Tuesday, January 01, 2013

Kenapa Kamu Bukan Dia (3)


" Hai , tak siap lagi ke?" Irdina Aisya masih lagi berdiri tegak ala-ala nak menyanyikan lagu Negaraku di hadapan almari.
"Tak tahu nak pakai apa. Tak ada baju," jawabnya. Suzila, adik bongsu ibunya merangkap Mak Usu hanya menggelengkan kepala. Punyalah berbaris baju bergantungan dalam almari boleh dia kata tak ada baju?
"Aik, penuh almari tu Mak Usu tengok. Dengan baju kurung, kebaya, jubah moden. Sampai dah tahap boleh bukak butik dah. Boleh kata tak ada baju nak pakai?" sengaja dia mengusik anak buahnya. Dia faham sangat yang Irdina Aisya sedang tak keruan menanti tetamu istimewa yang akan tiba tak lama lagi.
Mak Usu ni saja la tu nak kenakan aku. Irdina Aisya menggaru kepala yang tidak gatal. Mana satu nak pakai ni? Apasal yang payah sangat nak pilih? Dia menarik satu baju kurung moden berwarna hitam kosong berhias manik berwarna putih. Diangkat tinggi-tinggi kemudian dipusingkan 360 darjah. Hitam itu menawan, warna kegemaran aku tapi dalam situasi genting sekarang ni amatlah tidak sesuai. Macam berkabung je.
"Takkan hitam? Mix and match dengan muka masam Dina tu, nanti diorang ingat Dina tengah berkabung ." Eh, Mak Usu aku ni ada kuasa psikik ke? Aku cakap dalam hati je tadi.
"Tak adalah. Dina pun fikir macam tu jugak. Ikutkan hati Dina pakai T-shirt Pagoda dengan track bottom. Amacam?" Biar lelaki tu tak ada selera dan reject aku awal-awal so aku terlepaslah dari belenggu matchmaking ni. Muahahaahha!!!
"Beranilah Dina buat macam tu. Macam tak tahu pulak kan perangai mak Dina tu. Ada juga yang kena halau dari rumah kang. " Mak Usu seakan memberi amaran. Bukan boleh percaya budak ni. Dibuatnya betul-betul dia nak tunjuk protes. Haru! Mahu pengsan pula kakak dan abang iparnya nanti.
Irdina Aisya hanya ketawa kecil mendengar kata-kata Mak Usunya. Tak mungkin dia akan melakukan sedemikian rupa hanya kerana dia tidak setuju dengan semua ini.     Dia masih hormatkan ibu bapanya, masih tahu menjaga maruah keluarga dan masih tahu menghormati tetamu. Tidak pernah terlintas di hatinya ingin menjatuhkan air muka keluarga ini.Tidak akan sekali-kali.


"Dina bergurau je la Mak Usu. Dina ni waras lagi okay. Hurmmm...."
"Tak siap lagi ke?" satu suara garau mengejutkan mereka berdua. Abah!
"Belum lagi bah. Baru nak pilih baju." jawabnya sambil tersengih.
"Pakailah yang elok sikit. Diorang dah gerak dah tu.Lagi setengah jam sampai."
"Okay bah." Abah terus berlalu. Meninggalkan dia dalam keadaan terpinga-pinga. Lagi setengah jam mereka akan tiba. Tiba-tiba hatinya berdebar.
"Dina siaplah dulu. Mak Usu nak turun ke dapur. Pakai lawa-lawa tau. Kasi cair itu mamat ya."
"Iyalah Mak Usu. Banyaklah Mak Usu punya cair." Irdina Aisya membalas. Setelah Mak Usunya pula berlalu, dia kembali menghadap almari pakaiannya.
Sepasang kebaya merah hati kosong dengan kain batik Sarawak bersilang menjadi pilihannya. Dipadankan dengan sehelai selendang 'Paddlepop' kombinasi 3 warna. Dia menjeling jam dinding. Menyedari yang dia tidak punya banyak masa, Irdina Aisya bergegas menuju ke bilik air.


Encik Hanif mengintai Puan Asma yang dari tadi mundar-mandir di sebalik akhbar yang dipegangnya. Isterinya itu seperti cacing kepanasan. Duduk salah. Berdiri salah. Sekejap ke dapur. Sekejap kembali semula ke ruang tamu. Telefon bimbit tak lekang dari tangan isterinya.
"Cuba bawak bertenang Ma. Naik juling biji mata saya tengok awak buat 'saie' kat dalam rumah ni."
"Macam mana saya tak runsing. Luqman sampai sekarang tak nampak bayang. Kita dah berjanji dengan orang bang."
"Awak dah call dia ke belum? Dia terlupa kot?"
"Dah jenuh saya call dia bang. Abang bukan tak tahu anak abang tu kalau dengan 'Miss Alessandra' dia tu, agaknya kalau boleh kahwin, dah lama dapat menantu. Tak boleh nak berenggang langsung." Encik Hanif tergelak ketika mendengar ayat terakhir yang meluncur dari bibir isterinya. Lucu pula membayangkan jika bermenantukan 'superbike'! Miss Alessandra merupakan gelaran yang diberikan oleh Luqman Hakim kepada motosikal berkuasa tinggi Ducati 848 Evo kepunyaannya. Sengaja dia menggelarkannya begitu. Nama manja katanya.
"Ala kak. Bukan jauh sangat pun rumah kawan saya tu. Ada masa lagi. Kejap lagi sampailah Luqman tu. Dia bukan jenis yang tak tepati janji. Nah, minum dulu kak bagi 'cool' sikit perasaan tu." Hanum, adik kepada Puan Asma muncul di ruang tamu sambil menatang dulang berisi minuman sejuk. Bak kata Encik Hanif, Hanum sendiri pun naik kejang bebola mata memerhati tingkahlaku kakaknya yang tidak keruan itu. Hanum tahu kakaknya risau jika Luqman Hakim tiba-tiba membuat keputusan membatalkan pertemuan ini di saat-saat akhir. Dia sedia maklum yang anak saudaranya itu bersetuju kerana dipaksa. Sebagai ibu saudara, dia juga teringin melihat Luqman Hakim berumahtangga. Mempunyai isteri sebagai teman di kala suka dan duka. Dikelilingi anak-anak yang comel dan montel. Lantaran itulah dia tergerak untuk menemukan Luqman Hakim dengan anak teman sepejabatnya yang kebetulan juga sedang mencarikan jodoh untuk anak gadisnya setelah cara pertama memperkenalkan mereka di laman sosial Facebook tidak menampakkan hasil. Niatnya itu disokong sepenuhnya oleh kakaknya.
Puan Asma termakan juga pujukan adiknya. Mana dia tidak risau, dia yang beria-ia meminta Hanum untuk mengaturkan pertemuan dengan gadis itu dan keluarganya. Malu besar dia jika dia terpaksa membatalkan. Bimbang jika dituduh tidak serius oleh pihak perempuan. Dia mengambil segelas air Blaccurrant yang telah siap dituang. Sekali teguk. Dingin membasahi tekak. Serba sedikit memberi ketenangan pada pemikirannya yang sedikit serabut sebelumnya.
Deruman enjin motosikal memecah kebuntuan. 'Arctic white silk' Ducati Evo 848 meluncur masuk ke perkarangan rumah. Luqman Hakim menanggalkan helmet Arai 2013 yang dipakainya. Edisi terkini yang sangat dia minati berbanding koleksi lain. Dijinjing dengan berhati-hati helmet kesayangannya itu sambil mengatur langkah menuju ke pintu masuk rumahnya.
"Assalammualaikum,"
"Waalaikumussalam." Puan Asma baru hendak menyambung ayat bila Encik Hanif memegang bahunya. Tanda supaya dia tidak terus menghamburkan kemarahan kepada Luqman Hakim yang baru sahaja menjejakkan kaki ke rumah. Puan Asma mengerti.
"So, how's Alessandra doing?" Luqman Hakim ketawa kecil apabila disapa ayahnya.
"Absolutely amazing,like she always do." Luqman membalas.Matanya sempat mengerling wajah ibunya yang serius. Tidak berani dia untuk menatap wajah ibunya yang kelat.
"Man pergi bersiap dulu. Your mum is quite upset. Kita dah berjanji dengan orang, tak baik buat orang tertunggu-tunggu." Encik Hanif cuba berdiplomasi dengan anak lelaki bongsunya ini. Pada hematnya, berlembut itu lebih baik berbanding isterinya yang lebih tegas.Lagipun Luqman Hakim seorang yang mendengar kata. Sebagai ayah, dia memang sentiasa berharap yang terbaik untuk anak-anak. Walaupun pada awalnya dia kurang bersetuju dengan cadangan isterinya, namun diikutkan sahaja apabila mengenangkan umur Luqman Hakim yang semakin meningkat. Ditambah pula dengan sikapnya yang endah tak endah dalam soal perkahwinan.
"Sorry,ayah.Man tak perasan Man dah terlajak masa. Err... she is really mad at me isn't she?" soal Luqman Hakim seakan berbisik dengan ayahnya.
"Sangat,tapi masih terkawal. Isteri ayah kan, pandailah ayah. Mak Man tak pernah bantah cakap ayah. Tapi kalau Man masih nak lengah-lengah lagi, ayah pun tak boleh nak sebelahkan kamu. Hadaplah  sendiri ye." Luqman Hakim mengangkat kedua belah tangan tanda tidak sanggup berhadapan dengan kemarahan Puan Asma. Cepat-cepat dia mendaki tangga menuju ke biliknya.

No comments: