Friday, November 27, 2009

Luka di hati tak siapa tahu

"Saya tak tahu sama ada nak beritahu awak atau tidak."
"Kenapa?"
"Rasa berat hati nak beritahu"
"Apa benda yang berat sangat tu. Jomlah kita pergi timbang. Nak juga saya tahu berapa berat 'beban' yang awak pikul sekarang," Maisara ketawa. Cuba merubah wajah mendung yang menyelimuti wajah sahabatnya, Sufian. Sufian ikut ketawa. Adakah kau akan ketawa gembira seperti ini setelah mendengar pengakuanku ini, Mai? Hatinya berbisik resah.

"Mai, sebenarnya saya dah bertunang. Dah 2 minggu dah." Ketawa Maisara sirna tiba-tiba. Jantungnya seolah-olah berhenti berdegup. Darah menyerbu naik ke muka. Betulkah apa yang aku dengar ni? Aku tak salah dengar kan? Dalam kekalutan Maisara cuba mengumpul kekuatan menatap wajah pemuda yang disayanginya dalam diam.

“Tahniah, Pian. Lepas ni tak bolehlah kita selalu jumpa macam ni. Tak baik nanti tunang awak salah sangka. Bertuah perempuan tu kan. Saya doakan awak bahagia,” Maisara mengukir senyum tetapi begitu kelat dirasakan. Air matanya sudah bergenang di pelupuk mata. Berguguran jatuh di pipinya. Cepat-cepat dia menyeka.

“Awak menangis Mai?” Sufian mula panik. Dia tidak tahu harus berbuat apa. Hatinya luka melihat sahabat baiknya mengalirkan air mata. Sufian tidak faham apa yang dirasakan. Melihat Maisara bersedih, hatinya turut merasa pedih.

“Saya bukan menangis sedihlah Pian. Saya gembira untuk awak. Perempuan biasalah, hati tisu. Gembira menangis, sedih pun ya.” Maisara cuba mengaburi Sufian dengan penjelasannya. Sedangkan ayat itu sebenarnya adalah untuk memujuk dirinya sendiri.

“Saya harap pertunangan saya tidak mengubah apa-apa antara kita Mai. Maisara, awak sahabat baik saya sampai akhir hayat,” penuh perasaan Sufian menuturkan kata-kata. Maisara merenung mata Sufian. Maisara nampak keikhlasan dalam anak matanya. Kau bukan sekadar sahabat baikku, Pian. Kau sebenarnya nadi hidupku. Tapi Allah tidak mentakdirkan kita untuk bersama. Aku terluka sungguh. Ya Allah berilah aku kekuatan untuk meredhai takdir yang Kau tuliskan untukku. Dalam kesayuan Maisara merintih.

“Sempena meraikan pertunangan awak, saya belanja awak makan hari ni. Boleh?” Sufian tersenyum setuju. Hari ini hari terakhir kita, Pian. Selepas ini, aku akan merawat luka yang kau tinggalkan. Entah sembuh entah tidak....


Menulis tanpa dirancang.Ada sesiapa kat luar sana yang boleh bantu aku sambung next episode?:p

1 comment:

Lara said...

kak ni cerpen ker petikan dari novel..sedih jer citer nihhh