkejut apabila dia merasa ada sesuatu di tangannya. Berganda tersentak bila melihat isterinya mencium tangannya sambil menangis tersedu-sedu.

“Ya Allah, sayang. Kenapa ni? Kenapa menangis tengah-tengah malam ni?”Putra menongkat dagu isterinya. Apa yang telah berlaku? Jauhkanlah isteriku dari musibah Ya Allah,mohon Putra.

“Abang…Raisya minta maaf banyak-banyak. Raisya rasa Raisya dah abaikan abang. Abang ingat ya tarikh hari ni? Raisya tak ada apa nak dihadiahkan pada abang. Lupa langsung. Selamat Ulang Tahun perkahwinan kita yang pertama, sayang.”oh, ini yang dia sedihkan, bisik Putra.

“Sudahlah sayang. Abang tak kisah pun. Abang tahu sayang sibuk. Dah, jangan menangis lagi.” Basah dadanya dengan air mata isterinya. Putra memeluk Raisya bagi menenangkan perasaan isterinya yang tidak keruan. Bila keadaan kembali reda, Putra melonggarkan pelukannya. Sembab wajah isterinya kerana lama menangis.

“Dah makan belum ni?” Raisya menggelengkan kepala. Memang dia tidak sempat menjamah makan malam lagi. Kali terakhir makan tengah hari di luar.

“Pergi mandi dulu. Lepas tu abang temankan sayang makan ya.” Raisya masih kaku tidak bergerak.

“Oo…sayang nak abang mandikan ya? Jomlah.”usik Putra sambil menarik tangan Raisya.

“Apa abang ni? Merepek je.” Ujar Raisya lantas memukul paha suaminya. Putra hanya ketawa melihat wajah isterinya yang merah padam.

“Mandi cepat. Dah macam bau kambing dah. Berapa tahun sayang tak mandi ni?”

“Abangggg!” jeritan Raisya dari dalam bilik mandi meledakkan ketawa Putra yang masih belum berhenti.

Sejak peristiwa malam itu, Raisya cuba meluangkan lebih masa dengan Putra. Seboleh-bolehnya dia akan pulang awal. Kadang-kadang Putra juga akan menghantar dan mengambilnya di tempat kerja biarpun ditegah Raisya. Raisya memang tak mahu menyusahkan Putra namun bila mereka hampir bergaduh dan Raisya dituduh tidak memberinya peluang untuk bertanggungjawab, Raisya mengalah.dan kini menjadi rutin hidupnya ke pejabat dihantar dan diambil pulang oleh Putra.

Malam itu suasana hening. Raisya terbangun dari tidur. Dia melirik ke jam dinding. Pukul 2 pagi. Ditoleh ke sebelah. Suaminya nyenyak tidur. Raisya mengusap rambut suaminya dengan penuh rasa cinta dalam dada. Alang-alang sudah terjaga, Raisya bercadang untuk melakukan solat malam. Ingin dia mengadu pada Ya Rabb akan rasa hatinya. Sudah hampir seminggu Putra demam. Selama itulah dia curi-curi keluar daripada pejabat demi menjaga suaminya meskipun dia tahu mama dan papa berkeupayaan menjaga Putra. Namun,tidak sampai hati melihat mama dan papa bersusah begitu. Sebagai isteri, Putra adalah tanggungjawabnya. Biar badannya letih kerana tidak cukup tidur, dia rela. Asalkan Putra sembuh.

Putra terjaga apabila telinganya menampan sayup-sayup alunan ayat-ayat suci Al-Quranul Karim. Perlahan-lahan matanya dibuka. Perhatiannya terarah pada sesusuk tubuh yang sedang bersimpuh. Isterinya sedang melagukan kitabullah mukjizat terakhir Rasullullah, pesuruh Allah. Tersentuh hatinya melihatkan situasi ini. Ingin sekali dia menyertai isterinya. Sama-sama menghayati ayat-ayat cinta Allah buat hamba-Nya. Putra berusaha bangkit dari pembaringan. Bergerak ke tandas untuk mengambil wudhu’.

“Abang?”Raisya bersuara. Suaminya lengkap bersongkok, berbaju melayu, berkain pelekat dan menjunjung Al Quran. Putra melabuhkan punggung di sisi Raisya.

“Saya buat abang terjaga ke?Maaflah.” Raisya memohon maaf. Putra menggelengkan kepala. Sepasang mata bening milik isterinya ditatap. Bidadariku!

“Tak, sayang. Abang pun nak ‘join’ sayang. Surah apa sayang baca?” soal Putra. Dia membuka lembaran suci itu secara rawak.

“Surah An-Nisa’, bang. Surah yang paling banyak menyentuh hal wanita.” Jawab Raisya sambil tersenyum.

“Kita baca sama-sama.” Raisya mengangguk dan mereka berdua memulakan bacaan dengan istia’dzah diiringi dengan basmalah. Damai, itulah yang dirasakan mereka berdua. Hati seakan dingin dibasahi azimat ayat-ayat suci yang terpelihara hingga akhir zaman.

Putra terasa sesak tiba-tiba. Dia cuba juga menghabiskan bacaannya. Sesekali dia mengerling kea rah isterinya yang khusyuk mengaji. Kalau boleh dia tidak mahu mengganggu bacaan isterinya. Namun rasa nyeri di dadanya semakin menghimpit. Dia berhenti. Al-Quran ditutup. Putra terbatuk. Dia menekup mulutnya. Alangkah terkejutnya Putra bila melihat tompokan darah di tapak tangannya. Putra terbatuk lagi.

“Ya Allah,abang!” Raisya menjerit lantas memaut tubuh suaminya yang longlai. Putra terkulai layu dalam pelukan isterinya.

“Allahu akbar…sakit…sayang..” rintih suaminya. Raisya menyapu darah yang mengalir di tepi bibir dengan kain telekungnya. Sekuat-kuat hati dia menjerit memanggil mama,papa dan Ecah. Rintihan suaminya umpama belati yang menghiris hati. Pedih.

“Sabar, sayang. Bawa mengucap. Ingat Allah,” Raisya memeluk erat Putra dalam pangkuannya. Mutiara jernih jatuh mengena pipi Putra. Ya Allah, selamatkan suamiku!

AKHIR CINTA ABADI 6


"KAU PERMAISURIKU"

Tok! Tok! Gema ketukan pintu mengejutkan Putra yang sedang tidur. Putra merungut. Keletihan yang menyelubungi membuat dia rasa terganggu. Mungkin kerana semalam dia pulang lewat dari pejabatnya. Sudahnya dia berasa tidak sedap badan hari ini. Sebab itu dia melelapkan mata sebaik sahaja selesai menunaikan solat Zohor.

“Ha, Ecah. Kenapa ni?” Putra menyoal sebaik wajah adiknya tersembul di muka pintu.

“Abang, Kak Raisya datang dengan mak abah dia la. Diorang nak melawat abang.” Putra terkejut Ha?Raisya datang? Dengan mak abah dia pula tu. Sejak bila pula mak dan abah Raisya buat lawatan sosial kat rumah aku ni?

“Cepatlah siap bang. Diorang tunggu kat ruang tamu. Cepat tau!” gesa adiknya lagak memberi amaran.

“Ya,abang siap.”

“Ecah dah panggil abang?” mama bertanya tatkala Ecah memasuki ruang dapur.

“Dah mama. Dia tengah siap. Kenapa Kak Raisya datang dengan mak abah dia mak? Nak masuk meminang abang ke?” Ecah cuba serkap jarang akan kehadiran tetamu istimewa itu.

“Ish,kamu ni mengarut je. Biarlah mereka menziarah. Tetamu yang datang boleh bawa keberkatan dalam rumah ni.” Mama menjawab sambil tangannya ligat membancuh air. Ecah tersengih. Dia memerhatikan gerak-geri ibunya.

“Apa salahnya mama. Saidatina Khadijah pun melamar Rasulullah. Cuma tak sesuai dengan adat kita yang menitik beratkan soal maruah wanita. Seolah perigi mencari timba. Tapi kalau kena gayanya,hemahnya bagi Ecah tak salah.”Ecah masih lagi menyambung pendapatnya yang terhenti tadi.

“Sudah, mama tahulah kamu tu bakal peguam. Asyik nak berhujah saja. Nah, pergi hantar dulang air ini ke depan. Nanti jangan bila dah kahwin, laki kamu pening asyik dengar kamu bercakap.” Ecah ketawa lepas mendengar ayat mama. Kahwin? Anak mama sorang ni belum terfikir lagi soal itu. Cita-citaku masih belum tercapai. Ecah menatang dulang berisi minuman untuk dihidangkan kepada tetamu yang sedang menanti.

Setelah puas dengan penampilannya, Putra keluar mendapatkan keluarganya di ruang tamu. Mereka leka berbual. Sesekali meletus ketawa mereka bila papa Putra bercerita.Raisya pula sedang menuang minuman untuk semua yang ada. Dia mengambil peluang ini untuk menatap wajah gadis impiannya. Lemah lembut dan mempesonakan.

“Ha, tu pun hero dah keluar!” Suara Ecah mematikan terus pandangannya. Aku baru nak menghayati keindahan ciptaan Ilahi. Adik aku seorang ni memang dengki,rungutnya sendiri. Ecah menahan tawa melihatkan muka abang yang kelat kerana terkejut disergah. Raisya turut tertahan tawanya.

“Putra, apa khabar? Sihat ke ?” soal abah Raisya sewaktu Putra menyalami tangannya.

“Alhamdulillah pakcik. Pakcik?”soalnya berbasa basi.

“Alhamdulillah,sihat dan masih bertenaga,”jawab abah Raisya ceria dan disambut gelak ketawa semua yang ada di situ.

“Begini. Sebenarnya kami datang ni ada hajat. Hajat yang besar ertinya seandainya diterima oleh keluarga Pak Hassan.” Abah Raisya memulakan bicara. Raisya mengambil tempat di sisi mak. Hanya Allah saja yang tahu perasaannya ketika itu. Papa dan mama Putra saling berpandangan. Putra tidak memberikan sebarang reaksi. Manakala Ecah berkerut dahi menunggu hajat yang ingin disampaikan abah Raisya.

“Seperti mana yang kita semua tahu, anak saya Raisya dan anak kalian,Putra sudah lama menjalinkan hubungan. Jadi saya sebagai orang tua Raisya berhasrat agar mereka berdua disatukan.” Putra terkejut lantas mengalihkan pandangannya pada Raisya yang menundukkan wajahnya. Ecah tersenyum sambil melirik ke arah mama seolah-olah memberitahu ‘betul tak apa yang Ecah cakap tadi?’

Papa dan mama Putra juga agak terkejut namun tidak lama. Pandangan mereka beralih kepada anak lelaki mereka. Putra kelihatan tidak tentu arah. Melihatkan situasi itu, papa Putra bersuara, “Ikutkan saya kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Tapi ada baiknya kita tanya tuan empunya diri dulu.”

“Menurut Raisya, Putra menolak atas alasan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan. Sebab itu saya datang ke sini mewakili anak saya ingin memberitahu kepada Putra yang anak pakcik ikhlas ingin mengahwini Putra walau apa pun keadaannya. Putra, kami juga boleh menerima Putra dalam keluarga kami. “ sebak dada Putra mendengar kata-kata yang cukup meyakinkan daripada abah Raisya. Begitu juga Raisya. Awak, saya sudah merendahkan ego saya demi cinta saya. Adakah awak masih menolak, Putra? Raisya merintih dalam diam. Mak menggenggam erat jari-jemari anak gadisnya. Terdetik rasa kagum mempunyai anak yang sanggup berkorban untuk insan kesayangannya.

“Putra? Macam mana? Papa serahkan semua kepada Putra.”

“Mama pun begitu juga.” Putra memandang satu-persatu wajah di ruang tamu itu. Kini semua menanti kata putus darinya. Raisya lebih-lebih lagi. Andai Putra masih dengan keputusan ingin melepaskannya pergi, dia pasrah.

“Pakcik,makcik. Saya memang sayangkan Raisya. Sebab itu saya tak nak dia menderita kalau dia hidup dengan saya. Ikhlas saya sendiri tak tahu sama ada saya mampu memikul tanggungjawab saya dengan baik. Dengan keadaan saya begini.” Perlahan Putra menjelaskan. Pilu menyiat hati mama. Namun mama juga terharu dengan keikhlasan Raisya. Mama juga telah lama jatuh kasih dengan Raisya. Dia tidak mahu Putra mengecewakan hasrat keluarga Raisya. Mama mendekati Putra sambil memegang kedua belah pipinya.

“Putra anak mama,kamu cintakan Raisya?”Putra berlawan pandang dengan anak mata mama yang berkaca. Putra mengangguk perlahan. Kedua belah tangan mama dipegang. Kemudian mama menoleh pada Raisya. Gadis itu masih belum mengangkat wajahnya.

“Raisya?” mama Putra memanggil. Raisya mendongak.

“Ya, makcik.” Jawab Raisya.

“Sanggupkah Raisya berkongsi susah,senang,menjaga Putra dan bersabar dengan kerenah Putra sama ada dia sakit atau tidak?” air mata yang dari tadi bertakung di birai mata Raisya tumpah juga. Raisya mengangguk dalam sendu. Mama Putra beralih semula kepada anak terunanya yang juga telah tumpah air matanya.

“Putra, mama nak Putra dengan Raisya bernikah. Mama tak mahu menantu lain. Janji dengan mama, jangan sia-siakan Raisya. Jangan jadikan keadaan Putra yang sakit ni untuk tidak bertanggungjawab. Buat semampu yang Putra boleh. Ajal maut di tangan Tuhan. Mama faham kebimbangan Putra tapi selagi kita masih bernafas,janganlah difikirkan hal-hal yang di luar kawalan kita.Lawan kesakitan ini. Peluang cuma datang sekali. Hargailah orang yang menyayangi kita. Mama merestui hubungan kalian.” Habis saja ayat terakhir, mama mencium dahi Putra. Putra memeluk mama erat sambil menangis. Mak juga memeluk Raisya dengan tangisan yang tertahan-tahan. Papa Putra dan abah Raisya juga menahan rasa terharu. Ecah menyertai abang dan mamanya. Dia juga turut menangis.

Majlis pernikahan akan berlangsung tidak lama sahaja lagi. Kenalan rapat dan saudara mara terdekat dijemput hadir memeriahkan suasana. Raisya dan Putra ingin majlis pernikahan diadakan di masjid. Sedondon berbusana putih, mereka berdua tampak cocok sekali.

“Wahai Putra bin Hassan, “ pak imam bersuara sambil menghulurkan tangan. Putra menyambut dengan kemas sambil menyahut. Pak imam meneruskan tanggungjawabnya.

“Aku nikahkan dikau dengan Qistina Raisya binti Amran dengan mas kahwinnya RM80 tunai.”

“Aku terima nikahnya,Qistina Raisya binti Amran dengan mas kahwinnya RM80 tunai.” Balas Putra dengan sekali nafas. Raisya berasa sebak. Mak memeluk Raisya sambil bertahmid berulang kali.

“Sah?”

“Sah!Sah!” jawab saksi.

“Alhamdulillah.” Putra mengusap dada tanda lega. Gelagatnya mengundang tawa di kalangan para hadirin. Apa tidaknya, wajah Putra pucat kerana gementar. Selesai mendirikan solat sunat tanda kesyukuran, Putra menghampiri Raisya yang begitu indah sekali berpantis. Laksana bidadari syurga. Debaran di dadanya kian mengasak.

“Assalammualaikum, sayang.” ucap Putra dengan sopan.

“Waalaikumussalam.” Merah muka Raisya kerana malu. Kawan-kawannya yang hadir mula menggiatnya dengan Putra. Keadaan keco h seketika namun beransur reda bila teringat yang mereka berada di dalam rumah Allah. Putra menyarungkan cincin bermata satu itu di jari manis isterinya. Raisya bersalaman lalu mencium tangan suaminya. Spontan Putra mengucup dahi Raisya sambil memejamkan mata. Tidak diduga mutiara jernih menitis mengena dahi Raisya.

“Kenapa sayang menangis? Menyesal ya sebab kena kahwin paksa?” ucap Raisya dalam nada bergurau sambil menyapu pipi suaminya yang basah.

“Adalah sikit tapi rasa bertuah melebihi rasa kesal.” Sambut Putra lantas ketawa.

“Saya akan cuba membahagiakan awak hingga akhir hayat.” Raisya mencium pipi suaminya. Tiba-tiba sejalur cahaya menyambar mengejutkan pasangan ini. Ah , rupanya si Ecah yang mengambil gambar.

“Got you! Taulah abang dengan kakak tengah dalam mood bercinta tapi bawa-bawalah bersabar. Malu je orang nampak .” Ecah membebel sambil bercekak pinggang. Raisya tersenyum malu manakala Putra buat tak endah dengan sindiran adiknya yang satu itu. Tahu sangat dia dengan telatah Ecah yang suka menyakat macam dirinya juga.

“Tak apalah Ecah. Mereka berdua tu dah halal. Apa salahnya.” Sampuk papa Putra. Mama Putra memukul manja papa. Abah Raisya pula mengiyakan. Mak pula hanya tersenyum bahagia.

Keletihan melayan tetamu masih menjalar dalam tubuh pengantin baru ini. Abah dan mak sudah lama masuk tidur. Barangkali penat agaknya. Raisya memicit-micit lehernya. Matanya dipejamkan. Putra yang baru keluar dari bilik mandi terkesima melihat Raisya tanpa tudung buat pertama kalinya. Rambutnya ikal melepasi bahu terbuai-buai bila Raisya menoleh ke kiri dan ke kanan. Indahnya dirimu wahai isteriku.

“Penat ya sayang?” jari jemari Putra mengambil alih tugas mengurut leher Raisya. Terkejut, namun membiarkan sahaja dirinya diperlakukan begitu. Terasa lega sedikit. Pertama kali sepanjang 2 tahun perkenalan Putra menyentuhnya.

“Penat, tapi bahagia.” Raisya berpaling mengadap suaminya. Senyuman terukir pada wajah masing-masing. Teringat Putra akan firman Allah yang membawa maksud seandainya suami memandang isteri dengan penuh kasih sayang dan sebaliknya, Allah jua akan melemparkan pandangan rahmat buat pasangan tersebut. Moga mereka berdua mendapat rahmat itu, desis hati kecilnya.Mereka berjalan beriringan menuju ke katil. Putra menepuk tilam mengarahkan Raisya agar duduk di hadapannya. Raisya menurut.

“Pertama sekali abang ucapkan terima kasih sangat-sangat sebab sudi ‘melamar’ abang.” Raisya ketawa mendengar ayat yang keluar dari mulut Putra. Putra menggenggam erat jari jemari Raisya. Mereka bertatapan.

“Terima kasih juga sebab sayang tak reject lamaran ni.” Raisya membalas.

“Abang sekeluarga betul-betul terharu dengan pengorbanan yang sayang dah lakukan. Terima kasih juga sebab sayang rela hidup sebumbung dengan keluarga abang.” Itulah permintaan mama dan abah Putra pada Raisya. Tiada masalah bagi Raisya kerana dia sendiri sudah biasa dengan keluarga Putra. Malah dia faham, pasti mereka tidak mahu ketinggalan meraikan saat-saat yang masih bersisa dengan Putra. Sebagaimana dia juga.

“Abang,sudahlah tu. Yang penting, saya bahagia jadi isteri abang.” Raisya mendaratkan kepalanya di ribaan Putra. Putra mengelus rambut Raisya dengan rasa kasih. Namun tiba-tiba sahaja dia merasa sakit di bahagian kiri dadanya. Dia cuba bertahan kerana tidak mahu merosakkan malam indah ini. Tapi dia tidak berdaya.

“Maaf, sayang..abang…” Raisya mendongak. Dilihat Putra memejamkan mata sambil mengurut dada. Raisya panik.

“Abang, abang tak apa-apa ke?” hampir menangis Raisya kerana bimbang yang teramat. Ini pertama kali dia melihat Putra dalam keadaan begini.

“Tolong bukakan beg abang. Ambilkan ubat dalam kotak biru dengan air mineral sekali.” Arah Putra. Raisya menyelongkar beg yang dimaksudkan. Sebaik terjumpa, dia menghulurkan kepada Putra. Sebiji pil dikeluarkan dari kotak. Putra menelannya disulami dengan air.

“Abang nak ke hospital ke? Saya hantarkan?” soal Raisya. Putra menggeleng. Kotak ubat tadi diletakkan di kepala katil. Begitu juga dengan botol air mineral.

“Tak perlu. Makan ubat saja dah cukup. Mungkin sebab letih sangat. Sayang kena biasakan diri dengan situasi macam ni. Mungkin akan berlaku selalu. Jangan takut, ya?”ujar Putra .

“Baringlah abang. Biar saya sapu minyak angin ke dada abang,okay?” Raisya membuka satu persatu butang kemeja tidur suaminya. Jarinya menggeletar. Kemudian perlahan dia melumurkan minyak angin tersebut ke dada suaminya dengan lembut. Putra hanya membiarkan. Dia rasa tenang.

“Terima kasih sayang.” Raisya tersenyum lagi. Mata Putra beransur-ansur tertutup. Melihatkan suaminya telah terlena, Raisya menarik selimut hingga ke bahagian dada suaminya. Raisya mengucup dahi suaminya dan berbisik ‘selamat malam sayang’.

Selamat malam , tidurlah sayangku, siang kan tiba bercahaya , bermula baru semua mimpimu


AKHIR CINTA ABADI 5

"INI NIATKU"

“Raisya, mari kita ke ruang tamu kejap.” Abah menggamit Raisya yang baru selesai membersihkan meja makan. Raisya mengekori abah ke ruang tamu. Mak sedang menonton rancangan kegemarannya slot ‘Lagenda’ di TV9. Demi melihat abah, mak memperlahankan suara televisyen. Pasti ada sesuatu yang mak dan abah ingin tahu atau bincangkan. Entah-entah berkenaan hal pulang lewat semalam?

“Boleh Raisya jelaskan hal semalam?” Sah, nalurinya memang tepat. Raisya cuba mengatur kata-kata yang sesuai dan inilah masanya untuk dia menyampaikan niat yang telah pun dia khabarkan kepada Putra petang tadi.

“Mak, abah….sebenarnya Raisya melawat Putra di hospital.” Perlahan Raisya memulakan bicara. Riak wajah terkejut jelas terlukis di wajah mak dan abah.

“Kenapa dengan Putra?” mak menyoal. Berkerut dahi menanti jawapan.

“Putra disahkan mengidap sakit jantung mak. Agak serius juga.”

“Kasihan Putra. Dahla baik budaknya kan bang.” Mak meluahkan rasa simpati. Terbayang di mata mak wajah bersih Putra. Putra yang disifatkan sangat menghormati orang tua dan bijak mengambil hati.

“Mungkin ini ujian untuk dia. Allah sayangkan dia,sebab tu dia diuji.Seperti ayat Allah yang bermaksud takkan masuk syurga seseorang itu melainkan setelah diuji.” Mak menganggukkan kepala mengiyakan apa yang diperkatakan oleh abah. Kata-kata abah memang selalunya bermakna. Penuh pengajaran dan nasihat. Itulah yang membuat Raisya kagum dengan abah.

“Mak,abah. Raisya ada hajat .” Raisya memandang wajah mak. Kemudian abah.

“Hajat apa?” abah pula menyoal.

“Raisya….Raisya nak kahwin dengan Putra.” Raisya menarik nafas.

“Raisya,Raisya sedar tak apa yang Raisya cakap ni? Baru tadi Raisya cakap Putra sakit. Sekarang nak kahwin pula. Mak tak setuju!” bantahan mak umpama sembilu menghiris hati Raisya.

“Mak,abah…berilah peluang Raisya jaga dia. Raisya cintakan dia. Raisya cuma mohon restu mak dan abah.”Raisya menghampiri mak . Kedua-dua tangan mak dikucup. Tersentuh hati mak dengan tindakan buah hatinya. Kepala Raisya diusap dengan lembut.

“Mak tak mahu kamu hidup derita,Raisya. Sebab tu mak nak Raisya fikir dalam-dalam. Jangan ikutkan sangat hati dan perasaan. Kamulah satu-satunya ‘harta’ yang mak ada.” Mak memegang lembut wajah puteri kesayangannya. Air mata yang mengalir di pipi puterinya disapu dengan rasa kasih yang menggunung. Kasih sejati seorang ibu.

“Mak, Raisya dah lama fikirkan. Raisya tahu mak sayang Raisya. Raisya tak mungkin biarkan insan yang Raisya sayang merana seorang diri mak. Mak faham kan?”mak menala pandangan pada abah. Mata mak seolah memberi isyarat yang beliau meletakkan keputusan di tangan abah memandangkan abah adalah ketua keluarga.

“Raisya dah istikharah,minta petunjuk pada Allah?”

“Raisya dah buat abah. Sebab tu Raisya beranikan diri untuk beritahu hasrat Raisya pada abah dan mak.”soalan abah terjawab.

“Raisya kena ingat, menjadi seorang isteri bukanlah semudah melafazkan perkataan ‘saya sayang awak’. Syurga seorang isteri terletak dalam keredhaan suaminya. Untuk memastikan rumahtangga tidak berantakan,ilmu mesti cukup dalam dada. Abah nak tanya, Raisya sedia berkorban masa dan tenaga untuk Putra lebih-lebih lagi dalam keadaan dia sekarang ini?”

“Raisya sanggup abah. Abah dan mak contoh terbaik yang Raisya boleh ikut. Raisya ingat segala tunjuk ajar mak dan abah.” Raisya meyakinkan mak dan abah akan keputusannya. Dia nekad kini.

“Putra? Dia tahu?” mak bertanya setelah lama membisu.

“Sebenarnya Putra minta putuskan hubungan. Dia minta Raisya cari orang lain disebabkan keadaan dia sekarang. Tapi, tak mungkin Raisya cari orang lain mak. Cinta Raisya hanya pada Putra. Dia tahu mak dan abah takkan mahu terima dia. Sebab tu Raisya nak minta tolong mak dan abah yakinkan Putra. Yang Qistina Raisya betul-betul ikhlas mencintai Putra.” Mak dan abah saling berpandangan. Kemudian pandangan mereka terarah pada Raisya. Wajah manis itu terlalu mengharap agar permintaannya ditunaikan.

“Macam inilah. Esok, kita sama-sama melawat Putra. Berbincang dengan keluarga Putra. Tengok apa kata keluarga dia sama ada setuju atau tak setuju dengan cadangan kita. Mereka pun berhak beri pandangan. Apa pun terjadi esok, abah harap Raisya sedia dengan apa juga keputusan yang diputuskan. Setuju?”

“Setuju. Terima kasih mak,abah.”Raisya bangun dari duduknya dan merangkul tubuh mak dan abah. Insan yang paling dihormati dan disayangi dunia akhirat. Insan yang paling banyak berkorban untuk kebahagiaan dan kesenangan dirinya. Sungguh, Raisya merasa sangat berterima kasih kerana dikurniakan mak dan abah yang sentiasa memahami diri ini.

“Abang, betulkah apa yang kita buat ni? Abang tak rasa Raisya akan menderita nanti? Takut muda-mudah dah menjanda.” Terpacul ayat itu dari mulut mak sebaik sahaja kelibat Raisya menghilang.

“Ish,awak ni. Ke situ pula. Ya, memanglah Putra tu sakit tapi ajal maut tu di tangan Tuhan. Lagipun awak nampak sendiri kan anak kita tu betul-betul sayangkan budak tu. Kalau kita melarang pun, Raisya pasti susah hati. Saya yakin anak kita tu bijak membuat penilaian.” Berjela-jela penjelasan abah membuat mak mendiamkan diri. Bercakap dengan abah memang tak boleh menang.

“Dah besar Raisya tu kan. Tak sangka masa begitu pantas berlalu.”

“Ya, awak pun dah makin tua. Dah boleh jadi nenek pun.Aduh!” abah mengaduh kesakitan bila mak mencubit lengan abah.

“Amboi mengata orang! Awak pun sama.”

“Ya,ya kita berdua sama. Sama-sama tua.”tawa mereka pecah . Masing-masing mengusik tak mahu kalah. Raisya yang memerhati dari jauh mengukir senyum. Memerhati kemesraan mak dan abah dengan rasa syukur. Tiba-tiba dia teringatkan Putra yang ditinggalkan begitu sahaja di taman. Akibat terlalu ikutkan kata hati.

Raisya memeriksa telefon bimbit. Ada mesej daripada Putra.

“Assalammualaikum Raisya. Awak dah sampai rumah ke? Maaflah atas insiden petang tadi. Saya tak berniat pun nak melukakan hati awak.”

Itulah Putra, tidak pernah ambil hati dengan tingkahnya yang ada waktu terburu-buru.

Raisya membuat panggilan.

“Hello,assalammualaikum,”Putra menjawab.

“Waalaikumussalam. Awak,saya minta maaf pasal hal tadi. Saya tinggalkan awak macam tu je.”

“Tak apa. Saya faham. Awak kalau marah,singa pun surrender tau. Saya ni je yang boleh tahan,”Raisya mengetap bibir menahan geram. Suka betul kenakan aku.

“Awak balik naik apa tadi?”

“Jalan kaki.”jawab Putra pantas.

“Ha? Awak biar betul?” Putra mengekeh ketawa bila mendengar nada suara Raisya. Kenakan aku lagilah tu! Gerutu Raisya.

“Memang tak betul. Saya balik naik teksi. Ya lah kan. Ada orang tu konon tak bagi saya drive. Alih-alih kita kena tinggal. Hurm,nasib.” Putra sengaja meniupkan lagi rasa bersalah di hati Raisya.

“Awak,saya kan dah minta maaf. I’m really sorry,okay?”

“Ya, saya maafkan, sayang. Saya pun nak minta maaf juga. Buat awak marah. Awak,saya nak minta sesuatu.Boleh?”

“Apa dia?” soal Raisya.

“Awak ulang balik ayat yang awak cakap kat saya malam semalam. Saya nak dengar sebelum saya tidur.”

“Ayat mana ni?” Raisya buntu. Ayat apa pula yang aku cakap semalam?

“Yang awak sayangkan saya tu.” Merah muka Raisya mendengar ayat tersebut. Alamak,ayat tu keluar spontan. Mana boleh dibuat-dibuat. Saja je la Putra ni.

“Mana boleh ulang-ulang. Sekali cakap sudah.”

“Haa,mesti muka awak tengah merah macam pakai blusher sekarang ni betul tak?”Putra mengusik dalam deraian tawa. Ish,bencinya aku bila kena macam ni! Bentak Raisya.

“Baiklah saya nak tidur!” Raisya menamatkan usikan Putra. Putra faham buah hatinya sedang menahan malu. Bukan selalu Raisya berkata sayang pada dirinya. Semalam dia betul-betul terharu. Namun mengenangkan keadaan dirinya, Putra jadi sedih kembali.

“Awak,pertimbangkanlah permintaan saya petang tadi okay? Saya hanya nak awak bahagia macam perempuan lain.”

“Dahla awak. Saya tak nak bincang hal tu lagi. Saya nak tidur. Take care.Assalammualaikum.” talian diputuskan. Sedikit pun dia tidak memberitahu Putra akan misinya bersama mak dan abah esok. Misi rahsia keluarga Haji Amran.