1 Nov 2012
Perasaan berkobar-kobar nak pergi bercuti dengan teman-teman
fakulti. Jasad di pejabat, jiwa di Langkawi. Buat kerja pun separuh jiwa.
Kawan-kawan lain pun dah tak ada mood. Ada
yang sibuk mengambil tempahan, berkongsi kegembiraan dan pengalaman. Pendek
kata memang aura Langkawi sudah melingkari kami semua.
Buat pertama kali, aku dan teman-teman akan menempuh
perjalanan menggunakan perkhidmatan KTMB. Hajat di hati nak merasalah
keselesaan katil, namun ditakdirkan Allah tiada rezeki. 3 kali berulang-alik di
kaunter tiket, sudahnya hanya tinggal tiket kelas kedua. Mahu tak mahu ambil
saja. Daripada tidak ada langsung.
KL Sentral, 9.00 malam.Penuh dengan manusia, itulah yang
boleh digambarkan. Aku dan seorang teman menaiki komuter dari Serdang. Mujurlah
tiba sebelum waktu berlepas. Risau bukan kepalang bila komuter yang dinanti
lambat muncul. Nyaris nak pecut naik teksi je. Fikiran dah berserabut bila
jadual berlepas bagi tren seterusnya memaparkan jam 2117 sedangkan tren akan
berlepas dari KL Sentral menghala ke Arau pada jam 2120! Cuma sempat tapau McD
buat bekalan bagi perut yang dah berkeroncong akibat kepenatan mengejar masa
dan menggalas beg! Urgh!
Sebaik menjejakkan kaki ke dalam keretapi, hati aku berdetik
'oh, tak banyak beza pun dengan bas'. Cuma mungkin ruang agak sempit sedikit
namun sama sekali tidak mematahkan semangat kami yang berkobar-kobar nak pergi
bercuti. Kelihatan daif juga bagi aku. Rasa macam kat Indonesia pun ada, India pun ada. Teringat pula satu
scene filem Hindustan (Dil Se) yang menari dan
menyanyi atas bumbung keretapi. Sempat pula aku bayangkan kalau kami berlapan
yang beraksi macam dalam filem tu (dah datang mood sengal). Namun timbul rasa
keinsafan juga dalam keadaan macam ni. Kenapa? Entahlah. Hati aku memang cepat terusik.
Sepanjang perjalanan kami berbual bersulam tawa tak kurang
juga merungut sebab sempit! Kurang selesa pastinya tapi bagi aku inilah
cabaran. Adventure katanya. Nak comfort balik rumah. Tertanya-tanya kat mana
tandas dan kafe seperti yang dihebohkan masa di pejabat tadi. Akhirnya bila
rasa dah bosan, kami pun meredah beberapa koc hingga sampai ke kafeteria.
Sangat dingin dirasakan hingga mencengkam ke tulang hitam. Dapat secawan Milo panas adalah satu perasaan yang amat bahagia dalam
keadaan sebegitu. dah minum, terasa nak ke tandas. Parah. Setiap tandas yang
dijenguk membuat aku menelan air liur. Tak ubah macam tandas penjara je.
Nasiblah dalam banyak-banyak tandas ada juga yang keadaannya mampu digunakan.
Kalau tak, alamat kena batu karanglah jawabnya nak menahan sampai ke Arau!
2 Nov 2012
Setelah 11 jam mengiring, menegak, mengerekot dalam
keretapi...tibalah kami di Arau. Banyak teksi yang sedia memberikan khidmat.
Sepertinya ada ketua yang mengatur urusan pembahagian penumpang teksi di sini.
Mahu bagi sama rata mungkin. Kami dibahagikan kepada 2 teksi.Destinasi
seterusnya...jeti Kuala Perlis. Mak aih...ramainya! Sekali lagi kena beratur
untuk mendapatkan tiket feri pula. Cuaca pula makin panas. Kami mengambil
keputusan untuk bersarapan di kedai berhampiran sementara menunggu kedatangan
feri yang akan membawa kami ke destinasi yang paling ditunggu-tunggu.
Berasak-asak kami meloloskan diri untuk tiba di jeti.Kalau ikutkan hati yang
panas, mahu juga aku 'sound' makcik yang main langgar je aku.Tahulah besar, aku
ni kecik.Dah macam Bulldozer melanyak Kancil je gayanya.
Tiba di Kuah. Kami diberikan kenderaan untuk memudahkan
pergerakan.Innova baru, yahoo! Yelah, kalau kat Serdang merasa naik ViVa WRX je
kan . Teruja
dapat naik kereta besar. Terus isi full tank minyak tanpa berfikir panjang.
Lebih kurang setengah jam juga nak sampai di Pantai Cenang.Terteleng kepala
masing-masing nak cari motel Sugary Sand. Bila kami sampai, persoalan yang
timbul adalah mana satu bilik kami? Setelah melalui lorong yang sempit,akhirnya
itu dia....wow, luar setinggan dalam kondo! Siap ada laut.What? Menghadap
laut?? Yippiee!!!Hempasan ombak di pantai menguatkan lagi perasaan kagum dan
pastinya 'excited'. Mat Saleh dan Minah Saleh pun ada.Ops, hensemnya! Okay,
cover your eyes fella.So sexy.Hilang surah akuu!!
Aktiviti Island Hopping yang dijadualkan pada pukul 2 petang
terpaksa ditunda pada keesokan pagi memandangkan kami baru saja tiba dan semuanya
keletihan.Mata pun makin layu ditambah pula dengan bayu laut dan irama ombak
yang aku rasa sangat mendamaikan.Let's take a nap.
Setelah puas berehat, kami mengambil angin di sekitar
kawasan pantai. Berdasarkan pengamatan aku, kemudahan di sini memang lengkap.
Baik dari segi tempat penginapan sehinggalah ke makanan.Tak ada yang kurang pun
tapi dengan syarat hendaklah berduit ye kawan-kawan.Maksud aku, kalau nak pergi
bercuti ni ada baiknya kita punya simpanan lebih kalau tak melopong.Tapi
tidaklah sampai membazir.Hari ni aktiviti bebas, bergambar sana sini dan melepak di pantai menanti matahari
terbenam.
3 Nov 2012
"Embun pagi yang lembut, menyentuh pipi yang gebu"
- intro lagu Amir Jahari (Tanpamu).Kalau tak pernah dengar boleh cari kat You
Tube (:)
Pagi-pagi di tepi laut. Satu ketenangan yang sukar
dinikmati. Rasa nak bekukan masa. Tak nak balik KL.Tak boleh lama-lama sebab
nak bersedia untuk aktiviti yang tertangguh semalam; Island Hopping.
Kami bersama sebuah keluarga ditempatkan dalam sebuah bot.
Sebaik bot mula bergerak, masing-masing dah excited. Sebaik sahaja bot semakin
laju, terdengar jeritan sahut-menyahut. Entahkan takut, entahkan teruja
semuanya bercampur menjadi satu. Tapi kalau aku memang syok habis sebab aku
memang suka naik bot laju macam ni. Famili yang satu bot dengan kami hanya
ketawa melihat gelagat kami yang tak ubah macam budak-budak. Hanya gelak tawa
sahaja yang menguasai suasana ketika itu sehinggalah kami sampai ke Tasik
Dayang Bunting. Para pengunjung dinasihatkan
tidak membawa sebarang plastik yang berisi makanan kerana akan dirampas oleh
penguasa tasik ini yakni kera.Kami perlu mendaki bukit dan menaiki tangga
sebelum sampai ke tasik.Mengah dibuatnya maklumlah tak pernah bersenam.
Aktiviti yang dilakukan adalah bermain paddle boat meredah tasik yang tenang.
Setelah satu jam menghabiskan masa sampai lenguh kaki, kami
meninggalkan tasik dan bergerak ke destinasi berikutnya. Tekong bot @
gelarannya Anak Mat Abu mencadangkan satu tempat untuk dilawati sebagai
tambahan.Tak termasuk pun dalam pakej. Kami dibawa menghampiri sebuah gua.
Tatkala menjengukkan kepala keluar, kami nampak struktur gua stalaktit dan
stalagmit.Dah macam subjek Geografi pulak. Ada titisan air menitis terkena kepala dari
atas.Kata Anak Mat Abu, tu bukan air kencing kelawar tapi air gua.Kalau kencing
kelawar, mau muntah kat situ jugak. Sayup juga nak tengok kelawar tengah tidur
tu.Selang beberapa minit, kami tiba di satu tempat yang memuatkan sangkar ikan
pelbagai spesies. Siapa yang ambil Biologi bolehlah buat research kan . Takjub jugak tengok
ada seekor ikan yang sangat besar dalam sangkar. Semua diberi makanan ikan dan
kami dibenarkan untuk memberi makanan tersebut kepada semua ikan-ikan di situ.
Abang yang menjaga sangkar ikan tu menunjukkan kami spesies
mentimun laut. Aku tak sanggup nak pegang, geli geleman tengok benda berlendir
dan lembik macam agar-agar tu. Berani pegang ikan buntal je haha.Padahal bukan
hidup pun. Menurut abang tu lagi, tempat tersebut dijangka akan menjadi tumpuan
aktiviti 'snorkeling' pada masa akan datang.
Pulau Beras Basah menjadi singgahan seterusnya. Pasirnya
halus, airnya hijau kebiru-biruan. Sungguh indah ciptaan Allah. Tapi mungkin
menjadi kenangan pahit bagi seorang teman bila mana secara tak sengaja beliau
terjatuh ke dalam air semasa menuruni bot. Basah beg, rosak kamera dan telefon
bimbit. Sedikit ralat juga kerana banyak gambar kami di dalamnya. Namun itulah
takdir yang tertulis.Huhu...Di sini pun kami harus berjaga-jaga sebab terdapat
banyak kera yang sukar dijangka kelakuannya. Aktiviti terakhir dalam island
hopping adalah eagle feeding. Mungkin hari itu dah banyak sangat orang melawat
dan bagi makan, jadi helang-helang yang berlegar seolah tidak menghiraukan
makanan yang dilemparkan berupa lemak ayam.
Penat dan lapar! Itulah yang dirasai bila kami tiba di
daratan.Lepas ni kena bersiap untuk ke Gunung Machincang pulak.Cable Car Time!!
Ada juga di
antara teman-teman yang tak nak naik sebab gayat tetapi setelah dipujuk, mereka
mengikut saja. Kami berlapan terpisah kerana satu gondola maksimum 6 orang.Tetapi
sebaik sahaja kami melangkah masuk ke dalam gondola, cuaca bertukar mendung.
Lebih tak disangka hujan lebat turun mencurah-curah sewaktu gondola kami tiba
di stesen paling atas.Memandangkan cuaca tidak mengizinkan, kami tidak turun
dan hanya meneruskan perjalanan untuk turun sahaja.Di sinilah tragedi yang
menginsafkan berlaku.Kami berenam tergantung selama kurang lebih setengah jam!
Dengan kilat memancar, dengan guruh berdentum, hati manusia mana yang tidak
gentar dengan kemarahan dari langit.Aku hanya memandang sayup ke bawah.Tak
mampu untuk berkata apa-apa kerana tidak pernah terbayang akan melalui
pengalaman seperti ini.Seperti nyawa di hujung tanduk dan sepenuhnya bergantung
kepada limpah dan rahmat kasih sayang dari Allah. Ada juga yang telah menitiskan air mata. Ada juga yang tak
henti-henti bercakap untuk menghilangkan rasa gemuruh.Mata hanya mampu melihat
gondola kosong beransur naik untuk menurunkan penumpang yang terkandas. Setelah
beberapa lama bertarung dengan rasa takut dan bimbang, akhirnya gondola kami
meluncur turun.Betapa leganya kami bila dapat turun dengan selamat. Namun
berdebar-debar pula bila lagi 2 orang masih belum turun hingga maghrib
menjelma.Aku dan seorang teman menunaikan solat Maghrib dahulu sementara rakan
lain menanti. Alhamdulillah, mereka juga selamat turun. Di dalam kereta
masing-masing berkongsi rasa dan pengalaman panik.Riuh satu Innova!Kami menuju
ke Pekan Kuah pula yang dikenali sebagai 'syurga coklat dan pinggan mangkuk'.
Letih sekali.
Insaf.
Terasa dikasihi dan dikasihani Allah hari ini.
4 Nov 2012
Hari terakhir kami di Langkawi. Masa yang ada kami habiskan
dengan membeli-belah.Sambung balik aktiviti malam sebelumnya.Macam sedih pulak
nak tinggalkan Sugary Sand ni. Selalu aku tidur tak lena kalau di tempat baru
tapi kat sini memang best.
Aku sangkakan pengalaman mencabar telah berakhir rupanya
tidak. Tiket feri yang ada hanyalah pada pukul 5 petang sedangkan tiket
keretapi pukul 7.06 petang. Kurang-kurang satu jam baru sampai jeti Kuala
Perlis.Itu pun kalau feri bertolak tepat pukul 5 which is agak mustahil. Selalu
delay.Dan memang betul pun.Hampir 5.30 baru bertolak. Tiba di jeti pukul 6.30
petang. Kelam kabut dibuatnya sebab menunggu bagasi. Hampir pukul 7 baru kami
menaiki teksi.Kami redah hujan yang makin lebat. Basah kuyup menggalas beg yang
bertambah berat.Bukan takat berat je bertambah, kuantiti beg pun dah bertambah.Gara-gara
beli barang la ni.
Dalam hati kuat mengatakan kami akan terlepas tren.Aduh,
kalau terlepas bas mana pulak nak kena naik kan . Pakcik teksi pula sedaya-upaya memecut
untuk memastikan kami tiba sebelum tren berlepas.Masa tu aku dah pasrah.
Dengan kasih sayang Allah tiada yang mustahil....
Walaupun kami tiba lewat, jam 7.20 tapi syukurlah tren masih
belum tiba. Ya Allah, betapa leganya kami.Disebabkan mengejar masa, beg yang
berat tiba-tiba terasa ringan.Badan yang lemah jadi kuat.Apalagi bila terdengar
deruan enjin tren, sekali lagi kami menghela nafas lega.Syukur sangat-sangat.
Mungkin disebabkan terlalu letih, semuanya terlelap sebaik
sahaja tren mula bergerak. Sedar-sedar sahaja sudah sampai di Rawang.Bila tiba
di KL Sentral, solat Subuh kami tunaikan.Usai solat, kami menaiki komuter hingga
ke Serdang. Dan pulang ke rumah masing-masing membawa seribu memori yang akan
selamanya terpahat di ingatan.
Buat sahabatku....
Ana, Shida, Fatin, Ili dan
Ajim....
Semoga ukhuwah ini tidak akan terlerai walau di mana jua
kita berada.
No comments:
Post a Comment