Friday, July 23, 2010

Hampa

Minggu-minggu yang aku lalui cukup memeritkan. Umpama layang-layang putus talinya, aku seolah terawang tanpa tujuan. Aku bukan manusia sempurna, tapi aku cuba melakukan sehabis baik jika berkaitan dengan tugas di tempat kerja. Entahlah, sebaik mana aku mencuba,pasti ada saja kesilapan di mana-mana. Acuan pemikiran tidak sama. Ya, mungkin seorang lepasan ijazah sarjana muda yang hanya menjawat jawatan pembantu tadbir memang sama sekali tidak berhak membuat keputusan. Sama sekali tidak boleh biarpun itulah yang aku fikirkan logik di kala itu. Niat ingin meringankan beban disalah erti, sebaliknya dipersalahkan kerana melangkau kuasa. Melangkaukah?

Namun aku cuba memahat reaksi positif dalam diri biarpun hanya Allah yang tahu betapa aku sudah penat dengan semua ini. Pasti selepas ini kesalahan sahaja yang orang akan ingati. Biar sebanyak mana kita pernah menabur budi menyiram bakti berkorban diri. Kesilapan juga yang dikenang orang. Lantaran ketegangan yang aku alami memberi impak negative pada suasana sekelilingku. Maaf ku pinta kepada teman-teman yang aku kasari sama ada dalam sedar atau tidak. Bukan aku tidak cuba melalui keadaan tersebut secara tenang, malangnya aku gagal meladeni emosi di samping tubuh badan yang sudah letih dihambat bekerja lebih 8 jam sehari.

Sendirian menanggung derita…memang pahit. Teman ketawa senang dicari, bila menangis sendirian mengubati.

Aku tak tahu apa lagi harus ku perbuat.

Ya Allah bantulah hamba-Mu ini yang khilaf dan ku mohon masalah dapat diatasi dengan berhemah dan sabar. Lembutkan hati mereka Ya Allah…

No comments: