Sunday, September 06, 2009

Solusi

Dalam beberapa hari ini, aku menelaah majalah Solusi yang dipinjamkan oleh seorang sahabat. Bagi insan yang ketandusan petunjuk sepertiku, majalah ini ku ibaratkan seperti setitis air yang mampu membasahi dan melembutkan kekerasan sekeping hati. Manakan tidak,setiap artikel yang dipersembahkan membuatkan pembaca seringkali meraup wajah menginsafi diri. Bahawa kita sering terlupa kita adalah hamba yang tidak pernah henti merindui Sang Pencipta.

Tidak terhitung air mata yang tumpah sewaktu aku membaca kolum Dr. Sidek Baba mengenai perjuangannya dalam menuntut ilmu sewaktu era persekolahannya. Era selepas negara diiktiraf bebas dari penjajah. Menagih pengorbanan, pemeliharaan maruah dan kemelut kemiskinan yang hampir merobek semangat anak-anak muda yang dahagakan wadah ilmu demi untuk keluar dari belenggu kesusahan material.

Berbeza sekali dengan zaman kita sekarang. Kebanyakan ibu bapa mampu memberikan pendidikan buat anak-anak sehingga ke peringkat yang tertinggi. Namun tidak ramai yang terpanggil untuk menyahut seruan ilmu. Baik secara formal mahu pun tidak. Terutama golongan adam yang menjadi tunggak harapan bangsa. Entah berapa ramai yang terlibat dalam gejala samseng, mat rempit, dadah dan sebagainya. Salah siapakah ini? Tiada guna menuding jari. Tepuk dada tanyalah iman.

Lambat matang, terpengaruh dengan budaya hedonisme Barat serta tidak berfikiran jauh mungkin antara faktor-faktor yang merantai hati dan otak mereka.

Hati kecilku gusar kerana ada pujangga mengatakan, jika ingin tahu bagaimana masa depan sesebuah negara dan ummah, lihatlah generasi kini. Jadi bagaimana? Fikir-fikirkanlah...

2 comments:

Anonymous said...

Solusi memang bagus.. Semua topiknya dikupas ngan ikhlas dan menyeluruh..Rege pon rm9 je utk satu satu isu.

Nashrin said...

Saya setuju