Sunday, March 04, 2012

Dialah Di Hati 1-2

1
Pondok menunggu bas Taman Megah. Berbumbungkan separuh atap dan langit. Sebahagiannya telah terkopak namun tiada apa-apa tindakan dari pihak berwajib. Ruang yang terhad hanya mampu memuatkan sepuluh orang dalam satu masa.Daif benar.
Hafeeza berdiri di sebalik tiang. Berpeluk tubuh. Matanya memerhati setiap kenderaan yang lalu-lalang di atas jalanraya di hadapannya. Seorang demi seorang menyusul. Kebanyakan yang menunggu adalah pelajar sepertinya juga. Yang berbeza adalah sekolah mereka. Ada 2 sekolah menengah di kawasan ini.
Semakin lama pondok menunggu ini semakin padat. Sebentar lagi harus bersaing pula untuk menaiki bas. Kalau tak berebut, alamat kena menunggu lagi. Pagi-pagi begini konsep survival of the fittest terpaksa diamalkan. Bilalah seksa ni nak habis,rungut Hafeeza dalam hati. Tahun ini dia berada dalam Tingkatan Empat. Tahun depan Tingkatan Lima. Tahun penentu. Masih ada kurang 2 tahun untuk melalui zaman persekolahan.
“Kenapa kau ni?” Azza, teman sekelasnya menegur. Hafeeza merenung temannya dengan pandangan keliru.
“Muka tu dah masam macam asam kecut. Pagi-pagi dah berkerut.  Tak elok tau. Orang kata nanti payah rezeki nak masuk.”
“Tak ada apalah. Cuma bosan tunggu bas macam ni hari-hari. Tak sabar nak habis sekolah!” balas Hafeeza.
“Hai, nak tak nak kita kena hadap la juga sampai tahun depan,Feeza. Kalau tak naik bas, kau nak naik apa pula? Takkan nak suruh abah kau hantarkan pulak? Mengamuk orang tua tu kang.” Giliran Azza pula membalas.
“Ish, aku pun tak nak la menyusahkan abah aku. Best kan kalau ada driver. Boleh bawak mana je kita suka. Kita arah je.Driver, saya nak ke sekolah. Petang nanti saya ada hockey training. Hantar dan ambil saya di sekolah ya.” Azza ketawa kecil mendengar luahan Hafeeza. Betul juga,fikirnya. Dia sendiri pun sebenarnya sudah bosan melalui rutin sebegini.
“Ye tak ye kan. Seronok betul kalau ada driver. Apa lagi belajarlah rajin-rajin. Dapat kelulusan cemerlang, kerja bagus, gaji besar boleh la kau ‘hire’ driver. Tak gitu?”
“Berangan bolehla Azza. Ujian baru ni pun markah cukup makan.  Boleh semua subjek sains aku dapat 7 je.Siapalah yang cakap Form Four ni honeymoon year. Aku rasa setengah mati nak mencerap ilmu ‘pure science’ ni.”
“Samalah dengan aku. Tak apa, kita ada banyak masa lagi nak catch up. Jangan putus asa. Lagi 2 minggu nak peperiksaan pertengahan ni. Kena buat yang terbaik. Pulun habis-habis!” ujar Azza dengan penuh semangat. Siap kepal penumbuk lagi.
“Amboi, teruja betul. Baguih dok ada. Semangat,semangat jugak. Bas dah sampai tu. Jom gerak, kang terlepas semangat ke mana, hati hangat yang dapat.” Hafeeza menarik tangan Azza sambil berlari-lari anak menuju ke arah bas yang telah pun berhenti di tepi jalan.
Semua pelajar telah mula memasuki perkarangan perhimpunan sewaktu Hafeeza dan Azza tiba di sekolah. Tak sempat nak letak beg dalam kelas. Bas yang mereka naiki mengalami kerosakan kecil sewaktu mereka hampir tiba ke destinasi. Terpaksalah mereka berjalan kaki. Mujurlah jarak antara tempat bas berhenti dan sekolah mereka tidaklah berapa jauh. Tapi berpeluh jugak kena menapak. Awal-awal dah rasa macam join kelas Pendidikan Jasmani walhal subjek tu pada waktu ketiga nanti. Mereka berdua terus memasuki barisan kelas. Dah lambat berdiri kat belakanglah jawabnya.  Perhimpunan pagi ini singkat sahaja. Tidak banyak pengumuman yang disampaikan para guru. Hafeeza menarik nafas lega. Tak larat rasanya nak berdiri tegak lama-lama. Sudahlah menunggu bas berdiri, dalam bas pun kena berdiri. Ditambah pula kena jalan kaki. Nak pitam rasanya akibat keletihan.
“Kenapa lambat?” satu suara menegur sebaik sahaja Hafeeza melabuhkan punggung di kerusi. Hafeeza mengangkat muka. Terjengul wajah Asri di hadapannya. Menantikan jawapan.
“Bas rosak pagi tadi. Kena jalan kaki.” Jawab Hafeeza malas. Kepenatan tadi mematikan mood.
“La,kenapa tak beritahu? Boleh aku tumpangkan tadi.” Balas Asri.
“Nak tumpangkan? Naik motor kau? Munasabahlah sikit Ayie. Takkan nak suruh aku dengan Azza naik pulak. Nak letak aku dalam bakul ke?” Asri atau nama panggilannya Ayie tergelak. Pasti dia sedang membayangkan keadaan yang digambarkan Hafeeza.
“Aku ajak kau je. Azza boleh jalan kaki. Kasi senaman sikit bagi mengurangkan berat badan.”
“Oo kau kalau pasal Feeza on je kan. Kurang asam keping betul! Hentak dengan kayu hoki baru tau.” Azza membaling kertas yang telah dikeronyok ke arah Asri yang masih belum habis tawanya.
“Ala gurau sikit pun tak boleh. Yela, sorry ye Cik Azza. Aku saja je nak menceriakan keadaan sebelum kelas Sejarah ni. Bagi warm up sikit sebelum aku terlelap.” Asri memberi alasan.
“Alamak, sejarah dulu ye pagi ni? Adoi,nampaknya sama-samalah kita terlelap Ayie oi. Stok gula-gula kau ada lagi tak? Minta sikit.” Azza mencelah. Sejarah? Hafeeza mengeluh. Aku ni dahla letih. Pagi-pagi lagi dah subjek membunuh keupayaan mata aku untuk terus buntang. Kepala ni pulak time-time ni nak berdenyut.
“Ada lagi. Nah,ambikla Hallz ni. Share dengan Feeza.” Asri menghulurkan gula-gula pudina ke tangan Azza. Azza menerima dengan ucapan terima kasih. Sebiji dihulurkan kepada Hafeeza. Hafeeza menyambut pemberian Azza. Kertas pembalut gula-gula dibuang serta-merta. Cepat-cepat dia memasukkan gula-gula ke dalam mulut.Kemudian kepalanya direbahkan atas meja. Asri dan Azza memandang dengan curiga. Kenapa pula dengan Feeza ni?
“Feeza, kau ok tak?” soal Azza. Tangannya memegang bahu Hafeeza.
“Ok…”jawab Hafeeza perlahan.”Nanti cikgu dah masuk kau beritahu ye. Aku penatlah jalan kaki tadi.”
“Minta perhatian semua. Pagi ni Cikgu Nafisa tak masuk kelas sebab ada hal penting. Cuma dia ada tinggalkan kerja untuk kita bentangkan pada hari esok. Rujuk buku teks mukasurat 21 dan 22. Setiap kumpulan pilih topic berdasarkan nombor kumpulan yang telah dipilih minggu lepas. Itu sahaja.” Selesai sahaja ketua kelas menyampaikan amanat, kelas bertukar menjadi riuh-rendah. Sama ada sedang bergembira sebab tiada guru atau merungut  dengan kerja yang diberikan.
Hafeeza mengangkat muka. Alhamdulillah, macam tau-tau je aku tak berapa sihat,bisik Hafeeza. Kepalanya makin kuat berdenyut. Dia melirik ke sebelah. Azza tiada di sisi. Oh, berjumpa dengan Shakir,ketua kelas. Barangkali nak tau lebih lanjut mengenai homework yang ditinggalkan Cikgu Nafisa.
“Feeza, are you okay? Kau nampak pucat.” Asri memandang wajahnya. Pucat?
“Mana ada kau ni Ayie merepeklah.” Hafeeza cuba menafikan walaupun sedang berada dalam kesakitan. Ya Allah,kuatkan semangat aku. Namun begitu tangannya sudah memicit dahi.
“No you are not okay. Nak pergi bilik sakit tak?”
“Tak apalah Ayie. Sakit kepala biasa je ni. Lama-lama nanti hilanglah. Aku nak ke tandas sekejap.” Asri ni selalu concern lebih. Sejak dari kecil  kenal dan berjiran memang Asri akan lebihkan dia dalam banyak hal. Sampai terbawa-bawa ke alam persekolahan. Kalau orang yang tak tahu mesti menyangka dia dan Asri ada hubungan istimewa. Yang dia tahu, dia memang rapat dengan Asri dan semasa kecil dia selalu menganggap Asri itu abang walaupun pada dasarnya mereka sebaya. Hubungan orang tua mereka juga sangat rapat. Maklumlah berjiranlah katakan.
Hafeeza mula melangkah namun tiba-tiba dia terasa pandangannya kabur. Dia cuba berpaut pada meja namun gagal mengimbangkan tubuhnya. Yang terlintas di fikiran tubuhnya ini akan terhempas ke lantai. Allah!
Hafeeza tidak ingat apa-apa lagi.















2.
Tidur Hafeeza terganggu bila terdengar suara orang berbual-bual di luar biliknya. Kepalanya masih sakit tapi sudah mula berkurangan. Dia tak tahu apa yang terjadi sehinggalah dia dibawa ke klinik. Setelah mendapat rawatan doktor memberikan cuti sakit bagi membolehkannya berehat. Cikgu Shafiq selaku guru bertugas minggu ini yang menghantarnya pulang.
“Assalammualaikum,”
“Waalaikumussalam,” Hafeeza menjawab salam. Asri tersengih di muka pintu.
“Aku datang nak buat kunjungan sosial ni. Boleh?” ada-ada je si Ayie ni.
“Masuklah Ayie. Kalau aku tak bagi masuk pun kau akan tetap masuk kan.” Balas Hafeeza. Masak benar dengan perangai temannya itu. Rumahnya ibarat rumah kedua Asri. Segala selok-belok dan ceruk rumah ini Asri sudah biasa. Hafeeza cuba bangun.
“Eh, kau tu sakit tak payahla bangun. Rehat. Aku nak tengok kau tu okay ke tak. Tu je.” Asri menghalang Hafeeza daripada bangkit. Pantas dia membetulkan bantal Hafeeza di kepala katil. Hafeeza menyandarkan kepalanya.
“Kau ni aku bukan sakit kronik tau. Hidup lagilah. Layan aku macamlah aku ni dah nak mati.” Serentak dengan itu satu cubitan singgah di lengannya. Menjerit kesakitan Hafeeza dibuatnya. Dia menggosok tempat cubitan sambil memuncungkan mulutnya. Pedih!
“Mulut tu tak reti nak berlapik ke bila bercakap. Tu baru kena cubit tau. Kalau cakap bukan-bukan lagi aku cium kau terus.” Asri memberi amaran. Hafeeza mengetap bibir. Gila ke apa budak Ayie ni. Ingat aku ni siapa boleh cium sesuka hati?
“Apa bising-bising ni Feeza?Ayie? Sampai ke dapur dengar suara kamu.” Sudah, mak dah masuk campur.
“Feeza ni makcik. Dia degil. Nak bangun dari katil. Kan doktor dah pesan suruh berehat.”Hafeeza mengecilkan matanya tanda geram dengan penjelasan Asri. Mak tersenyum kecil tatkala mendengar penjelasan Asri. Dulang berisi semangkuk bubur dan segelas air diletakkan di atas meja belajar Hafeeza.
“Kamu berdua ni kalau sehari tak bertegang urat tak sah. Feeza, sakit lagi kepala tu?” tanya mak.
“Dah kurang sikit mak. Mak jangan risau. Feeza okay.”
“Kalau macam tu baguslah. Makan bubur tu. Mak nak ke dapur. Ayie tolong tengokkan Feeza ye.”
“Baik makcik. Perintah makcik akan saya patuhi.” Mak memukul bahu Asri sambil ketawa. Rasanya mak pun dah mati akal nak melayan kerenah Asri.
“Doktor cakap kau sakit apa?” Asri menarik kerusi lalu duduk di sisi Hafeeza.
“Doktor cakap aku kurang rehat. Stress. So, dia suruh aku rehat hari ni. Tak ada apa-apa yang serius pun.” Jawab Hafeeza.
“Nasib baik tak jadi apa-apa.”
“Itulah. Alhamdulillah. Panik jugak aku. Ye la mana pernah pengsan. Tau-tau aku dah sampai klinik. Eh, siapa angkat aku ye? Takkan Cikgu Shafiq kot?” tanya Hafeeza. Kalau Cikgu Shafiq alahai malunya. Sudahlah wajah boleh tahan kacak. Macam manalah kau boleh pengsan,Feeza oi ! sempat Hafeeza menggerutu di dalam hati.
“Tak ada maknanya Cikgu Shafiq. Aku yang angkat kau pergi bilik sakit. Berat jugak kau ni kan. Kampit beras Cap Rambutan tu pun lagi ringan. Lenguh tangan aku dibuatnya.” Ujar Asri sambil menggosok lengannya yang konon terasa lenguh. Serentak dengan itu bertubi-tubi cubitan singgah di peha Asri. Fair and square. Tidak cukup dengan itu kepala Asri diluku.Terjerit-jerit Asri mengaduh kesakitan.Hafeeza pengsan betul-betul di hadapan mejanya pagi tadi. Disebabkan terkejut bukan kepalang, dia terus mencempung tubuh Hafeeza dan bergegas ke bilik sakit yang terletak selang dua kelas dari kelas mereka. Waktu itu fikirannya memang tertumpu pada keadaan Hafeeza. Wajah pucat Hafeeza menyuntik kebimbangan yang bukan sedikit dalam hatinya.
“Oi!Beras sekampit baru 10 kg memangla ringan bagi kau. Aku ni manusia,apa kejadahnya berat aku sama dengan sekampit beras. Agak-agakla nak buat perbandingan pun. Cuba bijak sikit. Kata ambik Add Math.” Sekali lagi Asri ketawa. Wajah Hafeeza masam mencuka. Bengang betul aku dengan mamat ni. Aku yang baru 42 kg ni dia kata berat?
“Alolo. Dah tak boleh gurau dah sekarang. Okay, aku minta maaf ya Cik Hafeeza sayang.” ujar Asri sambil menahan ketawa. Apa kaitan ambil subjek Add Math dengan berat badan ni? Budak ni kalau dah marah suka hati je nak cakap apa. Entah apa-apa ayat meluncur dari mulut tu.
“Apa senyum-senyum? Kutuk aku dalam hatilah tu.” Hafeeza merenung muka Asri. Tajam. Kalaulah mata Hafeeza tu macam mata pisau, alamat dah calar-balar wajahnya.
“Dah,jangan nak marah-marah. Macam mana tak stress asyik nak mengamuk je. Meh sini, aku suapkan bubur yang mak kau masak ni. Hurmm…sedapnya bau,” Asri mendekatkan mangkuk bubur ke hidungnya. Menusuk kalbu,apatah lagi perut. Asri mengacau bubur sebelum disuakan ke mulut Hafeeza.
“Bak sini. Aku boleh makan sendiri. Yang sakit kepala, bukan tangan.” Hafeeza mahu mengambil mangkuk bubur dari pegangan Asri namun dihalang.
“Tak apalah. Aku bagi layanan kelas pertama ni kat kau. Tak kena caj. Cepat nganga, aaaaaa…..”
“Weh, kau tak payahlah nak suruh aku nganga sampai macam tu sekali. Ingat aku budak kecik ke.”
“Jangan membantah boleh? Makan cepat!” terpaksa Hafeeza membuka mulut kerana tidak sanggup mendengar temannya itu membebel. Kenapalah aku selalu sangat dengar cakap mamat ni? Pelik betul.
“Hurm, sedap.” Pendek penjelasan Hafeeza tatkala bubur yang ditelan melepasi kerongkong. Mata terpejam  menikmati air tangan mak yang baginya tiada tolok banding. Asri hanya memandang aksi Hafeeza dengan wajah keliru. Seketika kemudian Hafeeza membuka mata. Pandangan mereka bertembung.
“Kenapa?” soal Hafeeza.
“Sampai macam tu sekali ekspresi. Sedap eh mak kau masak? Tu kira ekspresi tak terkatalah ya?” Hafeeza ketawa kecil.
“Okay, beta mahu lagi. Sila suapkan beta.” Ujar Hafeeza sambil mengangakan mulutnya. Asri menyuakan sudu tetapi….
“Mmmmmm….lazatnya tidak terperi..”
“Ayie!” tanpa mempedulikan jeritan Hafeeza, Asri menyuap bubur untuk kali kedua…ketiga…keempat untuk dirinya.
“Ni siapa yang sakit ni?” sindir Hafeeza sambil berpeluk tubuh. Geram sungguh dengan tingkah Asri.
“Aku pun nak juga merasa kenikmatan bubur ni. Mana aci kan.”
“Aci tak aci. Bagila aku makan sendiri. Harapkan pagar,pagar makan bubur.”
“Okay,okay. Ala mucuk,meh abang suapkan ye.” Asri ketawa besar melihatkan Hafeeza yang sudah menarik muka masam.
“Apa kecoh-kecoh ni Ayie? Sampai luar mak dengar.” Tidak semena-mena wajah Makcik Rakina, ibu Asri tersembul di muka pintu. Apa saja yang dibuat budak-budak berdua ni.
“Tak ada apa-apa mak. Feeza ni degil tak nak makan. Mengada-ngada.” Asri memberi penjelasan yang pastinya adalah sangat tidak jujur pada pendengaran Hafeeza. Ingin sekali dia membela diri namun mengenangkan Asri yang semestinya tidak akan mengalah,dia hanya melemparkan senyuman pada Makcik Rakina.
“Iyelah tu. Tu tak lain tak bukan Ayie menyakat Feeza lah tu. Dah, balik rumah. Jangan ganggu Feeza nak berehat.”
“Tapi mak…”
“Ayie,sekarang.” Hafeeza menjelirkan lidah tanda kemenangan berpihak padanya. Makcik Rakina memang penyelamat. Kalau tak bukan makin sembuh, mahu makin sakit aku dibuatnya selagi Asri tidak beredar. Perlahan Asri menghulurkan mangkuk bubur kepada Hafeeza dengan wajah kelat. Kalau ibunya sudah berkeras,baik dia menurut.
Asri mengikuti langkah ibunya keluar dari bilik. Sempat dia menoleh pada Hafeeza. Hafeeza melambai-lambai tangannya mengucapkan selamat tinggal. Asri mendecit geram.

Dah lama aku tak mengarang dan yang pastinya semua half way.Sangat tak best.I wish dpt pergi vacation sambil menulis.

No comments: