Tuesday, January 03, 2012

Dialah di hati 2

Tidur Hafeeza terganggu bila terdengar suara orang berbual-bual di luar biliknya. Kepalanya masih sakit tapi sudah mula berkurangan. Dia tak tahu apa yang terjadi sehinggalah dia dibawa ke klinik. Setelah mendapat rawatan, doktor memberikan cuti sakit bagi membolehkannya berehat. Cikgu Shafiq selaku guru bertugas minggu ini yang menghantarnya pulang.
“Assalammualaikum,”
“Waalaikumussalam,” Hafeeza menjawab salam. Asri tersengih di muka pintu.
“Aku datang nak buat kunjungan sosial ni. Boleh?” ada-ada je si Ayie ni.
“Masuklah Ayie. Kalau aku tak bagi masuk pun kau akan tetap masuk kan.” Balas Hafeeza. Masak benar dengan perangai temannya itu. Rumahnya ibarat rumah kedua Asri. Segala selok-belok dan ceruk rumah ini Asri sudah biasa. Hafeeza cuba bangun.
“Eh, kau tu sakit tak payahla bangun. Rehat. Aku nak tengok kau tu okay ke tak. Tu je.” Asri menghalang Hafeeza daripada bangkit. Pantas dia membetulkan bantal Hafeeza di kepala katil. Hafeeza menyandarkan kepalanya.
“Kau ni aku bukan sakit kronik tau. Hidup lagilah. Layan aku macamlah aku ni dah nak mati.” Serentak dengan itu satu cubitan singgah di lengannya. Menjerit kesakitan Hafeeza dibuatnya. Dia menggosok tempat cubitan sambil memuncungkan mulutnya. Pedih!
“Mulut tu tak reti nak berlapik ke bila bercakap. Tu baru kena cubit tau. Kalau cakap bukan-bukan lagi aku cium kau terus.” Asri memberi amaran. Hafeeza mengetap bibir. Gila ke apa budak Ayie ni. Ingat aku ni siapa boleh cium sesuka hati?
“Apa bising-bising ni Feeza?Ayie? Sampai ke dapur dengar suara kamu.” Sudah, mak dah masuk campur.
“Feeza ni makcik. Dia degil. Nak bangun dari katil. Kan doktor dah pesan suruh berehat.”Hafeeza mengecilkan matanya tanda geram dengan penjelasan Asri. Mak tersenyum kecil tatkala mendengar penjelasan Asri. Dulang berisi semangkuk bubur dan segelas air diletakkan di atas meja belajar Hafeeza.
“Kamu berdua ni kalau sehari tak bertegang urat tak sah. Feeza, sakit lagi kepala tu?” tanya mak.
“Dah kurang sikit mak. Mak jangan risau. Feeza okay.”
“Kalau macam tu baguslah. Makan bubur tu. Mak nak ke dapur. Ayie tolong tengokkan Feeza ye.”
“Baik makcik. Perintah makcik akan saya patuhi.” Mak memukul bahu Asri sambil ketawa. Rasanya mak pun dah mati akal nak melayan kerenah Asri.
“Doktor cakap kau sakit apa?” Asri menarik kerusi lalu duduk di sisi Hafeeza.
“Doktor cakap aku kurang rehat. Stress. So, dia suruh aku rehat hari ni. Tak ada apa-apa yang serius pun.” Jawab Hafeeza.
“Nasib baik tak jadi apa-apa.”
“Itulah. Alhamdulillah. Panik jugak aku. Ye la mana pernah pengsan. Tau-tau aku dah sampai klinik. Eh, siapa angkat aku ye? Takkan Cikgu Shafiq kot?” tanya Hafeeza. Kalau Cikgu Shafiq alahai malunya. Sudahlah wajah boleh tahan kacak. Macam manalah kau boleh pengsan,Feeza oi ! sempat Hafeeza menggerutu di dalam hati.
“Tak ada maknanya Cikgu Shafiq. Aku yang angkat kau pergi bilik sakit. Berat jugak kau ni kan. Kampit beras Cap Rambutan tu pun lagi ringan. Lenguh tangan aku dibuatnya.” Ujar Asri sambil menggosok lengannya yang konon terasa lenguh. Serentak dengan itu bertubi-tubi cubitan singgah di peha Asri. Fairand square. Tidak cukup dengan itu kepala Asri diluku.Terjerit-jerit Asri mengaduh kesakitan.Hafeeza pengsan betul-betul di hadapan mejanya pagi tadi. Disebabkan terkejut bukan kepalang, dia terus mencempung tubuh Hafeeza dan bergegas ke bilik sakit yang terletak selang dua kelas dari kelas mereka. Waktu itu fikirannya memang tertumpu pada keadaan Hafeeza. Wajah pucat Hafeeza menyuntik kebimbangan yang bukan sedikit dalam hatinya.
“Oi!Beras sekampit baru 10 kg memangla ringan bagi kau. Aku ni manusia,apa kejadahnya berat aku sama dengan sekampit beras. Agak-agakla nak buat perbandingan pun. Cuba bijak sikit. Kata ambik Add Math.” Sekali lagi Asri ketawa. Wajah Hafeeza masam mencuka. Bengang betul aku dengan mamat ni. Aku yang baru 42 kg ni dia kata berat?
“Alolo. Dah tak boleh gurau dah sekarang. Okay, aku minta maaf ya Cik Hafeeza sayang.” ujar Asri sambil menahan ketawa. Apa kaitan ambil subjek Add Math dengan berat badan ni? Budak ni kalau dah marah suka hati je nak cakap apa. Entah apa-apa ayat meluncur dari mulut tu.
“Apa senyum-senyum? Kutuk aku dalam hatilah tu.” Hafeeza merenung muka Asri. Tajam. Kalaulah mata Hafeeza tu macam mata pisau, alamat dah calar-balar wajahnya.
“Dah,jangan nak marah-marah. Macam mana tak stress asyik nak mengamuk je. Meh sini, aku suapkan bubur yang mak kau masak ni. Hurmm…sedapnya bau,” Asri mendekatkan mangkuk bubur ke hidungnya. Menusuk kalbu,apatah lagi perut. Asri mengacau bubur sebelum disuakan ke mulut Hafeeza.
“Bak sini. Aku boleh makan sendiri. Yang sakit kepala, bukan tangan.” Hafeeza mahu mengambil mangkuk bubur dari pegangan Asri namun dihalang.
“Tak apalah. Aku bagi layanan kelas pertama ni kat kau. Tak kena caj. Cepat nganga, aaaaaa…..”
“Weh, kau tak payahlah nak suruh aku nganga sampai macam tu sekali. Ingat aku budak kecik ke.”
“Jangan membantah boleh? Makan cepat!” terpaksa Hafeeza membuka mulut kerana tidak sanggup mendengar temannya itu membebel. Kenapalah aku selalu sangat dengar cakap mamat ni? Pelik betul.
“Hurm, sedap.” Pendek penjelasan Hafeeza tatkala bubur yang ditelan melepasi kerongkong. Mata terpejam  menikmati air tangan mak yang baginya tiada tolok banding. Asri hanya memandang aksi Hafeeza dengan wajah keliru. Seketika kemudian Hafeeza membuka mata. Pandangan mereka bertembung.
“Kenapa?” soal Hafeeza.
“Sampai macam tu sekali ekspresi. Sedap eh mak kau masak? Tu kira ekspresi tak terkatalah ya?” Hafeeza ketawa kecil.
“Okay, beta mahu lagi. Sila suapkan beta.” Ujar Hafeeza sambil mengangakan mulutnya. Asri menyuakan sudu tetapi….
“Mmmmmm….lazatnya tidak terperi..”
“Ayie!” tanpa mempedulikan jeritan Hafeeza, Asri menyuap bubur untuk kali kedua…ketiga…keempat untuk dirinya.
“Ni siapa yang sakit ni?” sindir Hafeeza sambil berpeluk tubuh. Geram sungguh dengan tingkah Asri.
“Aku pun nak juga merasa kenikmatan bubur ni. Mana aci kan.”
“Aci tak aci. Bagila aku makan sendiri. Harapkan pagar,pagar makan bubur.”
“Okay,okay. Ala mucuk,meh abang suapkan ye.” Asri ketawa besar melihatkan Hafeeza yang sudah menarik muka masam.
“Apa kecoh-kecoh ni Ayie? Sampai luar mak dengar.” Tidak semena-mena wajah Makcik Rakina, ibu Asri tersembul di muka pintu. Apa saja yang dibuat budak-budak berdua ni.
“Tak ada apa-apa mak. Feeza ni degil tak nak makan. Mengada-ngada.” Asri memberi penjelasan yang pastinya adalah sangat tidak jujur pada pendengaran Hafeeza. Ingin sekali dia membela diri namun mengenangkan Asri yang semestinya tidak akan mengalah,dia hanya melemparkan senyuman pada Makcik Rakina.
“Iyelah tu. Tu tak lain tak bukan Ayie menyakat Feeza lah tu. Dah, balik rumah. Jangan ganggu Feeza nak berehat.”
“Tapi mak…”
“Ayie,sekarang.” Hafeeza menjelirkan lidah tanda kemenangan berpihak padanya. Makcik Rakina memang penyelamat. Kalau tak bukan makin sembuh, mahu makin sakit aku dibuatnya selagi Asri tidak beredar. Perlahan Asri menghulurkan mangkuk bubur kepada Hafeeza dengan wajah kelat. Kalau ibunya sudah berkeras,baik dia menurut.
Asri mengikuti langkah ibunya keluar dari bilik. Sempat dia menoleh pada Hafeeza. Hafeeza melambai-lambai tangannya mengucapkan selamat tinggal. Asri mendecit geram.

No comments: