Friday, November 27, 2009

Kurelakan kau pergi

Deringan telefon berlagu ‘Nur Kasih’ dibiar sepi tidak berjawab. Maisara arif benar siapa pemanggilnya. Dia merenung lesu telefon bimbit yang terletak di atas katil. Maisara masih lagi berteleku di sejadah. Dia mahu mengadu pada Allah akan kepedihan hatinya. Dia mahu memohon kepada Allah agar dikurniakan ketabahan dalam meniti liku-liku hidup selagi dia bernafas di muka bumi. Bukan mudah untuknya bangun sekitar jam 2 pagi ini namun sedaya-upaya dia mentarbiyahkan diri. Kesepian ini menghadiahkan ketenangan buat jiwanya yang gersang. Dia masih ingat nasihat sahabatnya, carilah cinta Allah,nescaya setelah itu cinta manusia akan hadir.

Dengan telekung yang masih membaluti dirinya, dia menggapai telefon bimbitnya yang telah berhenti berdering. Ada pesanan ringkas untuknya daripada Sufian.

“Assalammualaikum Mai. Kenapa awak menyepi? Awak dah tak anggap saya sahabat awak lagi?”

Maisara mengetap bibir lalu membawa telefon tepat ke dadanya. Apalah yang mampu kulakukan Ya Allah. Aku mencintainya tapi aku juga tidak mahu kemurkaan-Mu. Dia milik orang Ya Allah. Aku tak mampu menipu hatiku kerana setiap kali berdepan dengannya aku semakin takut kehilangannya. Aku harap dia mengerti.

“Mai, bangun Mai. Panas badan kau ni. Kita ke klinik?” Isma meletakkan tangannya ke dahi Maisara. Maisara membuka matanya perlahan-lahan.

“Tak apalah Isma. Kejap lagi baiklah,” tutur Maisara lemah. Ismaliza menggeleng kepala melihat kedegilan Maisara. Cukup pantang bila hendak dibawa berjumpa doktor.

“Jangan macam ni Mai. Aku risaukan kau. Panas sangat ni. Nanti jadi apa-apa kita berdua juga yang susah. Aku hantarkan kau.” Ismaliza cuba memujuk.

“Isma, aku nak minta tolong kau boleh?” Maisara cuba bangkit sambil dibantu Isma. Maisara menarik laci mejanya. Sebuah kotak berbalut rapi diambil dan diletakkan di telapak tangan Isma. Isma terpinga-pinga tidak mengerti.

“Isma, hari ni Sufian akan kahwin. Tapi dengan keadaan aku macam ni aku tak mampu nak pergi. Boleh tak kau wakilkan aku dan berikan dia hadiah ni Isma?” Isma menatap wajah Maisara yang sudah dibasahi air mata. Ada sendu yang terbit dari bibir. Isma memeluk sahabatnya erat.

“Insya Allah Mai. Tapi janji dengan aku, kau ikut aku ke klinik,boleh?” Isma mengenakan syarat.

“Baiklah bos. Nanti lepas kau kahwin, dah tak ada lagi orang nak tengokkan sakit pening aku,” ujar Maisara. Isma juga bakal menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi. Tinggallah dia sendirian di rumah ini. Rumah milik ibu saudaranya yang disewakan kepada mereka berdua.

“Mai, aku akan selalu jenguk kau. Kita kan dah lama berkawan dari sekolah sampai sekarang. Kau sahabat aku dunia akhirat,Mai,” ayat terakhir Isma mengimbau pertemuan terakhirnya dengan Sufian. Ayat yang sama pernah dituturkan Sufian buatnya.


Isma memegang kemas hadiah kiriman Maisara. Dia memanjangkan lehernya mencari kelibat Sufian. Para tetamu semakin berkurangan memandangkan waktu juga hampir menunjukkan jam 4 petang. Jika dirujuk pada kad jemputan, majlis berakhir pada pukul 3.00 petang.

Akhirnya kelibat Sufian yang dinanti muncul juga. Sufian kelihatan segak tapi Isma perasan wajahnya agak sugul sedikit. Agaknya Sufian sedih sahabat baiknya tidak hadir pada hari bahagianya? Terkenangkan Maisara, Isma jadi sayu. Betapa dalamnya cinta sahabatnya kepada Sufian.Kenapa Sufian tak nampak semua tu? Seperti ada kuasa psikik, Sufian menoleh pada Isma yang berdiri tegak di bawah khemah yang masih belum ditanggalkan. Isma melempar senyum sambil melangkah ke arah Sufian.

"Maisara tak dapat datang. Aku mewakilkan dia," Isma menjelaskan kehadirannya.

"Kenapa? Aku harap sangat dia dapat datang," ujar Sufian. Saya rindukan awak,Maisara,keluhnya.

"Pian, kau terimalah hadiah daripada insan yang telah kau hancurkan hatinya. Kau takkan faham apa yang dia rasa tapi aku faham. Jangan cari dia lagi, Pian. Kau teruskanlah hidup kau dengan isteri tercinta." Ketegasan suara Isma membuat Sufian terkedu. Maisara mencintai aku?

"Tapi Isma-"

"Tolong Pian. Dia dah cukup menderita. Dia jatuh sakit sebab tu dia tak dapat datang. Aku tahu Maisara mesti marahkan aku kalau dia tahu aku beritahu kau semua ni. Tapi aku tak sanggup nak menahan rasa sakit hati aku pada kau,Pian.Maafkan aku. Aku minta diri."

Sufian membawa hadiah kiriman Isma daripada Maisara ke dalam kamar. Isterinya pasti masih sibuk di dapur. Perlahan dia membuka balutan. Satu lakaran yang dilukis sendiri oleh Maisara. Dibingkaikan cantik.Gambar dia dan isterinya. Maisara memang berbakat dalam lukisan. Sufian membaca ayat yang ditulis sendiri di hujung kertas: Semoga kalian tabah menongkah arus dalam rumahtangga.Ikhlas dari sahabatmu.Serta-merta segala kenangan manis bersama Maisara tergambar di ruang mata. Hatinya sebak seolah-olah dia kehilangan sesuatu yang amat dekat di hatinya.

Ya Allah, kau berikanlah kebahagiaan buat sahabatku, Maisara. Maafkan aku kerana melukainya.Sungguh aku menyayanginya Ya Allah.Lindungilah dia.

2 comments:

ajan said...

tak termiliki....karya tulus hati..penuh dgn emosi,...(ajan- new york post)

Nashrin said...

poyo sungguh ajan