Friday, September 16, 2011

Sampai Syurga [1]

Minn menatap kad undangan perkahwinan dengan rasa yang bercampur baur. Walaupun telah lama kenyataan ini dia ketahui, rupanya kepedihan ini masih jelas seperti hari pertama dia mengetahui yang Khai adalah tunangan orang. Minn menghela nafas dalam-dalam. Mengharapkan setiap zarah udara yang disedut dapat menyembuhkan kelukaan yang kian lama kian parah.

“Dia nak kau datang, Minn.” Perlahan Is menuturkan permintaan Khai, sahabat baiknya. Dia melabuhkan punggung di atas katil. Di mata Khai Minn adalah sahabat meskipun dia tidak pernah tahu bahawa di mata Minn pula Khai lebih dari sekadar sahabat. Dia tersenyum tawar. Menundukkan wajah. Butiran air mata mula jatuh berguguran ke pipi.

“Cantik tak kad ni? Inilah hadiah perkahwinan aku untuk dia, Is. Walaupun sepanjang mengusahakannya hati aku seolah-olah dihiris belati. Buat kad kahwin untuk insan yang kau sayang dalam diam. Tapi aku terpaksa menghampakan dia kali ini. Aku rasa cukuplah aku dah menyeksa hati dan perasaan aku sepanjang beberapa tahun ni.” Minn menatap mata Is yang juga telah bergenang . Mereka saling berpelukan dalam deraian air mata. Is memang mengetahui kisah cinta rahsia Minn. Is adalah teman yang Minn percaya untuk meluahkan rasa yang terbuku di dada.

“Aku faham perasaan kau, Minn. Tapi apa kau nak buat lepas ni? Kau boleh elak daripada datang ke majlis dia. Untuk hari-hari seterusnya? Takkan kau nak jadi pelarian sepanjang hidup kau?” soal Is. Minn melepaskan keluhan. Entahlah, Minn sendiri tidak lagi memikirkan soal bagaimana dia harus berdepan dengan hakikat yang mencalarkan naluri wanitanya. Yang dia tahu, dia mahu pergi jauh buat seketika.

“Is, jujurnya aku pun tak dapat nak bayangkan kehidupan aku lepas ni. Aku harus biasakan diri hidup tanpa dia. Buang jauh-jauh semua kenangan. Aku ingat aku nak bercuti panjang.” Minn melayangkan tiket penerbangan ke Australia di hadapan Is. Is mencapai tiket tersebut daripada pegangan Minn. Kau betul-betul kecewa , Minn. Sayang benar kau pada Khai tapi malang Khai buta dalam menilai perasaan kau selama ni. Aku harap kau akan dapat seseorang yang mencintai kau sepenuh hati , Is berdoa dalam diam.

“Is? Kau mengelamun ya?” Minn menepuk bahu Is. Terkejut Is dengan tindakan spontan Minn. Dia ketawa dan membalas, “Aku doakan kau jumpa mamat hensem kat sana dan jatuh cinta, kahwin dan bahagia hingga ke akhir hayat.”

“Takkan semudah itulah, Is. Kau kan tahu aku setia. Sampai syurga ku cintamu, sampai syurga ku menunggu…hanya satu…hanya kamu.” Minn ketawa kecil sambil menyanyikan bait-bait lirik lagu Sampai Syurga dendangan penyanyi nombor satu pujaannya Faizal Tahir. Botol bedak sejuk dijadikannya mikrofon.  Is pun tidak ketinggalan menjadikan bekas bedak talcum pula sebagai mikrofon. Kedua-duanya melepaskan rasa di dalam bilik sederhana luas ini. Tiba-tiba telefon bimbit Minn berbunyi. Minn merenung mesej yang tertera. Kemudian dia menekan butang untuk mematikan telefon.

“Siapa?” Is pelik kerana Minn mematikan telefon. Pasti ada sesuatu yang membuatkan Minn bertindak sedemikian.
“Khai. Dia ingatkan aku supaya datang ke majlis akad nikah dia.Which I won’t” Minn bersuara lesu. Is mengangkat bahu tanda no komen.

No comments: